Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Thursday, April 4, 2013

Diari : Sekitar LIMA' 13


LIMA' 13 di Langkawi

Sebenarnya saya memang dari kecil minat dengan bidang ketenteraan dan juga bidang persenjataan. Saya masih ingat sewaktu saya tingkatan 5 di Maktab Mahmud saya menyimpan koleksi Majalah Prajurit dan Tempur. Berkilo-kilo beratnya. Memang banyak.

Namun setelah saya dapati majalah jenis ini makin susah didapatkan di kedai-kedai buku, saya berhenti seketika. Namun buku-buku lama masih dalam simpanan.

Atas dasar kesibukan belajar dan lain-lain, saya berhenti membeli buku-buku sebegini.

Tetapi, minat masih ada. Sebut sahaja game komputer Battlefield 2, Call of Duty, Sniper elite, Tom Clancy , dan segala game first person shooter , semua di'belasah'.

Jangan sebut game paling terkenal yang kini telah menjadi classic, CS (Counter Strike) . Pernah juga banyak kali kami mengadakan pertandingan CS secara berjemaah sampai lewat malam.

Best, biasalah orang muda. Janji solat dan tahu berhenti apabila perlu.

Berbalik kepada LIMA 2013, semua ini berlaku secara tiba-tiba.

Bermula dengan PM dengan sahabat baik saya di 'Fesbuk' sehari sebelum itu, kami bertekad mahu ke sana.

Cabaran

Abang saya merupakan salah seorang yang bekerja part time sebagai memandu pelancong di Langkawi, jadi dia memang sangat berpengalaman.

Taiko.

"hampa(kamu semua) kena beli tiket awal sehari, sebab memang nanti orang penuh" Nasihatnya ikhlas.

Namun atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan , kami semua tak mampu berbuat demikian.

Hasilnya, pada pagi hari jam 7.00 pagi kami tiba ke sana, orang ramai sudah berpusu-pusu. Bayangkan , tiket terawal yang kami dapat adalah pada pukul 10.30 pagi.

Jadi tiada pilihan selain menunggu.

Sempatlah menjamah sarapan pagi terbaik di dunia iaitu roti canai dan secawan tea tarik. Oh dunia!

Setelah berjalan-jalan dan membuang masa, jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, kami bergerak ke jeti.

Menunggu.

Menunggu.

Jumpa soket kosong, cas henset dulu . (gelak jahat)

Menunggu lagi.

Pengumuman, ..... Bukan feri kami

Tunggu

"kalau feri tak sampai lagi hingga pukul 12 tgh hari, aku balik terus! tengok wayang lagi baik!" sahabat baikku , Arif nekad.

Bayangkan kami menunggu sejak pukul 7.00 pagi hingga 11.30 pagi

Bapak lama! Mat Lutfi

Pendekkan cerita, jam 11.59 pagi kami bertolak.

Hampir-hampir (nafas lega)

Pulau

Setibanya di Pulau Langkawi, perjalanan cabaran kami baru sahaja bermula.

Saya berjalan cepat (bukan lari) mencari kaunter tiket untuk pulang.

Padahal baru sahaja tiba. Itupun sudah panjang barisan manusia menunggu. Kami berbuat begitu kerana tahu manusia hari itu memang ramai. Kami tidak bercadang untuk bermalam di sana. Tambahan pula kereta sahabat saya diparkir di tempat terbuka. Kereta baru, tak mungkin dibiarkan bermalam bersendirian .

Tiket balik jam 7 ptg. Selesai satu perkara.

Seterusnya kami melihat peta, mahu ke mana? Jet atau Bot atau dua-dua?

Pendekkan cerita, kami ke satu hotel yang berdasarkan maklumat daripada laman rasmi LIMA ,LIMA ada menyediakan shuttle bus setiap 15 min.

Peta yang berada dalam telifon pintar saya

Berjalan kaki ke sana.

Namun Allah menguji kami, hampa! bas terakhir telah bergerak pukul 11 pagi tadi. terlepas sudah.

Jadi kami berjalan kaki pulang ke arah jeti. Kali ini bertekad untuk dapatkan teksi.

Kebetulan setelah beberapa ketika berjalan ada sebuah teksi lalu dan itulah perjalanan kami (our ride)

Sampai ke Awana

Maka buat pertama kali wajah kami agak ceria.

"akhirnya!" hati bersuara.

Biar gambar berbicara








Pulang

Pulang juga bagi saya adalah epic dan puncak perjalanan kami ke Langkawi kali ini.

Akibat jalan jem (ingat KL sahaja yang jem? Langkawi pun sama ) kami mungkin lewat.

Lewat daripada jam 7 ptg.

Terlepas feri terakhir.

"pak cik rasa, kalau ikut jalan macam nih, hampa memang terlepas feri la" Pemandu teksi kami bersuara. Ikhlas bunyinya.

"kalau susah sangat pak cik, tinggalkan kami di tepi jalan dan kami akan berjalan kaki" saya memberi cadangan sebelum itu.

Semua senyap.

Sampai satu simpang yang jam, pemandu kami bersuara.

"pak cik rasa macam ini, pak cik tinggalkan hampa semua kat tepi sana, lepas tu hampa boleh jalan laju ikut tepi pantai tu, hujung sana jeti, kalau keadaan macam ini memang hampa tak sempat"

"ok pak cik, hantar kami ke sana" Nekad lagi

Run For Your Feri

Apabila kami bayar sahaja tambang teksi yang sudah dikurangkan atas jem dan separuh jalan. Kami mula melangkah.

Mula-mula berjalan laju.

Kemuadian berlari.

Berlari-berlari anak.

Peluh tak dikisahkan, letih hanya pada kaki bukan mentel, kaki sakit dibiuskan saja.

Asalkan sampai.

Tetapi Alhamdulillah pemandangan di pantai itu cantik, sempat snap beberapa gambar.


nampak tak muka letih? 
Dan akhirnya kami sampai.

Tepat.

Pulang

Pulang juga ada drama, feri sudah sampai awal di jeti, tetapi lambat pula dibenarkan turun. Sangat menguji kesabaran.

Waktu itu baru kami teringat yang makanan yang kami makan hanyalah roti canai pagi tadi dan beberapa nugget di Langkawi.

Maka setelah solat jamak Ta'khir kami pun bergegas mencari makan.

Pulangnya di rumah, buka FB, rupanya result exam baru sahaja diumumkan. Ramai yang mahu hubungi saya tetapi saya outstation. Kelakar!

Alhamdulillah cemerlang, boleh usaha lagi.

Moral of my Story

Sebelum balik, kami sempat berseloroh,

"ingat senang ka? ini semua tarbiah direct daripada Allah" Arif berkata.

"ya benar, Sabar. Allah bersama orang-orang yang sabar" Sambung saya

Si Azam hanya tersengih.

Terima kasih semua.

Until next time

Salam











Monday, March 11, 2013

Cerita tentang ummi

Number One for Me

Cerita 1

Cuti sudah tamat, esoknya ada peperiksaan. Walaupun sekadar cuti beberapa hari, namun ianya tetap dihabiskan dengan berkualiti iaitu berehat di rumah dengan aman. Lari sebentar daripada kehidupan pelajar yang sibuk belajar. Sepatutnya begitulah.

