Tuesday, September 27, 2011

Saya anjing, boleh salamkah?




Saya anjing, boleh salamkah?

Tangan saya ligat membetulkan sarung kaki. Setelah selesai menunaikan solat Asar tadi, saya berehat beberapa ketika. Kini, masa untuk kembali bekerja.

Tiba-tiba.

“ustaz! Ustaz!” satu suara melaung daripada belakang.

Saya endah tak endah, saya bukan ustaz.

Namun, suara itu sekali lagi melaung .

“ustaz!ustaz!”

Saya hairan, menoleh perlahan. Kelihatan di belakang saya seorang lelaki yang sangat asing.

Ketika itu saya berada di pusat dakwah di tengah kota raya. Solat Asar baru sahaja dikerjakan. Semua jemaah beransur-ansur meninggalkan surau di pusat dakwah itu. Hari-hari hujung minggu sebegini memang ramai yang mengambil peluang untuk keluar.

Anjing ?

Seorang lelaki tempatan yang asing sedang berdiri memandang saya. Rambutnya berwarna perang, sebelah telinganya ditindik, bersubang, gigi sedikit kuning, tangan berotot tetapi banyak kesan calar balar, berparut dan berseluar jeans biru.

Saya hanya tersenyum, “ya?”

“ustaz , ada duit RM9.50 nak saya nak balik rumah saya di baling” dia berkata sambil menggaru-garu belakang kepala, entah gatal atau apa. Mungkin malu.

Saya sedikit hairan, dalam ramai-ramai orang di situ. Dia memanggil saya. Perkara yang sering terjadi. kopiah saya telah lama tersimpan kemas di kocek baju.

Saya senyum sambil menghulurkan tangan. Ingin bersalam.

Tiba-tiba riak wajahnya berubah. kelihatan seperti terkejut besar.

Saya mengangkat kening. Apa?

“saya ini anjing, boleh salamkah?” terpacul kata-kata itu daripada mulutnya. Matanya menunjukkan keseriusan.

Saya tergamam. Benar-benar tergamam.

Cerita manusia di dunia

Saya tersengih, “ish, takada apalah. Boleh saja salam”

Tangan saya masih disua kepadanya.

Tangannya bergerak perlahan. Ingin bersalam.

“tidak haramkah? Tak kotorkah? Saya ini anjing?” tangannya berhenti.

“tidak ada apalah” saya bersalaman dengannya. Saya lihat tangannya bersih sahaja. Apa yang kelihatan hanyalah parut-parut di tangannya. Ibarat ditoreh dengan pisau.

Dia kelihatan terkesima. Mungkin sudah lama dia tidak bersalam, fikir saya.

“duduklah dulu”saya mempelawanya duduk di sebelah. Di tangga pintu masuk.

Dia duduk perlahan-lahan.

“Nak balik mana?” soal saya kepada lelaki itu. Umurnya sekitar 30an.

“nak balik baling ustaz”

“Ooo” reaksi sepontan saya.

Lelaki disebelah senyap.

“Ustaz , apa saya nak buat ustaz? Bini saya tidur dengan lelaki lain” tiba-tiba dia menyoal saya. Wajahnya memandang ke hadapan.

Saya senyap. Fikirkan jawapan yang terbaik. saya ini belum berkahwih, dia bertanya tentang bab ini. Saya hanya mengangguk perlahan.

“kalau dia tidur dengan orang lain teruk, ini dia tidur dengan lelaki-lelaki banggla” kes semakin rumit.

Dia mula bercerita lebih lanjut. Tegak bulu roma tengkuk saya. Semuanya mengejutkan.

“ceraikan saja” saya membuat kongklusi berdasarkan pengamatan saya. Bagi saya, tidak ada guna mengekalkan perkahwinan dengan seorang penzina. Jika kisahnya kisah yang betul.

“sudah ustaz, saya ceraikan dengan talak satu” balasnya dengan muka yang keliru. Tangannya kembali mengaru-garu kepalanya buat kesekian kalinya.

Dipendekkan cerita, memang agak banyak topik yang dibincangkan.

Dia berkata dia pernah ‘bunuh’ orang. Selepas itu, dia membetukan, bukan bunuh cumanya bagi patah sahaja. Susuk tubuhnya membenarkan kata-katanya. Saya bertanya adakah dia ada kumpulan, dia menggeleng.

Tempat paling jauh pernah pergi? Australia katanya. Saya menguji, fasih bahasa enggeris? Dia membalas dalam bahasa English. Lambat-lambat, tapi memang bahasa English. Saya duga lagi, American or British? Dia menjawab british. Saya terus menduga,takkallam a’rabi?

