Hari ini ialah hari ke-4 saya bekerja.
Cuba-cuba untuk berdikari dan memenuhkan masa yang terluang. Dalam masa yang sama saya ingin mencari ibrah dan pengajaran untuk dijadikan bekal yang berguna. Jadi , apa yang menarik?
Pengalaman
Pengalaman ialah sebaik-baik guru. Itu adalah madah pujangga yang terkenal. Pengalaman tidak boleh dibeli mahupun dijual. Ianya satu pengalaman peribadi yang harus dilalui sendiri oleh tuan punya badan. Jika dirasa ialah manis, tiada kata-kata yang benar-benar boleh mengungkapkan rasa sebenar kemanisan itu. Biarpun sehebat manapun penulis itu. Apa yang boleh ialah kita berkongsi pengalaman dan cerita. Kita mungkin boleh merasa hampir-hampir seperti apa yang diceritakan. Tetapi, hakikatnya adalah berganda lebih baik.
Sebelum ini, saya banyak membaca dan kadang-kadang menulis mengenai kita beribadah dalam kerja. Itu semua teori. Hari ini saya berada di alam realiti. Saya benar-benar berada dalam realiti. (post ini ditulis ketika waktu kosong pada waktu kerja)
Agar kerja menjadi ibadah
Agak mudah untuk mengungkapkannya. Tetapi menjadikan ianya realiti tidaklah sebegitu. Kita perlukan teknik yang betul. Saya yang baru (sangat baru) bekerja ingin menyatakan bebarapa tip yang saya rasa mudah agar kerja menjadi ibadat. Bayangkan jika kita kerja saharian,bukan sahaja kita mendapat wang bahkan mendapat pahala. InsyaAllah. Pastinya kita mahukan?
1. Pagi-pagi sewaktu mula melangkah keluar ke kerja. Niat dalam hati. “aku bekerja kerana Allah”
2. Pastikan kerja kita itu memberi manfaat kepada islam dan tidak berdosa.
3. Dan pastikan kita tidak zalim (meletakkan sesuatu bukan pada tempat/haknya) dalam bekerja.
Hasil titik peluh kita
Ibu bapa sangat menghargai wang yang ada. Mereka selalu memastikan apa sahaja yang ingin dibeli itu bermanfaat dan baik. Kita pula?
Asal sahaja mendapat duit, kita akan menghabiskannya dengan memberi banyak perkara yang kita suka, bukan yang kita perlu. Bagi perempuan( kadang kala lelaki), akan pergi bersyopping sakan.
Mengapa? Kerana kita tidak dapat merasakan nilai sebenar wang yang diperolehi dengan titik peluh. Cubalah bekerja.
Kerja mengikut minat
Saya tahu perkara ini penting. Tetapi saya belum benar-benar sedar bahawa perkara ini amat penting. Maksudnya?
Bayangkan kita akan bekerja saban hari, berpenat lelah dengan pekerjaan kita. Jika benar-benar suka akan pekerjaan kita, kita akan lebih bersemangat dan tidak mudah tertekan dengan kerja. Bayangkan saja, jika seseorang itu suka akan kereta, pastinya dia suka untuk pergi bekerja sebagai mekanik kereta setiap hari walaupun tidak disuruh. Begitulah sebaliknya.
Masih awal
Sebenarnya saya bekerja sebagai sementara sahaja. Bukan tetap lagi. Masih akan menyambung pelajaran. Saya sebenarnya sangat bersyukur kerana dapat merasakan semua yang saya nyatakan di atas tadi sewaktu masih belajar lagi. Maknanya, saya masih lagi boleh berusaha untuk mengubah masa depan saya. Dan insyaAllah, semua ini akan menyebabkan saya akan lebih rajin dan tekun belajar.
Saya faham kenapa perlu mendapat kelayakan yang tinggi. Kita bekerja pada tempoh masa yang sama, gaji kita berlainan. Seorang tinggi dan seorang lagi tidak begitu tinggi. Pilihlah.
Jika anda (saya) masih dalam alam pengajian, kita boleh memilih yang pertama.
Penutup
Pastinya setiap orang mempunyai pengalaman berbeza. Pengalaman anda ialah harta anda yang tidak boleh dicuri. Begitu juga ilmu anda. Dan inilah pengalaman saya bekerja.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
(bagi yang menganggur tanpa apa-apa kerja lansung(maksudnya makan tido sahaja, carilah kerja. Kerana kerja itu sentiasa, bagi mereka yang mencari)
^^
0 17 ulasan:
Post a Comment