Jadi, petang itu saya kalut-kalut (baca: tergesa-gesa) menyimpan barang untuk pulang. Maklumlah, perjalanan 2 jam dengan motosikal perlu ditempuh pula selepas ini. Lebih menarik, esoknya ada peperiksaan akhir modul. Jadi memang tak mungkinlah untuk ponteng dengan sengaja.

Setelah selesai bersalaman dan memohon doa dan restu ummi dan ayah, saya pun bergegas pulang. Merempit (baca : menunggang motosikal dengan kelajuan yang munasabah dan selamat)

Alhamdulillah selamat sampai.

Nak dijadikan cerita, malam itu saya buka beg untuk mencari noto-nota padat ciptaan saya sendiri. Alangkang terkejutnya, satu pun tak ada. Padahal esok ada peperiksaan.

Noto padat itu adalah semua pati, dan isi penting yang diperah daripada nota kuliah yang tebal 10cm menjadi 1cm sahaja. Jadi, memang membaca semula nota kuliah bukan jalan keluar yang terbaik.

Tetapi saya tidak panik, mengetahui kita hidup di alam siber yang maju gitu. Saya menghubungi ummi saya dan minta tolong beliau untuk mengimbas (scan) dan emailkan kepada saya.

Paling penting, cari dahulu nota itu. Rupa-rupanya jatuh di bawah meja. Maka wajarlah saya tertinggal. (alasan)

Fesbuk

"ish, nak tekan apa ni? Ummi tak tahu ni" nampak benar kali pertama mengunakan mesengger fesbuk.

Saya ketawa kecil.

"tak apa ummi, slow and steady. Ummi dah scan belum? tekan attach ja. ada kat bawah tu"

"dah, cuma ini sekarang nak tekan apa ni? amboi, macam-macam ada ni. banyak sangat. tak tahu nak tekan mana" walaupun ummi jelas, 'rabun' IT, namun suaranya jelas menunjukkan bahawa dia benar-benar bertekad.

Tekad untuk menghantar nota.

Tiba-tiba, nun di hujung corong telifon, saya terdengar adik saya baru pulang daripada sekolah

"mai nak tolong" adik saya prihatin.

"tak apa, tak apa, Ajar ummi macam mana nak buat, nanti sampai bila-bila tak reti" Balas ummiku.

Senyum.

Pengalaman kelakar mengajar ibuku berfesbuk tetapi menyentuh hati ini benar-benar memberi kesan dalam ingatan saya.

Dipendekkan cerita, nota dapat dihantar dan alhmdulillah, syukur saya mampu menjawab peperiksaan keesokan harinya dengan jayanya.

Terima kasih kepada ummi saya.

Hero Win saya.

Cerita 2

Pagi tadi, sekitar   2 pagi, saya masih celik mata di hadapan komputer. Masih menaip untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Bagi kebanyakan orang muda belia seperti saya, pukul 12malam ke atas adalah waktu primer (paling power) untuk berfikir dan bekerja kerana sudah tidak gangguan. (gangguan makhluk halus tak pasti pula)

Batman dan Keluangman.

Tiba-tiba, saya terdengar pintu bilik tidur utama terbuka. Ummiku keluar sambil mengesat-ngesat matanya. Melihat saya masih segar,

"tak tidur lagi? buat apa itu?"

"ada kerja sikit ummi"

Ummi ku berlalu pergi ke dapur.

Saya hairan.

"ummi, nak masak apa pagi-pagi buta ini? " saya melaung sedikit. Dapur dan ruang tamu tempat saya bekerja agak jauh.

Senyap.

"Mungkin minum air suam kut" fikirku.

Saya meneruskan kerja saya. Tekun dengan earphone.

Sedar-sedar, sudah 3 pagi. Tugasan sudah siap.

Masa untuk tidur.

Keesokan paginya, saya memang bercadang untuk memasak karemel kegemaran saya. Setelah melihat semua bahan sudah ada, saya memulakan kerja. Sebelum itu, saya memeriksa oven.

Saya kagek. Terkejut.

Sudah ada satu kek karemel yang sudah siap.

Terus saya teringat yang saya ada beritahu ummi saya bahawa saya ingin memasak kek keremel kelmarin, iaitu hari sebelum itu.

Jadi, pagi tadi yang ummi saya bangun 2 pagi itu adalah untuk membuatkan kek keremel saya itu.

Oh, baru tahu.

Saya tersenyum sambil mengelengkan kepala.

Begitu sekali.

Saya meneruskan hajat saya, kek karemel disiapkan. resepi

Kemudian setelah ummi dan ayah pulang ke rumah daripada sekolah (mereke berdua cikgu) , saya persembahkan kedua-dua versi kek karemel yang ada. Satu buatan ummi, satu lagi buatan saya.

Ayah saya menjadi juri. Pemenangnya......

Saya sempat bertanya,

"ummi, malam tadi yang muhsin tanya itu kenapa tak bagitahu. bolehlah nak tolong"

"iya ka? tak perasan" selamba.

Senyum lagi.

Semanis mana karemel itu, manis lagi senyuman ummi.


Alhmadulillah


P/s: Cerita ini ditulis sebagai kenangan saya dan juga teladan kita semua. Tanpa ibu bapa kita, siapalah kita.

Cerita ini juga adalah untuk ingatan saya buat masa hadapan setelah saya berumah tangga kelak, buat anak-anak saya bahawa nenek hampa itu sangat beriman lagi pengasih orangnya.

Terima kasih ummi

Cium tangan, peluk sikit , minta doa. senyum-senyum

Kembali ke motosikal, merempit kembali ke universiti mencari ilmu.

Kembara diteruskan


Sunday, December 16, 2012

CERPEN: Kek cinta untuk siapa?


               



Cerpen
Kek Cinta Untuk Siapa?
oleh: M.Muhsin Hairudin

           Matanya melirik teliti ke arah muka surat itu. Resepi kek coklat kukus. Juga dikenali sebagai kek coklat moist. Kegemarannya. Dalam masa yang sama, tangannya mengapai-gapai apa yang diperlukan. Resepi itu dibaca sekali lagi.

                Bahan-bahan kek coklat ialah 250gm Butter,3/4 cawan gula,4 biji telur,2 cawan tepung gandum,3/4 cawan serbuk kok dan 1 cawan air atau susu cair.

                Siap!

Bahan-bahan coklat cair atau topping pula ialah 1 sudu marjerin,2-3 sudu susu pekat manis,2-3 sudu serbuk koko dan sedikit air.

Juga siap!

Tangannya perlahan-lahan menuang tepung gandum itu sedikit demi sedikit ke dalam bekas . Teliti dan cermat. Nampaknya sangat bersungguh-sungguh. Kadang-kadang lidahnya sedikit terkeluar. Hasil daripada tumpuan yang tinggi.

“Amboi! Rajin lebih nampaknya anak dara ummi hari ini? Buat apa itu?” suara si ibu tiba-tiba memecahkan tumpuan . mukanya manis dengan senyuman.