Kali ini dia kantoi. Tidak pernah bercakap arab. Dia membalas dalam bahasa Russia. Mungkin dia menganggap bahasa yang saya tuturkan tadi ialah bahasa Russia. Saya ketawa kecil.

Selepas itu dia mula bercerita tentang dirinya. Dia merupakan orang yang tidak baik, itu katanya. Macam-macam yang pernah dia lakukan. Kadang-kadang dia bertutur dalam bahasa English. Kadang-kadang melayu biasa. Menarik.

Fikir saya, dia ini asalnya kaya. Namun kini jatuh miskin. Mungkin begitu. Dia kelihatan berat untuk menceritakan kerjanya yang terdahulu.

Dia juga bercerita dia pernah ke pusat zakat, tetapi tidak diendahkan. Begitu juga nasibnya di pusat kebajikan. Tidak diendahkan dan dihalau.

Dia berkata dia ingin pulang ke kampung berjumpa ibu dan neneknya. Saya berkata, “that good. Not everybody have the chance to make good deed to their mother. And also, not everybody have family. Sometime, they just live alone. Alone without anyone or anybody that have blood related family. Thank God, You still have your mother. (itu bagus, bukan semua orang ada peluang untuk berbuat baik kepada ibu mereka. Dan lagi, bukan semua orang ada keluaga. Ada orang yang hidup seorang diri,tanpa sesiapapun yang mempunyai pertalian darah dan keluarga. Alhamdulilah, kamu masih ada ibu”

Pada ketika itu, saya dapat melihat matanya berkaca.

Bayangkan saja, badan seperti kereta kebal, tetapi, hatinya sangat lembut.

“manusia sentiasa boleh memilih” saya cuba memberi semangat.

“Sama ada mahu menjadi bad (jahat) atau…” kata-kata lelaki itu tersekat disitu.

“atau Not Bad (tidak jahat)” saya menambah sambil ketawa kecil. Dia ini memang tak suka menggunakan perkataan Good (baik).

Terkoyak juga ketawa daripada bibirnya.

“awak sekarang tidak jahat, sebab awak duduk disini, tidak menganggu sesiapa pun. Awak juga boleh saja pukul saya, tapi awak pilih untuk ‘tidak’. Jadi, manusia memang mempunyai pilihan”

Dia terkedu.

Apa pilihan awak?

Saya bertanyanya.

Saya sekadar memberikan sedikit wang, selebihnya berusahalah sendiri.Carilah kerja. Kerja setiasa ada bagi yang mencari.

“you can change! I know you can (awak boleh berubah, saya tahu awak boleh)” saya memberanikan memegang bahunya. Memberi semangat sebelum berlalu pergi.

Setelah memberi salam, saya bergerak pergi. Amanah lain perlu diselesaikan.

Lelaki itu hanya mengangkat tangan.

Itu pilihan dia. Apa pilihan kita?

Adakah kita akan terus mengabaikan golongan ini? Memulau tanpa membantu? Mencemuh tanpa menasihat? Berasa diri mereka hina dan kita mulia?

Kita boleh pilih untuk bantu mereka kembali kepada Allah.

Atau kita boleh pilih untuk meninggalkan mereka hanyut tanpa bantuan.

Apa pilihan kita??

p/s: ini kisah BENAR!!


Friday, September 23, 2011

Sekitar Program Motivasi PMR SMK Labu Besar, Kulim

Para Team Qalb Training Center (QTC) bersama Guru bertugas



Ustaz Syukri sedang menyampaikan kuilah subuh. Pengisian yang sangat mengesankan.

Berinteraksi bersama peserta di dalam Slot Motivasi Peperiksaan dan Teknik Menjawab
Akhi Syah mantap menaikkan semangat semua peserta
Alang-alang sudah ke Kulim, rugi jika tidak singgah di Sedim. 5 bintang.

Semoga adik-adik SMK Labu Besar semua berjaya dalam peperiksaan yang bakal menjelang. TAKDIR ITU DIHUJUNG USAHA
^^

p/s: kredit gambar-gambar untuk Akhi Sayuti

Tuesday, September 20, 2011

Jika Cinta, Apa Buktinya?

Jika Cinta, Apa Buktinya?
Perkongsian daripada Ustazah Fatimah Syarha.
P/S: Untuk majlis walimah saudari Nur Raihan Izzati dan suami. (bacth yang sama di Maahad) Mabruk!lihat SINI


Kak Haura' dan Fina sayang, cuba tengok kakak ni. Bagus kan? Dia suka baca al-Quran. Tentu Allah sayang dia. Jom kita baca al-Quran.


Ya, kita ‘tahu’ kita perlu mencintai Allah SWT. Tapi adakah kita ‘faham’ dan ‘jelas’ samada kita sudahpun mencintai Allah SWT ataupun belum? Apakah bukti kita mencintai Allah SWT? Mari ikuti ‘checklist’ berikut untuk mengenalpasti sejauh mana kita meletakkan Allah SWT menempati cinta paling utama di hati kita.

1. 1. Segera Menyahut Call Daripada-Nya.
“Allahu akbar! Allahu akbar!” Allah SWT memanggil. Tika itu kita sedang asyik menonton rancangan kegemaran. Apa selalunya reaksi kita pada panggilan-Nya?
Di atas nama cinta pada yang selayaknya…kunafikan yang fana…” Melodi handphone pula berirama. Tika itu kita sedang sibuk studi sebab esok final exam. Kita tangguhkan atau kita segera mengangkatnya?
Bukti cinta, letakkanlah Kekasih Agung sebagai prioriti. Letakkan keinginan kita sama dengan keinginan Kekasih, tidak bertentangan. Jika Allah SWT ingin berjumpa, tunjukkanlah kita juga ingin berjumpa Allah SWT. Malah, apa yang kita inginkan pun ditanya kepada Allah, bukan berasal daripada diri kita sendiri.
Misalnya, keinginan memilih pakaian. Wajarkah orang yang cinta kepada Allah SWT berkata begini: “Aku tak nak pakai tudung ke, nak pakai jeans ke, tak pakai apa-apa ke, suka hati akulah.” Sudahkah ditanya kepada Allah SWT, pakaian bagaimanakah yang Allah SWT suka? Jika Allah SWT diletakkan sebagai kekasih, tentulah kesukaan-Nya yang akan kita utamakan.
Orang yang egois, suka dirinya disanjung dan dipuja tapi tidak suka menyanjung dan memuja. Dia mahukan Allah SWT mengikuti keinginannya tetapi dia tak suka mengikuti keinginan Allah SWT, enggan melakukan apa yang Allah suruh. Benarkah kita cinta kepada Allah SWT tatkala kita memaksa Dia memakbulkan doa-doa kita sedangkan hidup seharian kita asyik bergelumang dosa tanpa taubat?

2. 2. Memberi Perhatian Kepada SMS dan Email Daripada Allah.
Kecintaan Rasulullah SAW dan para sahabat nampak jelas buktinya apabila mereka sangat cintakan al-Quran. Al-Quran itulah SMS dan Email daripada Allah SWT supaya kita perhatikan selalu.
Generasi awal membudayakan al-Quran dalam hidup seharian. Apabila saling bertemu, mereka suka minta dibacakan al-Quran untuknya.
Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Abbas membacakan al-Quran untuknya. Kata baginda, “Bacakan al-Quran kepadaku.”
Ibnu Abbas lalu membaca sehingga ke surah An-Nisa’: ayat 41. Rasulullah SAW minta dicukupkan kerana tidak tahan menanggung air mata sebak. (Rujuk HR BukhariMuslim).
Suatu malam, Rasulullah SAW melewati rumah Abu Musa al-Asya’ri yang sedang membaca al-Quran dalam solat malam, Rasulullah terus terpegun dan menangis. (HR BukhariMuslim).
Suatu saat Abu Musa al-Asya’ri datang kepada Umar. Umar berkata,”Ingatkan kami kepada Tuhan kami.” Lalu al-Quran dibacakan. Umarpun menangis.
Jadi, jika benar kita cintakan Allah, cintailah juga kalam-Nya. Ajaklah kawan-kawan kita membudayakan al-Quran. Biar al-Quran menjadi perbualan harian dan mimpi malam kita. Jadikan kerinduan menatap al-Quran lebih mendalam daripada kerinduan menatap sms, email dan facebook.

3. 3. Memandang MMS-Nya Selalu.
Memandang MMS Allah? Aik, macam mana tu? Ya, kita tidak dapat memandang zat Allah yang Maha Tinggi di dunia. Namun, kita masih boleh memandang ‘kebesaran-Nya’.
Allah SWT sudah hantar MMS pada kita. Lihatlah pesona alam yang menghijau, lihatlah gumpalan awan yang memukau, lihatlah gelora laut yang membiru dan lihatlah kehidupan yang penuh ranjau. Semuanya membentangkan sifat-sifat Allah SWT yang Maha Agung, Maha Pencipta, Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Penyayang.
Semakin direnung, semakin diri terasa kerdil. Tatkala diri terasa kerdil, akan timbul rasa pergantungan pada Yang Maha Besar. Tika rasa ingin memandang-Nya makin kerap menjengah hati, ia suatu bukti kita semakin cinta kepada Ilahi.