“ Afza memang rajinlah ummi” balas si anak sambil membetulkan cermin matanya. Matanya masih tertumpu kepada apa yang sedang dilakukanya.

“Sampai tidak tengok muka ummi. Sibuk sungguh. Muka itu pun sudah kena tepung” emaknya mengusik anak daranya itu. Tangannya mengusap-usap lembut wajah anaknya yang comot itu.

“Betulkah?”  Afza terkejut sambil mencari-cari cermin. Comot sangatkah?

Emaknya ketawa. “Masih cantik, jangan risaulah”.

Wajah Azfa terasa panas. Malu disakat ibunya.

“Bukan apa ummi. Esok kelas Afza akan mengadakan jamuan raya. Semua orang kena bawa makanan yang sedap-sedap. Jadi Afza cadang mahu bawa kek coklat special. Sambil-sambil itu, bolehlah Afza menunjukkan bakat memasak Afza yang terpendam. Kek ini dibuat dengan rasa cinta dan ukhwah” katanya sambil tersenyum. Manis.

“Mari ummi tolong” emaknya menghulurkan tangan. Senyum.

Hubungan mereka sememangnya akrab.

**************************
            
    “Muzakkir dapat universiti mana?” soal seorang lelaki kepada sahabat disebelahnya. Tangannya memegang sebuah buku. Pandangannya lepas kepada pemandangan sawah di luar tingkap.

                “Mula-mula, dia tidak dapat. Tapi, setelah membuat rayuan. Syukur, dia dapat asasi sains hayat. Kalau tidak salah, di Universiti Kebangsaan Malaysia” sahabatnya yang sedang memandu menjawab. Kereta berwarna hijau muda itu meluncur laju di lebuh raya itu. Mereka dalam perjalanan untuk menziarahi seorang sahabat.

                Meraka diam.

                “Kenapa tiba-tiba tanya Rafiq?”

                “Sekadar mahu mengambil tahu mengenai pelajar junior kita” balas Rafiq.

                “Itulah, saya pun tidak sangka boleh dapat. Jika prestasi  cemerlang pada peringkat asasi sains hayat, bolehlah dia melanjutkan dalam bidang perubatan. MBBS di UKM. Bukan calang-calang.”

                “Padahal, kelayakan kita dahulu pun lebih kurang sahaja dengan kelayakan dia. Tapi, begitulah tidak ada rezeki namanya” sahabat disebelah menggelang.

                “Kamu ini mengapa Hasif? Gayanya seprti sedih sahaja?” soal Rafiq dengan muka menyakat.

                Terkoyak ketawa di bibir mereka berdua.

                “Banyaklah engkau punya sedih. Aku pun baguslah dapat masuk matrikulasi. Cumanya tinggal sekarang, kena rajin sahajalah” Hasif menjawab. Sekali sekala, matanya melirik ke cermin pandang belakang dan tepi. Berhati-hati.

                Tiba-tiba sebuah motosikal memotong laju melalui lorong kiri. Stereng kereta dipusing sedikit. Kereta mereka mengelak perlahan. Bahaya.

                “Engkau tengok itu! Tungang motosikal laju. Memotong di sebelah kiri. Bahaya betul! Patutlah banyak kemalangan berlaku melibatkan penunggang motosikal” Hasif membebel kuat. Tidak puas hati.

                “Sabarlah Hasif. Kalau kita marah-marah atas kereta pun bahaya. Boleh kurang kewarasan” kata Rafiq sambil tergelak. Lucu melihat sahabatnya yang jarang marah itu berubah apabila memandu.

                Mata Hasif melirik tajam Rafiq. “Masalahnya bahaya. Dia dan kita ”

                Rafiq senyum kambing. “Tetapi, penunggang motosikal itu tidak dengar pun leteran engkau. Tatapi aku”

                “Yang engkau bela sangat dia itu kenapa? Adik beradik engkau?” kata Hasif kurang senang.

                Balas Rafiq “Aku pun penunggang motosikal juga”

                “Tidak adillah motosikal sahaja yang perlu berhemah. Tetapi semua yang berada di atas jalan raya perlu berhemah. Barulah semuanya selamat. Tak gitu?”  terang Rafiq dengan nada bergurau.

                Ada benarnya. Benak hati Hasif berkata.

                “Sudahlah, tengok GPS itu, awak perlu belok kanan sekarang” Rafiq mula menukar topik.

                “GPS aku ini memang hebat. Mahal tu!” riak muka Hasif berubah ceria sedikit.

“Engkau tahu apa maksud GPS? Bukan Global Positioning system. Tapi, Guna Pun Sesat”

Mereka ketawa terbahak-bahak. Memecah suasana.

 Hilang rasa marahnya. Dia ini bukannya jenis yang marah berpanjangan. Mengingatkan hadis yang menerangkan bahawa nabi berkata jangan marah sebanyak tiga kali.Perjalan mereka berdua penuh dengan sembang-sembang yang baik. Sembang-sembang tarbawi.

*************************

                “Apa? Afza tidak boleh ke sekolah hari ini? Tetapi…” suara Afza tersekat. Terkajut.

                “Ummi , ayah dan abang kamu akan keluar ke bandar. Ada hal mustahak. Urusan abang kamu yang akan ke mesir itulah” terang ibunya.

                “Afza kenalah duduk dirumah. Siapa yang mahu jaga adik-adik kecil kamu ini jika bukan kamu. Bukannya ayah suruh ponteng, tetapi tidak pergi sekolah atas sebab musabah. Itu bukan ponteng. Ayah tahu Afza seorang pelajar yang baik” ayahnya cuba memujuk.

                “Tetapi ayah. Kek itu..”

                “Nampaknya bukan rezeki kawan-kawan kamu hari ini. Mungkin boleh kamu simpan dahulu dan bawa saja esok” ayahnya mengusap lembut kepala anaknya itu.

                “Minta maaflah sebab bagitahu lambat. Ummi pun tidak tahu. Tiba-tiba saja yayasan islam yang menguruskan abang kamu itu panggil. Ada urusan penting kata mereka” umminya cuba memujuk.

                Afza hanya diam.

                Bukan niat di hatinya untuk membantah. Cumanya dia sedikit terkejut. Setelah berpenat lelah menyiapkan kek coklat yang dijanjikan untuk jamuan kelasnya. Dia memang agak sedih jika hajatnya itu tidak kesampaian.

                “Kak Afza” satu suara kecil bersuara.

                Afza menoleh. Adiknya Nuha Izzatiyang baru berusia empat tahun berdiri ditepinya. Tangannya memegang tangan Afza. Halus.

                “Kakak temankan kami ya” katanya perlahan-lahan. Matanya memandang tepat ke arah mata Afza. Pipinya yang putih gebu itu menambah seri wajah tembamnya. Sangat comel.

                Afza mengangguk perlahan. Inilah yang dikatakan keluarga. Tanggungjawab yang sangat besar. Juga satu amanah. Sahabat-sahabat karib terpaksa mengalah sebentar. Keluarga lebih penting. Afza seorang anak yang solehah. Dia faham. Cumanya seketika tadi dia terbawa-bawa oleh emosi.

                “Afza anak solehan kan?” Umminya kembali memujuk.