4. 4. Malu-malu Saat Dating dengan-Nya.
Anda pernah bertembung mata dengan seseorang yang dikagumi agama dan akhlaknya? Rasa malu tak? Biasanya, hanya terdaya memandang sepintas lalu sahaja.
Anda pernah dirisik atau bertunang? Bagaimana perasaan saat direnung bakal ibu mertua? Hmm, rasa ingin tunduk sampai mencium lantai, kan?
Bagaimana pula saat berhadapan dengan ‘orang besar’ atau Raja? Sanggupkah kita membiarkan mata melilau ke mana sahaja? Sudah tentu kita memfokuskan perhatian kepadanya dengan kepala yang sedikit menunduk. Betul tak?
Kenapa? Kerana dorongan rasa malu dan kerana kita meletakkan mulia pada kedudukan orang yang memandang kita itu. Allah SWT pernah memuji kesempurnaan adab kekasih-Nya, Muhammad SAW pada malam israk mi’raj. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Penglihatanya (Muhammad) tidak berpaling (fokus) dari yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya (tidak memandang dengan tajam).” (An-Najm: 17).
Bukankah saat solat itu adalah saat kita dating malah kadang kala itulah saat kita berkhalwat dengan Allah SWT? Jika benar kita cintakan Allah SWT, buktikan dengan menjaga adab memandang di dalam solat. Rasulullah SAW melarang kita solat sambil memandang ke atas. Berdiri di hadapan Allah SWT, kita mestilah berdiri tegap, menundukkan kepala dan memfokuskan pandangan ke tempat sujud.
Hakikatnya, Allah SWT bukan sahaja memandang kita di dalam solat, bahkan setiap saat. Sama-samalah kita menjaga rasa malu pada-Nya sebagai bukti kita cintakan Dia.

5. 5.Sentiasa rindu dan ingat pada -Nya.
Wujudkah cinta tanpa rindu? Jika benar kita mencintai Allah SWT sebagai cinta agung, Dialah yang sepatutnya paling kita rindui.
Bagaimana merindui suatu yang kita tidak tahu zat-Nya? Bersabar dan berharaplah saat-saat indah dapat menatap wajah-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa rindu dan berharap pertemuan dengan Allah,
maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang.” (Al-Ankabut: 5).
Rindu pada Allah SWT terubat seketika apabila kita menghadiri majlis ilmu yang mentauhidkan Allah SWT. Rindu pada Allah SWT juga terbias pada rindukan al-Quran, rindukan tahajjud, rindukan orang-orang soleh dan rindukan kebenaran.

6. 6.Banyak Menyebut-nyebut Nama-Nya.
Apakah topik perbualan harian kita dengan kawan-kawan? Soal artis? Soal drama TV? Soal pelajaran? Soal si dia?
Kalau kita cintakan Allah SWT, apa kata, kita sama-sama jadikan Allah SWT sebagai perbualan harian. Ingin berbicara topik apa sahaja, pastikan Allah tidak lekang di bibir dan dikaitkan bersama. Mudah sahaja, contohnya:
“Alhamdulillah, Allah izin saya dapat juga A- dalam subjek ni.”
“Dia sedang mengumpat saya! Tak mengapalah, Allah ada. Allah akan bela saya.”
Selalunya, dalam kesusahan, atau tika ditimpa bahaya sahaja, orang mudah kembali ingat pada Allah SWT. Beruntunglah orang yang sering mengingati Allah SWT di saat senang, nescaya Allah SWT akan mengingatinya di saat susah.
Ingatan pada Allah SWT terzahir juga pada banyaknya zikir. Ada 4 tingkat zikir menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1) Tertinggi: Berzikir dengan lidah dan hati yang sama-sama merasai. Hati lebih-lebih lagi menikmati.
2) Berzikir dengan lidah dan hati tapi tidak merasai.
3) Berzikir dengan hati sahaja, sekadar ingat bukan merasai.
4) Berzikir dengan lidah sahaja, hatinya lalai.
Samada zikir kita di tingkat pertama atau keempat, Allah SWT tidak akan mempersiakan setiap zikir hamba-Nya ini melainkan diberikan pahala. Begitulah Allah SWT menghargai setiap rindu dan ingatan kita pada-Nya. Adakah kita juga menghargai Dia?

7. 7. Bersabar dengan Ujian Allah
Lumrah cinta akan ada ujian. Ujian itu bagi mengenalpasti setakat mana dalamnya cinta. Kadangkala kita melalui beratnya ujian, tidak tertanggung rasanya. Ketahuilah, seberat manapun ujian kita, kita tidak pernah diuji supaya menyembelih anak sendiri atau meninggalkan insan tercinta di padang sahara. Kita juga belum lagi diuji dengan lemparan batu, sanak-saudara memboikot dan membenci atau berperang menentang musuh.
Ujian-ujian yang besar ini menjadikan para Nabi istimewa di mata Ilahi. Jadi, kalau benar kita cinta pada-Nya, usah mengharapkan hidup tanpa ujian. Usah juga meminta-minta ujian yang lebih besar . Berdoalah agar diberi kekuatan menghadapi apa jua ujian dari-Nya. Dia lebih tahu ujian mana yang layak bagi kita. Apa yang perlu diingat, Allah SWT sengaja menguji kita untuk mengenal dan membuktikan siapa yang lebih mencintai Dia.

8. 8.Mencintai Segala Sesuatu yang Berkait dengan Allah.
Jika sudah terpikat, melihat atap kolej si diapun sudah mengubat. Apa-apa sahaja yang ada kaitan dengannya memberi rasa debaran di dada. Malah, perkara yang ada kaitan itupun terasa istimewa. Begitulah lumrah cinta.
Apakah pula bukti kita terpikat pada cinta Allah SWT? Sudah tentu apabila kita mencintai sesuatu yang ada kaitan dengan-Nya, itu bukti kita ingin lebih akrab dengan-Nya. Contohnya kerinduan muslim kepada Kaabah kerana Kaabah adalah baitullah (Rumah Allah). Maka, Kaabah juga dirasakan istimewa. Itu suatu bukti cinta.
Jika masih belum mampu meluah rindu di Kaabah, manfaatkan rumah-rumah Allah yang berhampiran kita. Jangan biarkan masjid dan surau sunyi tanpa kunjungan para pencinta. Buktikanlah cinta kita pada-Nya.

9. 9.Luapan Perasaan Luar Biasa Saat Berhubungan dengan Allah. (Khusyuk).
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sungguh, orang-orang yang beriman ialah apabila disebut nama Allah, akan gementar hati mereka, bila dibacakan ayat-ayatnya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya, dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.”(Al-anfal:2).
Mendapat khusyuk amat sukar. Namun kita masih mampu berusaha mendapatkannya. Semoga amalan kita tika ini lebih baik daripada yang tadi. Sentiasa lakukan yang lebih baik untuk mencapai yang terbaik.

10. Cemburu
Cemburu dan cinta tidak dapat dipisahkan. Tanda cinta kepada Allah SWT, kita akan cemburu apabila ada orang yang lebih mencintai kekasih kita hingga kekasih kita juga lebih cinta kepadanya. Ianya cemburu yang positif bukan cemburu yang dibiarkan bertukar menjadi fitnah.
Cemburulah kepada orang yang lebih berilmu, ulama’, dan orang yang lebih banyak beramal. Bukan cemburu kosong tapi dalam rangka untuk mencontohi mereka. Dalam solat pula, cemburulah kepada orang yang solatnya lebih awal waktu, dapat berjemaah, dan solatnya lebih khusyuk kerana dia lebih mendapat perhatian Allah SWT ketika itu.

11. Berusaha keras meraih redha Allah.
Seterusnya, bukti kita mencintai Allah SWT ialah apabila kita sanggup melakukan apa sahaja demi menggapai redha Allah SWT. Ada 3 kondisi pencinta menurut Ibnul Qayyim al-Jauziyah iaitu:
1)Berat hati untuk mencintai namun dia memaksakan diri.
2)Cinta makin menguat dan dia patuh.
3)Cinta menetap di hati dan dia sanggup mengorbankan apa sahaja.
Cinta kita kepada Allah di tahap mana? Apapun tahapnya, mulai saat ini, buktikanlah kepada Allah SWT, kita sangat cinta pada-Nya. Jom!

Monday, September 12, 2011

Itu Pakwe saya!?