                Afza senyum.

                “Nanti belikan kami buah tangan ya ummi” kata Afza tanda setuju.

                Umminya kembali tersenyum. Syukur kepada Allah.

****************


                Assalamalaikum Hasif, awak ada di rumah? Saya mahu datang ziarah.

                Rafiq menaip pesanan ringkas kepada Hasif. Dia bercadang untuk menziarahi sahabat karibnya itu petang ini. Menjalinkah ukhwah kerana Allah. Kebetulan petang itu dia agak lapang.

                Waalaikumsalam.InsyaAllah, boleh. Ahlan wasahlan. Lepas asar ya.

                Balas Hasif ringkas dan mesra.

                Petang itu, Rafiq pergi ke rumah sahabatnya menaiki mosikal miliknya. Jalan ke rumah Hasif agak berlopak dan berbatu. Maklumlah, laluan yang pernah menjadi laluan lori-lori besar. Motosikalnya dipandu berhati-hati. Khuatir  rim tayarnya rosak. Minggu lepas saja dia baru tukar rim, kata mekanik, banyak masuk lopak. Nampaknya RM50 itu rezeki si makanik itu.

                Oleh sebab itulah, dia menjadi lebih berhati-hati. Mencegah lebih baik daripada mengubat. Lebih baik daripada wang melayang. Ini sekadar untuk motosikal, sudah tinggi kosnya. Tidak tahulah jika kereta. Pasti lebih mahal. Fikiranya merewang-rewang dalam perjalanan.

                Ketibaanya disambut oleh seorang kanak-kanak comel. Nuha izzati namanya. Rafiq yang memang rapat dengan Hatif memang kenal keluarga sahabatnya itu. Mungkin tidak semua nama diingatnya, tetapi jika berjumpa di mana-mana, dia dapat mengenali mereka. Begitu juga sebaliknya. Nuha tersenyum dari jauh sambil memegang sebuah cawan. Mulutnya menghisap penyedud minuman yang ada. Sangat comel.

                “Abang  Rafiq masuklah dulu” katanya perlahan-perlahan sambil tangannya mengangkat tangan gaya memanggil. Keletahnya memang melucukan.

                Nuha menunjukkan Rafiq ke ruang tamu. Kemas dan teratur. Nuha kemudian duduk di situ sambil menemani Rafiq. Rafiq menggelengkan kepala melihat keletah Nuha.

                “Nuha makan apa ?” soal Rafiq ramah. Gaya kanak-kanak.

                “Ais krim” jawab Nuha sambil menyedut penyedut minuman.

                “Gigi mana?”usik Rafiq.

                “Amboi Rafiq, menyakat adik saya” suara Hasif tiba-tiba mencelah.

                Hasif kelihatan baru sahaja keluar daripada dapur. Tangannya memegang dulang yang terisi jar air, dua gelas cawan dan sedikit kuih muih. Dia memang bertanggung jawab. Tidak menyuruh adiknya Afza untuk menghidangkannya. Adik perempuanya itu dijaga sebaiknya.

                “Susah-susah saja Hasif. Niat mahu ziarah sahaja” kata Rafiq berbasa-basi.

                Sambil menghidangkan juadah, Rafiq menjawab “Bujang beriman”.

                “Sebentar. Ada satu lagi, kegemaran kamu” ujar Hasif sambil melangkah kembali ke dapur.

                Apa kegemaranku? Fikir Rafiq tertunggu-tunggu.

                Sebentar kemudian Hasif keluar daripada dapur membawa sesuatu.

                Kek coklat! Getus hati Rafiq.

                Terkoyank satu senyum besar di bibir Rafiq. Ya, ini memang kegamaranya.

                “Tetapi macam mana tiba-tiba boleh ada kek coklat?” soal Rafiq hairan. Seingatnya, hajatnya untuk datang menziarah hanya dikhabarkan setengah jam yang lalu.

                “Kebetulan adik saya si Afza tu buat kek, makanlah. Saya tahu awak suka” balas Hasif.

                “Dia buat untuk saya?”

                “Lebih kuranglah. Begini, sebenarnya pagi tadi sepatutnya adik saya ada jamuan di kelas. Jadi dia buatlah kek coklat ini khas untuk jamuan kelasnya. Dia buat malam kelmarin, waktu kita berdua keluar itu”

                “Habis tu? Bagaimana ada di sini pula?” Rafiq kurang faham.

                “Inilah namanya rezeki. Pagi tadi, saya dan ibubapa perlu ke pekan .Urusan penting. Jadi, Afza terpaksalah tidak pergi ke sekolah untuk menjaga adik-adiknya. Jadi memanglah kek ini rezaki kamu” terang Hasif sambil mengusap-usap kepala Nuha di sebelah.

                Kek khas untuk aku. Fikir Rafiq dalam hati.

                Tiba-tiba, Rafiq ketawa. Hasif hairan. Keningnya diangkat dua kali. Tidak faham.

                “Kali ini baru saya betul-betul merasa makna rezeki. Adik kamu penat-pent buat untuk orang lain. Tetapi akhirnya, saya yang dapat makan. Alhamdulilah, syukur. Sedap kek ini” katanya sembil mengambil sepotong kek.

                Sedap. Memang sedap.

                “Adik awak memang pandai masak. Beritahu dia, saya puji kek dia” kata Rafiq sambil menjamu selera.

                Di dapur. Seseorang sedang mendangar perbualan mereka. Afza tersenyum manis. Dipuji. Dalam 

masa yang sama bersyukur kerana dapat menghormati tetamu.







p/s: Cerpen ini telah siap daripada tahun lepas lagi, namun kita baru diterbitkan :)

Jika bermanfaat dipersilakan share.
Kalau ada kurang mohon nasihat ^_^
terima kasih

Friday, December 7, 2012

'Mekap' Budak Lelaki


Apa kaitan budak comel 2 orang ni? ^_^



Matanya lekat di skrin komputer. Tetikus bergerak lincah kanan kiri. Begitu juga meriahnya pergerakan jadi di papan kekunci. Waktu-waktu cuti sebagini, setelah penat mengulang kaji, bermain game di komputer memang satu  terapi yang berkesan untuk menghilangkan tekanan.

"alhamdulillah! Yes!" ucap akmal separuh menjerit. Dia baru sahaja mendapat mata tertinggi mengatasi yang lain.

Tok! Tok! Tok!

Tiba-tiba kedengaran pintu bilik diketuk orang.

Pintu dikuak perlahan.

"Assalamalaikum. Bro, terima kasih bagi pinjam kereta" Kamal muncul sambil menghulurkan kunci kereta.

Peperangan di komputer Akmal direhatkan sebentar.

"tak ada masalah. Kamu beli apa? Macam penting saja?" sambil itu, mata Akmal tertarik dengan bungkusan di tangan Kamal.

"oh, aku beli syampoo untuk rambut aku dan adalah juga aku beli makanan ringan" bungkusan itu diangkat sedikit.

"syampoo?!" Spontan Akmal bertanya.

"ya. kenapa?" Kamal mengambil tempat di sebelah Akmal.

Akmal ketawa kecil.