Itu Pakwe saya

Kelihatan seorang perempuan muda sedang membelek-belak mushaf Al-Quran yang dipamerkan. Nampaknya sangat berminat untuk membelinya untuk koleksi peribadi. Walaupun gaya pakaiannya bertudung , ianya masih agak belum melengkapi pakaian muslimah sebenar.(bersambung di perenggan di bawah. Rugi kalau tidak baca ^^)

Begitulah pandangan ringkas yang boleh saya katakan terhadap apa yang akan terjadi hari ini. Sesuatu yang agak kelakar dan tidak kurang juga ada pengajarannya.

Gaya Pekan

Tempat saya berkerja terletak di tengah-tengah pekan (bandaraya) di Alor setar. Pemandangan pemakaian ala-ala artis memang biasa. Biasa di sini tidak bermaksud saya redha apatah lagi setuju. Jangan ‘biasa’ dengan maksiat dan dosa yang ‘biasa-biasa’. Kerana apa?

Kerana redha dengan maksiat itu, satu maksiat juga.

Sememangnya artis memainkan peranan yang sangat besar dalam gaya pemakaian remaja sekarang. Itu tidak dapat disangkal lagi. Buktinya di bandaraya dan di pusat-pusat beli belah, ramai ‘artis-artis celup’ yang berkeliaran. Tak kurang juga mereka akan memilih pemakaian seperti Yuna dan sewaktu dengannya. Jangan pandang rendah juga pada mereka. Mereka juga antara pembeli setia buku-buku agama dan Al-quran.

Tidak percaya? Percayalah

Taufik dan HIdayah

Siapakah hidayah dan Taufik? Ianya ialah bimbingan ke arah kebaikan dan kemampuan untuk melakukannya (sihat tubuh badan). Kedua-duanya baik. Tetapi lebih baik apabila berpasangan.

Mereka bukan pasangan yang berpacaran. Pakwe nama Taufik, dan aweknya nama Hidayah. Bukan. Tolong jangan salah faham.

Pakwe saya.

Ini adalah isi utama perkongsian kali ini. Saya amat terkejut, bercampur lucu tak kurang juga insaf.

Sambungan daripada perenggan pertama.

“Al-Quran ini berapa?” soal gadis itu.

“ini RM20 sahaja” jawab saya yang bertugas.

Dia mengangguk. setuju untuk beli.

“kerja di KFCkah?” saya cuba beramah bersama pelanggan. Agar mereka senang hati dan datang lagi. Uniformnya tertulis begitu.

“Ya” jawabnya sambil mengeluarkan wang.

“Oh, saya ada seorang kawan yang bekerja di situ. Namanya Nazman (bukan nama sebenar). Kenal?” kebetulan kenalan saya bekerja ditempat yang sama.

“Pakwe saya” balas gadis itu pantas dan girang.

Saya terdiam. Tidak faham.

“Dia itu Pakwe saya” dia cuba menerangkan. Mungkin perasan dengan riak wajah saya yang keliru.

Terkoyak sengih besar daripada perkara saya.

Lucu dengan jawapannya dan cara dia menjawab. Juga lucu yang kawan lama saya sudah ‘berpunya’.

Selama ini , saya mungkin pernah terdengar mengenai orang yang berpacaran dan ber’couple’. Tetapi belum pernah sebegini. Teman wanita ( awek) mengaku dia berpacaran dengan sahabat lama saya. Perkara ini agak lucu bagi saya.

Terkejut

Dalam masa yang sama saya agak terkejut. Kerana saya baru saja berjumpa dengan mata kepala saya dengan orang yang berpacaran ini. Saban waktu penerangan mengenai hukum bercouple dan segala usaha yang dilakukan. Masih lagi wujud.

Insaf

Dan dalam masa yang sama. Saya insaf. Dia membeli al-quran. Untuk apa? Pastinya ingin dibacanya. Benar. Memang ramai pelanggan yang membeli Al-Quran daripada kelompok ini (ustazah-ustazah dah memang selalu beli). Pakaian mereka tidak seperti ustazah, tetapi mereka masih mempunyai hidayah untuk membeli dan seterusnya membaca Al-quran. Mereka sendiri sedar. Agama itu suatu perkara yang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan.

Yang tinggal ialah sama ada mereka ingin terus melangkah menjadi muslim yang baik. Ataupun , menangguhkan hasrat mereka. Saya insaf. Rupanya , ramai pencari Tuhan.

Sangat ramai.

Semoga kita juga tergolong dalam golongan pencari Tuhan, pencinta Tuhan dan paling penting, Hamba Tuhan. Allahlah Tuhan kita

Ada juga untuk kamu

Sebelum beredar pergi, saya sempat memesannya untuk mennyampaikan salam kepada sahabat lama saya itu. Sebagai ingatan.

Friendly reminder.(peringatan lembut)

Saya juga mengomel sedikit, “ish, sekarang ini semua sudah berpasang-pasang. Tinggal saya sahaja yang masih belum” acuh tidak acuh. Masih lagi friendly reminder.

Dia tergelak dan berkata. “InsyaAllah, ada juga untuk kamu”

Saya ketawa kecil.

“Bukan macam itu maksud saya. Saya hanya ingin mencari dan berkahwin terus.” Tegas dalam gurau.

Dalam erti kata lain, saya mencari isteri yang solehah dan ibu untuk ummat, bukannya teman wanita, awek, atau apa-apa yang sama waktu dengannya.

Dia terdiam. Kemudianya tersenyum dan mula meniggalkan perkarangan kedai.

Penutup.

Jika saya tidak berada di sini. Pasti saya tidak dapt merasakan perkara ini. Mungkin sekadar tahu, belum sedar. Dan kini saya sedar.

Tak perlulah saya ceritakan tentang berpacaran, semua sudah tahu bukan?

Sungguh setiap hari itu ada hikmah dan pengjarannya.

(buat kawan lama saya itu. Jangan tersinggung. Ukhwah kita masih utuh. Ukhwah atas dasar agama. Jangan marah ya.) ^^

P/s: KFC itu bukan nama sebenar juga.

Sunday, September 11, 2011

Mereka yang ke Mesir




Pagi tadi pelajar-pelajar kedah yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir terutamanya Universiti Al-Azhar berangkat. Mereka semua berkumpul di Hadapan Masjid Zahir. Alhamdulillah, saya sempat untuk berjumpa sahabat-sahabat saya yang akan ke sana.
Atiffurahman. Teman karib sejak sekolah rendah lagi. Bersama adik-adiknya yang comel-comel ^^



Ini Akh Syafiq. Senior yang dihormati
Ini Najmi (AQ5) Rakan seperjuangan di Maahad
Salammuddin. Kenalan Maahad
Ini Atha dan keluarga. tidak sempat bergambar bersama. Kawan rapat sejak Islah lagi
Muhaimin daripada Nahdoh hasanah
Kenalan Lama. Najmi

Untuk semua, belajar rajin-rajin. Semoga sentiasa dalam jagaan dan bimbingan Allah. Jumpa 4 tahun lagi. (dalam internet boleh jumpa hari-hari)

Uhibbukum Lillah ^^
serius~

Saturday, September 10, 2011

Berjalan tanpa henti

Ini versi skrin Lettop

p/s : to Ilham, nampaknya kita masih di sini. Menjaga tanah air ^^

Kerja oh kerja


Hari ini ialah hari ke-4 saya bekerja.

Cuba-cuba untuk berdikari dan memenuhkan masa yang terluang. Dalam masa yang sama saya ingin mencari ibrah dan pengajaran untuk dijadikan bekal yang berguna. Jadi , apa yang menarik?

Pengalaman

Pengalaman ialah sebaik-baik guru. Itu adalah madah pujangga yang terkenal. Pengalaman tidak boleh dibeli mahupun dijual. Ianya satu pengalaman peribadi yang harus dilalui sendiri oleh tuan punya badan. Jika dirasa ialah manis, tiada kata-kata yang benar-benar boleh mengungkapkan rasa sebenar kemanisan itu. Biarpun sehebat manapun penulis itu. Apa yang boleh ialah kita berkongsi pengalaman dan cerita. Kita mungkin boleh merasa hampir-hampir seperti apa yang diceritakan. Tetapi, hakikatnya adalah berganda lebih baik.

Sebelum ini, saya banyak membaca dan kadang-kadang menulis mengenai kita beribadah dalam kerja. Itu semua teori. Hari ini saya berada di alam realiti. Saya benar-benar berada dalam realiti. (post ini ditulis ketika waktu kosong pada waktu kerja)

Agar kerja menjadi ibadah

Agak mudah untuk mengungkapkannya. Tetapi menjadikan ianya realiti tidaklah sebegitu. Kita perlukan teknik yang betul. Saya yang baru (sangat baru) bekerja ingin menyatakan bebarapa tip yang saya rasa mudah agar kerja menjadi ibadat. Bayangkan jika kita kerja saharian,bukan sahaja kita mendapat wang bahkan mendapat pahala. InsyaAllah. Pastinya kita mahukan?