"bukan apa, aku tak pernah pakai syampoo. Mana-mana jenama pun sama, rambut aku jadi tak selesa. Lama saya tak pakai, sebab itulah macam terkejut sikit" kepalanya digaru sedikit. Kelihatan rambut hitam lebat.

"Oooo. Aku memang kena pakai syampoo, kalau tidak ada kelemumur dan gatal kepala"

"Tak gatal rambut ?" Riak muka Kamal nampak pelik. Baginya, jika tanpa syampoo, pasti amat tidak selela baginya.

"hehe, tak pun. Saya pakai minyak zaitun saja. Biasalah, berbeza orang, berbeza cara" Pakai minyak zaitun itu sunnah :)

"kamu saya dengar, tak guna pencuci muka lansung? Betul?" giliran Akmal bertanya. Jika daripada paras rupa, Kamal itu salah seorang yang pastinya dalam ketegori kacak.

"hehe, betul. Tak pakai apa pun untuk muka. kamu guna?"

"ada sikit" jawab Akmal agak malu.

"tetapi, apa yang penting, kita semua orang bujang beriman lagi hensem" sambil Akmal memegang bahu sahabatnya itu.

Pecah ketawa di mulut mereka.

Perasan.

"Jangan cakap muka hensem sebab pakai 'wuduk' sudah" Kamal pula berseloroh.

Mereka ketawa lagi.

Lain manusia, lain cara. namun yang penting ialah hasil.

********

Begitulah juga dalam hidup. Bukan semua manusia sama.

Yang penting, semuanya berbuat baik dan bersangka baik antara satu sama lain. Baik daripada kaca mata agama.

Dan jika tersalah sekalipun, bertaubat adalah ubatnya yang paling mujarab.

Ada yang mampu qiam, maka qiamlah. Ada yang mampu berpuasa, maka berpuasalah. Ada yang mampu berdakwah, maka dakwahlah. Macam-macam lagi. Dan ada juga yang mampu semuanya dan ada yang sebaliknya. Namun yang penting, USAHA JADI BAIK

Senyum sorang-sorang

Bak kata Maher Zain

"Counting other people's sins does not make you a saint"

 Maknanya, mengira dosa manusia lain, tak akan membuatkan kamu lebih baik.

Hargai kepelbagaian  ^_^

peace

Sunday, December 2, 2012

Janji tidak?



                                             Kredit 




         Tiket bas itu disimpan kemas. Diselitkan di dalam beg dompet kesayangannya itu. Bas pertama yang akan bergerak pada jam 8 pagi esok menjadi pilihan. Wajahnya ceria. Terbayang-bayang suasana rumahnya ibarat syurga dunia itu memanggil-manggil.

"Tetapi, mahu ke stesen bas bagaimana?" satu soalan muncul di mindanya. "Atirah yang selalu hantar ke sana sudah lama pulang"

Jika seperti waktu-waktu sebelum ini, Atirah itulah yang sering menjadi teman untuk menghantarnya ke stesen bas. Namun tidak untuk kali ini.

Pantas dia membuka laman sesawang facebooknya. Mencari-cari nama yang mungkin dapat menolongnya.

Satu nama dipilih, Hanis. Sahabatnya sejak beberapa tahun di universiti ini. Bukan mahu menyusahkan, cuma jika mampu, apa salahnya berteman sahabat sendiri.

Private message dihantar. "assalamalaikum, Awak apa khabar? Hanis, Aini mahu minta tolong hantarkan Aini ke stesen bas pagi esok boleh? Mahu jumpa keluarga. Jika tidak menyusahkan Hanis la. terima kasih"

Tanda senyum yang comel juga turut dihantar.

Beberapa ketika selepas itu. Satu pesana ringkas hinggap di paparan komputer.

"sihat. Ok, boleh saja :) "

Mereka berbincang buat beberapa minit.

Janji.

Hati Aini makin berbunga, jalannya untuk pulang dipermudahkan.

Dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Tiba-tiba. Bahunya digenggam kuat daripada belakang.

"Aini!" satu suara yang biasa berbisik di telinganya.

"Nurul! Apa ni bagi Aini suspen? " respon segara terhadap sahabat sebiliknya yang suka berjenaka itu.

 "saya tengok awak khusyuk sangat, itu yang saya mahu usik awak" Sambil itu, Nurul mengambil tempat di sisi sahabatnya itu.

"saya ada berita baik. Esok saya juga boleh balik. Kelas dibatalkan saat-saat akhir!" Cerita Nurul separuh menjerit teruja.

Mereka menjerit kecil. Teruja.

"Jom balik dengan saya" Pelawa Nurul.

Atirah terdiam seketika.

Mahu!

Tetapi, dia sudah berjanji dengan Hanis. Tidak mungkin dia membatalkan janji dengan suka hati. Janji melibatkan banyak pihak. Melibatkan masa orang lain. Melibatkan kehidupan orang lain.

"Maaflah Nurul. Saya mahu sangat-sangat untuk balik dengan awak. Tetapi esok saya sudah berjanji dengan Hanis untuk minta tolong dia hantar saya ke sana. Saya ingatkan awak memang tidak dapat cuti. Maaflah" balas Aini perlahan. Mukanya sedikit sedih.

Nurul angguk kecil. Agak kecewa. Namun dia kenal sahabatnya itu, bukan niatnya untuk membuatkannya sedih.

"kalau begitu, jaga diri untuk perjalanan esok."

"Saya tidak ada untuk jaga awak. Jangan nangis pula jika saya tidak apa" gurau Nurul sambil mencuit pipi sahabat baiknya itu. Mesra.

Mereka ketawa bahagia,

******

Jam menunjukkan 7.30 pagi. Sudah lewat. Namun kelibat Hanis masih belum kelihatan. Namun Aini masih bersangka baik, Hanis akan datang.

Dia telahpun memperingatkan Hanis pada pukul 5.30 pagi tadi.

Janji.

Namun, hatinya berkata sesuatu.

Tiba-tiba, begnya mengeluarkan berbunyi. Suara kucing.

Orang-orang sekeliling kelihatan pelik , budak perempuan yang comel ini bawa kucing dalam beg?

Telifon bimbitnya dikeluarkan, satu pesanan ringkas baru tiba.

"Maaf Aini, pagi tadi kawan saya ajak teman dia sarapan. Saya ingatkan sekejap sahaja. Tiba-tiba selepas itu dia mahu membeli belah pula. Maaf ya. Mungkin lain kali saya hantar awak- Hanis"

Janji.

Janji.

Janji.

Aini menolak pelawaan sahabat baiknya, kerana janji itu.

Aini menunggu sejak pagi kerana janji itu.

Aini mampu menghabiskan sedikit wang untuk ke sana sendiri jika dimaklumkan lebih awal. Semuanya kerana janji itu.

Hatinya amat sedih. Dia akan terlepas banyak kegembiraan. Terlepas peluang untuk pulang ke rumah. Terlepas peluang untuk bersama sahabat baik. Terlepas banyak perkara kerana janji itu.

Mana boleh dia menerima pelawaan orang lain jika sudah berjanji dengan orang lain terlebih dahulu.

Marah!