1. Pagi-pagi sewaktu mula melangkah keluar ke kerja. Niat dalam hati. “aku bekerja kerana Allah”

2. Pastikan kerja kita itu memberi manfaat kepada islam dan tidak berdosa.

3. Dan pastikan kita tidak zalim (meletakkan sesuatu bukan pada tempat/haknya) dalam bekerja.

Hasil titik peluh kita

Ibu bapa sangat menghargai wang yang ada. Mereka selalu memastikan apa sahaja yang ingin dibeli itu bermanfaat dan baik. Kita pula?

Asal sahaja mendapat duit, kita akan menghabiskannya dengan memberi banyak perkara yang kita suka, bukan yang kita perlu. Bagi perempuan( kadang kala lelaki), akan pergi bersyopping sakan.

Mengapa? Kerana kita tidak dapat merasakan nilai sebenar wang yang diperolehi dengan titik peluh. Cubalah bekerja.

Kerja mengikut minat

Saya tahu perkara ini penting. Tetapi saya belum benar-benar sedar bahawa perkara ini amat penting. Maksudnya?

Bayangkan kita akan bekerja saban hari, berpenat lelah dengan pekerjaan kita. Jika benar-benar suka akan pekerjaan kita, kita akan lebih bersemangat dan tidak mudah tertekan dengan kerja. Bayangkan saja, jika seseorang itu suka akan kereta, pastinya dia suka untuk pergi bekerja sebagai mekanik kereta setiap hari walaupun tidak disuruh. Begitulah sebaliknya.

Masih awal

Sebenarnya saya bekerja sebagai sementara sahaja. Bukan tetap lagi. Masih akan menyambung pelajaran. Saya sebenarnya sangat bersyukur kerana dapat merasakan semua yang saya nyatakan di atas tadi sewaktu masih belajar lagi. Maknanya, saya masih lagi boleh berusaha untuk mengubah masa depan saya. Dan insyaAllah, semua ini akan menyebabkan saya akan lebih rajin dan tekun belajar.

Saya faham kenapa perlu mendapat kelayakan yang tinggi. Kita bekerja pada tempoh masa yang sama, gaji kita berlainan. Seorang tinggi dan seorang lagi tidak begitu tinggi. Pilihlah.

Jika anda (saya) masih dalam alam pengajian, kita boleh memilih yang pertama.

Penutup

Pastinya setiap orang mempunyai pengalaman berbeza. Pengalaman anda ialah harta anda yang tidak boleh dicuri. Begitu juga ilmu anda. Dan inilah pengalaman saya bekerja.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

(bagi yang menganggur tanpa apa-apa kerja lansung(maksudnya makan tido sahaja, carilah kerja. Kerana kerja itu sentiasa, bagi mereka yang mencari)

^^

Monday, September 5, 2011

Hantu juga turut beraya?


Sedar tidak sedar, sudah hampir seminggu kita berada di bulan syawal. Sudah seminggu kita berpisah dengan Ramadan tercinta dan sudah seminggu juga kita merayakan kemenangan kita melawan nafsu di bulan Ramadan. Semoga hadiah kemenangan berupa taqwa menjadi milik kita.

insyaAllah.

Semoga Ramadan kita benar-benar berkesan dan kita semua terkesan

Hantu Raya

Negara kita mempunyai bermacam-macam jenis Raya. Daripada jalan raya kepadalah hantu raya. Semuanya raya.

Pastinya ramai yang pernah mendengar tentang hadis yang menceritakan tentang syaitan akan dibelenggu pada bulan Ramadan. Jadi pada bulan syawal, para sayitan akan kembali bebas dan bermaharajalela. Sedarkah kita?

Mudah sahaja untuk melihat perkara ini. Solan mudah. Filem apakah yang paling banyak ditayangkan pada hari perayaan? Tidak kisahlah saluran TV yang mana.

Jawapanya?

Ya. Filem hantu.


Hantu juga turut beraya.

Mahu Menjadi hantu?

Persoalan mudah untuk waktu ini. Adakah kita turut menjadi hantu bersama semua hantu-hantu raya ini? Bersuka ria tanpa batas? Kembali kepada perangai rama? Terlupa bahawa kita sudah menang menentang nafsu.

Koreksi diri kita. Muhasabah sebentar.

Sama-sama. Anda dan saya.

Penutup

Semoga kita berubah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita.

Katakanlah amin. Amin ya Rab

p/s: jangan lupa cuba puasa 6 hari di bulan Syawal ini. Ganjarannya ibarat setahun. ^^

 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.