Sakit hati!

Itulah perasaan pertama yang muncul.

Matanya berkaca, janji. Mahu saja dia menjerit sekuat hati,

Percaya. Janji.

Ayat-ayat itu bermain-main di mindanya.

Namun, semua itu tidak lama.

Muhasabah! Semua ini bukan terjadi secara sia-sia. Ada hikmah walaupun pahit.

Jika kita merasa pahit dan marah lagi kecewa bertambah sedih ketika janji orang lain terhadap tidak ditepati, bagaimana pula janji kita dengan Allah?

Setiap hari dalam solat lima kali sehari kita berjanji dengan Allah.

"Sesungguhnya solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku hanya buat Allah Tuhan sekalian alam"

Janji.

Janji.

Janji lagi.

Dan sering kali janji itu kita mungkiri. Dan Allah masih lagi memberikan peluag kepada kita untuk terus lagi bernafas. Allah Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.

Apa yang kita beri, itulah yang kita dapat.

Perlahan-lahan, butir-butir manik halus muncul, mengalir daripada matanya. Insaf. Terasa dalam, menyentuh hati nurani.

*******

Begitulah hebatnya kuasa Allah.

Bagi mereka yang melihat.

Apabila Tuhan berbicara dengan kita. Bicara secara terus.









P/s: Jika asalnya mahu sekadar menulis mengenai janji, tak sangka tiba-tiba jadi mini cerpen pula. Tapi yang penting, harap-harap makna di sebalik mini cerpen ini sampai kepada kita semua.


Cerita adalah rekaan semata-mata namun diispirasikan daripada kehidupan seharian


Tuesday, October 30, 2012

Selangkah lagi

Gambar gembira setelah tamat final exam

Bermula hari ini, saya secara rasminya pelajar tahun dua perubata. Tamat sudah setahun. 4 tahun lagi insyaAllah.

Saya akan berusaha yang terbaik, kerana takdir saya di hujung usaha saya.

Melangkah tanpa henti

Terima kasih semua

Paling penting, terima kasih Allah.

Alhamdulillah, segala puji hanyalah untuk Mu

^_^

Mohon doa sahabat-sahabat sekalian

Tuesday, October 16, 2012

CERPEN: Cinta jarak jauh

Ihsan En Google

Cerpen terbaru saya.
Sudah lama siap, namun baru sempat untuk disemak.

Tak mahu cakap banyak.
Selamat membaca ^_^





CINTA DUA ALAM


                Bumi masih lagi gelap. Cuma embun subuh yang mula muncul dicelah-celah dedaun pokok.Sunyi pada manusia, namun dipenuhi zikir cengkerik yang setia. Fajar bakal menyinsing tidak lama lagi. Ibarat nyawa buana, fajar yang datang menghidupkan segala nyawa. Hari yang baru muncul lagi.

                Bunyi jam loceng tiba-tiba memecah sepi di bilik kecil itu. Lambat-lambat satu tangan muncul di balik kain selimut yang tebal. Menggapai jam.

                5.30 pagi, berbanding Malaysia, suasana di Ireland berbeza. Malamnya bergantung kepada musim. Musim sejuk sebagini, malamnya lebih panjang. Kesejukan kerap kali menduga iman di dada untuk waktu subuh.

                Tiba-tiba paparan komputer riba di meja sebelah bertukar cerah. Seperti satu panggilan video.

                “Amir! Bangun subuh nak. Mama sudah lama bangun dengan ayah ni,” suara mesra wanita separuh usia. Kelihatan di sisinya si ayah yang sedang membaca Al-Matsurat. Kelihatannya seperti di meja makan.

                “Kami di sini sudah pukul 10 pagi, ayah kamu kerja lewat sikit. Syif doktor dia mula tengah hari. Abang, cakaplah dengan si Am ini.” Ibunya menghalakan kamera tepat ke arah si ayah.

                Dalam masa yang sama, Amir sudah bangun. Berkumur dan menggosok gigi. Namun telinganya masih lekat pada suara-suara daripada komputer ribanya.

                “Hmm, kamu dah baca Al-Quran pagi ini? Ingat, kalau sempat baca Al-Matsurat pun jadi. Emak kamu yang nak sangat skype dengan kamu ni.” Nampak jalur-jalur usia diwajah ayanhnya. Namun senyumnya setiasa ada.

                Amir di singki tersenyum sahaja. Setelah wuduk diambil, dia ke ruang tamu. Pintu bilik ditutup perlahan. Suara daripada komputer ribanya senyap dihalang pintu.

                Sejadah hijau muda kegemarannya dihamparkan. Kopiah putih dikenakan. Persalinan yang bersih menjadi pakaian.

                Masa untuk berjumpa Sang Pecipta.

                Pencipta Alam seluruhnya.

******************

“Malik, kau tak tengok EURO final malam tadi?”Amir yang berdiri memulakan perbincangan. Sekadar memenuhi masa.

Suasana di dalam tram itu sesak. Sesak dengan segala macam manusia dengan agenda masing-masing. Tram di sana lebih dikenali sebagai ‘Luas’. Bunyinya seperti bahasa Melayu, namun itulah yang mereka panggil disana. Kalau dibandingkan dengan Malaysia, ianya seperti LRT.

Hanya dia dan sahabatnya Malik yang bercakap bahasa Melayu.

Perantau di bumi orang.

“Manalah aku ada masa? Peperiksaan kan sudah dekat. Aku tidak kisah sangat  berita-berita yang tidak penting seperti ini,” matanya lepas keluar.

Benar-benar tidak berminat dengan bola sepak. Mungkin disebabkan tidak pandai bermain sukan itu, semua yang berkaitan dipandang enteng.

“Haha, engkau ini. Lawaklah. Walaupun aku juga tak minat sukan bola. Tapi ini semua isu samasa. Penting juga untuk kita. Bayangkan kalau kita nak mulakan sembang-sembang dengan orang lain. Kalau isu seperti ini pun tak kau tak tahu.Tak tahulah aku,” sambil ketawa kecil.

“Sudahlah Am, ibarat kata mak aku, bola itu bulat. Kita tak tahu ke mana ia akan bergolek. Jadi, kadang-kadang golek ke kanan, kadang ke kiri,” kali ini Malik mengeluarkan hikayat ibunya. Seperti berseloroh tapi wajahnya serius.

Ketawa Amir terhenti.

Air mukanya berubah. Teringatkan sesuatu.

“Betul kata engkau. Bola itu bulat.”

“Dunia ini juga bulat”

“Kadang di atas, kadang di bawah.”

Malik memandangnya dengan wajah pelik.

“Wah, bermadah pula. Datang dah ayat jiwang dia,” sambil satu tumbukan kecil dilepaskan kepapa bahu Amir. Mereka ketawa.

Manusia di sekeliling tidak kisah.

Di perantauan, sahabat ialah saudara.

Di perantauan kehidupan, setiap muslim adalah saudara.

Begitulah perjalanan mereka setiap kali menuju ke universiti.


*********

Kelas bermula seperti biasa. Jadual penuh dengan aktiviti. Daripada kuliah umum, kuliah khas, hinggalah ke bilik mayat. Kehidupan sebagai pelajar universiti memang banyak dugaannya.

Jika diikutkan malas dia hati, ramai sahaja yang tinggalkan kelas kerana kata mereka, nota kuliah masih lagi boleh dihadam nanti. Apa guna ke kelas sekadar untuk tidur?

Lebih baik tidur di rumah kata meraka.

Namun, apa saja alasan mereka, meraka perlu ingat, ilmu itu dicari bukan dinanti. Adab-adab mencari ilmu juga perlu dijaga. Kita bukanlah robot yang hanya untuk dimasukkan maklumat, kita adalah manusia yang mempunyai akal budi dan mempunyai iman sebagai GPS kehidupan.

Bukan robot.

Seorang doktor yang terkenal pernah berkata, pelajar yang malas ke kelas, di waktu kerja nanti juga berpotensi menjadi pekarja yang malas ke tampat kerja.

Manusia boleh berubah, namun bukan sekelip mata.

Usai kuilah pagi. Amir berkemas untuk ke kafeteria.

“Assalamalaikum,” satu suara menjengah telianga. Suara wanita.

“Waalaikumsalam. Ya Amirah, ada apa?” Amirkelihatan kekok. Barang-barangnya dikemas lebih cepat.

“Saya mahu minta tolong saudara Am untuk bantu saya dalam mencari  maklumat. Saya ditugaskan untuk siapkan bahan-bahan artikel untuk persatuan di asrama saya. Boleh saudara bantu?” cakapnya lambat-lambat. Sahabatnya di sebelah hanya angguk-angguk kecil.

Amir mengangkat beg sambil berlalu, “InsyaAllah. Tajuk apa?”

Mereka berjalan bertiga menuju kafeteria. Pelajar-pelajar lain sibuk mundar-mandir. Keadaan universiti mereka memang sentiasa hidup.

“Betulkah? Terima kasih banyak. Saya tahu Amir memang seorang yang baik,” wajah Amirah kelihatan bercahaya. Senyum manisnya menghias wajah. Gembira yang mula berputik.

Amir tahu, jika kita mampu membantu, bantulah semampunya. Kerana, dia masih ingat pesan ibunya, jika kita mudahkan urusan manusia lain, InsyaAllah Allah akan memudahkan urusan kita ke syurga.

“InsyaAllah, sekadar termampu.”

“Terima kasih Am.”

*********

Subuh datang lagi. Suasana sepi mula terganggu.

Bunyi jam loceng Amir memecah kedinginan pagi. Dalam masa yang sama, komputer ribanya turut beroperasi.

“Amir, kamu tahu, ayah kamu pening memikirkan perangai kamu.Tolonglah, solat jangan tinggal. Buat baik dengan orang. Janganlah sakitkan hati siapa-siapa lagi. Ayah kamu pening kepala tahu,” wajah ibu Amir muncul di skrin. Kelihatan sepertinya di pejabat.

Amir yang sudah di dapur mendengar teliti.

Senyum sendiri.

“Mama tak mahu dengar lagi masalah disiplin kamu di sana. Kami di sini berkerja keras agar kamu dapat ke sana. Kamu ini aset kami. Am anak mama. Dengarlah.”

“Mama pernah baca dalam satu buku agama, jika kamu mudahkan urusan manusia lain, InsyaAllah Allah akan mudahkan urusan kita ke syurga. Mama harap, Allah akan mudahkan urusan kita semua ke syurga. Jadi, tolonglah orang lain dan paling penting tolonglah diri kamu sendiri.”

Wajah ibunya kelihatan risau.

Risau keadaan anak tunggalnya.

Amir senyap. Mag kegeramanya digenggam kemas, kopi masih lagi panas.

Butir-butir manik muncul daripada matanya.

Tulus daripada hati.


***********

Keadaan bilik mayat itu sejuk. Suhu demikian memang diperlukan untuk memelihara mayat daripada cepat rosak.

Kelas anatomi sedang berlangsung.

“Aku tahun ini malaslah nak balik Malaysia,” ngomel Malik sambil membedah mayat.

“Kenapa? Kau ada program?”Amir menjawab pendek.

“Bukanlah. Aku cuma malas nak balik. Kalau aku duduk sini, ayah aku bagi duit. Duduk di rumah, kalau bagi pun bukanlah banyak mana pun.”

“Sebab itu saja?”Amir berhenti memotong.

“Mungkin tak perlu balik setahun dua tiga kali, nanti orang kata aku anak manja,” katanya sambil buat muka.

Amir bergerak diri situ, topeng muka dan sarung tangan ditanggalkan. Menuju ke singki khas untuk membasuh tangan.

“Sementara ibu bapa masih ada, lebih baik engkau balik ziarah. Kau mampu, kau patut balik. Bukan semua orang ada peluang seperti engkau.”

Malik senyap.

“Kita ini, kalau nak buat perkara untuk puaskan hati orang lain. Tak mahu orang lain kata. Kita memang tidak akan ke mana-mana. Itu salah, ini salah. Yang penting, kau buat perkara yang kau fikir betul dan paling penting, perkara yang Allah dan Rasul kata betul,” Amir melangkah keluar daripada makmal.

“Jom la, aku nak belanja Doner Kebab!”Amir melaung dari jauh. Sejenis kebab kambing halal yang terkenal di sini.

Malik senyum.

“5 minit!”

Amirah di makmal sebelah memerhatikan gelagat mereka.

********

Perpustakaan adalah gedung ilmu. Namun, dengan kemajuan dunia kita, internet juga adalah gedung ilmu. Segala maklumat lama dan baru ada di dalam cariannya. Cuma perlu tahu bagaimana dan di mana untuk mencari.

Internet hanya alat, manusialah yang tentukan baik buruknya.

Amir duduk sendirian di meja tengah perpustakaan universitinya. Ulangkaji. Bukan semua yang boleh belajar dalam keadaan itu.

Komputer ribanya ditatap sungguh-sungguh.

“Mama dan ayah kamu nak pergi haji tahun ini, InsyaAllah satu minggu lagi kami berangkat ke tanah suci. Kalau sempat, lepas selesai semua urusan. Mama cadang mahu ajak ayah kamu ziarah kamu di sana.”wajah ibunya muncul di paparan computer riba.

“Sebelum mama nak berangkat, mama nak bagitahu, kami berdua sayangkan kamu. Dan kami dah maafkan dan halalkan semua makan minum kamu. Walaupun kadang-kadang buat perangai, kami faham. Walaupun dunia zaman kamu dan zaman mama berbeza, tetapi remaja tetap remaja.”

Senyum ibunya jelas di skrin.

“Mama teringat lagi, waktu ayah kamu datang ke rumah mama. Sangat berani. Dia berani datang sorang-sorang, jumpa dengan atuk dan nenek kamu. Semata-mata alasan mahu ziarah. Padahal mama waktu itu kawan biasa-biasa dengan ayah kamu. Itu sedikit sebanyak zaman muda-muda kami dahulu.”

Bahagia. Itulah pancaran wajah ibunya ketika itu.

Tuk..tuk..tukk

Tiba-tiba terasa mejanya diketuk perlahan.

Senyuman Amirah menjengah. Dia datang dengan beberapa sahabatnya.

Amir menanggalkan earphone. Skrin komputer ribanya ditutup.

Senyuman dilemparkan ke arah mereka.

“Ya? Amirah,boleh saya tolong apa-apa?” Amir memulakan bicara.

Mereka semua ketawa kecil.

“Am, tadi kami semua dah bagi salam. Tapi kamu yang khusyuk sangat dengan komputer riba kamu. Itu yang kami ketuk meja kamu itu,” Amirah mula bersuara.

Amir sengih, malu.

“Kami semua datang nak minta kamu tunjuk kami cara untuk buat poster menggunakan perisian photoshop. Saya bawa adik-adik tahun satu dan tahun dua untuk belajar sekali.”

“Boleh? Tak ganggu Am?”

                “InsyaAllah.”
            
                Dalam hati Amirah, dia tertanya-tanya. Siapakah wanita di skrin tadi.
            
    “Tadi itu siapa? Wajahnya tampak keibuan? Ibu Am?” Amirah berani bertanya. Sebagai seorang pelajar 
perubatan, dia memang diajar. Jangan meneka sahaja, tanya.

                Amir tersentak.

“Err, pandai.”

“Wah, teringin pula nak jumpa,” monolog Amirah terlepas keluar.

Semua di situ kaget.

“Ops!” wajah Amirah panas, malu.

“InsyaAllah, pulak ke tanah air nanti ada rezeki Amir ajak melawat meraka,” Amir perasan keadaan itu, pantas membantu Amirah.

Tak mahu dia dimalukan di hadapan pelajar-pelajar juniornya yang lain.

“Ok, siapa mahu belajar!” Amir memulakan kelas.

*********

Subuh pagi ini paling istimewa. Subuh terakhir di bumi orang. Tengah hari nanti Amir dan sahabat-sahabat sekelas bakal kembali ke tanah air.

Tahun ini tahun terakhir mereka sebagai pelajar perubatan. Pantas sungguh masa berlalu. 5 tahun selesai sudah.

Setelah berjaya dalam peperiksaan akhir. Mereka sudah bersedia untuk balik ke tanah air berkhidmat kepada negara semula.

Bunyi jam loceng Amir memecah lagi kedingan pagi. Komputer ribanya berfungsi lagi.

                “Amir! Bangun subuh nak. Mama sudah lama bangun dengan ayah ni,” suara mesra wanita separuh usia. Kelihatan di sisinya si ayah yang sedang membaca Al-Matsurat. Kelihatannya seperti di meja makan.

                “Kami di sini sudah pukul 10 pagi, ayah kamu kerja lewat sikit. Syif doktor dia mula tengah hari. Abang, cakaplah dengan si Am ini.” Ibunya menhalakan kamera tepat ke arah si ayah.

                “Hari ini ayah kamu sembang dengan mama, mungkin tahun depan kami akan buat haji. Jadi bolehlah melawat kamu.”

                Amir hari ini bangun lebih awal. Bersiap sedia.

                Banyak perkara besar bakal dihadapinya .

                Sambil-sambil  membuat kemasan akhir pada semua bagasinya, telinganya masih lekat kepada suara daripada komputer ribanya. Suara yang saban hari menjadi penemannya sejak 5 tahun dulu.

                Matanya menyapu seluruh penjuru rumahnya. Mungkin buat kali terakhir. Dia dan Malik menapak keluar. Mentari telah mulai bersinar.

                Menghangatkan jiwa manusia, agar bangun bekerja dengan semangat yang baru. Semangat daripada Tuhan Pemilik Matahari itu.

                Tujuan mereka hari ini. Lapangan terbang antarabangsa Ireland, Dublin Airport.

                Amirah dan kawan-kawannya juga dalam perjalanan yang sama. Setelah 5 tahun bersusah payah belajar di bumi orang, mengutip hikmah dan menguji iman, akhirnya mereka bakal pulang.

                Kapal terbang sedang menunggu.

                Kembalilah, wahai anak perantauan.

********

Amir bersila di situ.

Lama.

Rumput-rumput kecil menjadi permaidaninya. Mulutnya terkumat-kamit ayat-ayat Tuhan.

Ayat-ayat suci daripada Al-quran.

Buat kekasihnya baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Juga buat ibu bapanya yang tidak dapat menyambut kepulangannnya di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur siang hari tadi.

Di tangannya bingkisan Al-Matsurat kemas dipegang.

Bukan sekadar di tangan, tetapi juga di hati.

Batu nisan di hadapannya diusap lembut.

Amir bangun perlahan-lahan, bergerak pergi.

Amirah dan keluarganya menuggu di luar pagar.

“Kebetulan rumah Amirah dan kawasan ini dekat, bolehlah kita tumpang sekali,” ujar Amir sambil menghulur salam kepada ayah Amirah.

“Itulah, Amirah ada banyak cerita pasal Amir kepada kami. Tetapi, tak tahu pula yang Amir ini…” tidak sanggup ayah Amirah menghabiskan ayatnya.

“Tidak mengapa pak cik,” Amir terus senyum.

“Saya tahu Allah lebih sayangkan ibu bapa saya. Kerana itulah mereka dijemput pulang awal.”

“Pada tahun pertama saya, saya seorang yang agak nakal.”

Amir senyum kecil.

“Solat dan agama tak ambil endah, walaupun ibu ayah saya seorang yang baik.”

“Namun setelah kejadian di Tanah Suci yang mengorbankan mereka berdua, saya mula sedar dan berubah.”

“Semua video yang Amirah nampak tu hanyalah rakaman mereka sebelum mereka pergi. Saya selalu pasangkannya apabila terigatkan mereka. Ada yang saya setkan sama dengan alarm.”

Ayah Amirah di sebelah diam sahaja. Di hadapannya seorang anak muda yang benar-benar sudah berubah.

“Kumpulan Raihan ada melagukan, iman tak dapat diwarisi.”

“Dari seorang ayah yang bertaqwa.”

Sambil itu, tangannya mencuit lengan Amir. “Amirah suka sangat kumpulan Raihan.”

Amirah di belakang malu-malu. Emaknya di sebelah hanya tersenyum.

“Tapi, Allah juga tidak zalim, Dia sentiasa ada bagi mereka yang mencariNya,” ayat itu menghabiskan bicara mereka.

Kawasan perkuburan itu semakin hilang daripada pandangan. Mata Amir hanya mampu memandang.

“Mama, ayah, terima kasih kerana tidak putus asa terhadap Amir.”

“Walaupun mama dan abah nun di sana, namun ingatan dan doa tidak pernah hilang daripada hati Amir.”

“Dan satu lagi, Amir mungkin dapat keluarga baru. Mama dapat menantu,” senyum nakal

“Amir?”

Suara ayah Amirah menarik Amir keluar ke realiti kembali.

“Berangan apalah tu?”Amirah di belakang menambah.

Mereka semua ketawa.

Bahagia walaupun berbeza alam.


















Nota kaki :

Jika bermanfaat dipersilakan untuk kongsi .Jika ada kekurangan teguran amat dialu-alukan.

Terima kasih
 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.