Thursday, July 28, 2011

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN (Part 1)

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN (Part 1)



Firman Allah Ta’ala:
{ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُم الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لعلكم تتقون }
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang yang hidup sebelum kamu agar kamu semua bertaqwa”.

Ayat ini hanya menyeru orang yang beriman tidak kepada semua umat Islam kerana hanya orang yang beriman sahaja akan menyahut seruan Allah ini. Mereka diwajibkan berpuasa seperti mana umat dahulu berpuasa. Ini bermakna umat dahulu juga diwajibkan berpuasa seperti kita.

Ulamak menjelaskan bahawa Bani Israil juga pernah diwajibkan berpuasa selama 30 hari pada bulan Ramadhan. Namun seperti tabiat kebiasaan mereka yang suka mengingkari dan mengubahsuai perintah Allah telah menambah bilangan hari. Rahibnya yang jatuh sakit telah bernazar jikalau beliau sembuh dari penyakitnya, beliau akan menambahkan kewajipan puasa terhadap dirinya dan orang ramai menjadi 40 hari. Kemudian dinasihati oleh rahib-rahib yang lain agar digenapkan 50 hari puasa. Selepas itu mereka tidak mampu melaksanakannya kerana terlalu berat. Lalu mereka terus mengubah kewajipan itu mengikut hawa nafsu mereka hinggalah zaman sekarang. Kewajipan berpuasa bagi mereka sekarang diubahsuai menjadi sangat mudah. Mereka berpuasa dengan mengurangkan pemakanan mereka seharian. Seandainya kebiasaan mereka makan 2 pinggan nasi, maka mereka berpuasa dengan memakan 1 pinggan nasi sahaja.

Jadi kita sebagai umat Islam, hendaklah berpuasa mengikut syariat yang diajar oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم . Puasa kita adalah ibadat bukan adat. Jadi perlulah kita lihat bagaimana Rasulullahصلى الله عليه وسلم berpuasa supaya ibadat kita bertepatan dengan syariat. Kita perlulah membuat persediaan sebelum masuk ke dalam bulan Ramadhan. Persediaan kita bukanlah dengan kelengkapan makanan untuk berbuka puasa semata-mata tetapi ilmu pengetahuan tentang selok-belok berpuasa dari aspek rohani dan jasmani perlu diketahui. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan bukan bulan yang biasa dan tidak bernilai. Pada bulan ini diampunkan dosa-dosa kita seandainya kita menghayatinya dengan sempurna. Pintu syurga juga dibuka untuk kita dengan seluas-luanya. Syaitan pula diikat dan dirantai. Mereka tidak dapat menggoda kita untuk melakukan kemaksiatan dan yang tinggal hanyalah musuh di dalam selimut iaitu hawa nafsu kita. Didiklah nafsu kita agar menjadi jinak dengan Allah pada bulan yang mulia ini.

Bagindaصلى الله عليه وسلم pernah bersabda : “Barang sesiapa yang berpuasa dalam keadaan dia beriman bahawa Allah akan membalas ibadahnya itu dan menjaga diri daripada melakukan kemaksiatan nescaya dia akan diampunkan semua dosa-dosanya.”

Bayangkan seandainya seorang itu diampunkan semua dosanya, nescaya dia tidak ubah seperti sehelai kain putih yang bersih dan cantik , dan seperti bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan bersih daripada dosa. Berebutlah untuk mendapat keampunan Allah di dalam bulan ini. Jauhilah diri daripada mengeluarkan kata-kata yang haram, kesat, maki dan sebagainya. Ajarkanlah lidah kita juga berpuasa seperti mana mulut dan perut kita berpuasa kerana perkara-perkara itulah yang akan menghilangkan pahala puasa kita. Basahlah lidah dengan membaca Al-Quran dan zikrullah sebagai pendinding kita daripada mengucapkan kata-kata yang tidak berfaedah. Seandainya ada orang yang mengeji, memaki dan ingin bermusuhan dengan kita pada bulan ini, ucapkanlah kepadanya “sesungguhnya aku berpuasa “ kerana itulah yang diajar oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم .

Ketahuilah bahawa bau mulut orang yang berpuasa terlebih wangi daripada haruman kasturi seperi mana yang difirmankan oleh Allah di dalam Hadis Qudsi. Janganlah kita cemarkan mulut kita yang suci ini dengan dosa. Sesungguhnya para malaikat memang gemar kepada bauan mulut orang yang berpuasa. Namun mereka akan cepat lari dan beredar daripada orang yang menghilangkan bauan itu dengan mengumpat dan meluahkan kata-kata maksiat.


Puasa juga mengajar kita untuk mengamalkan sabda Bagindaصلى الله عليه وسلم iaitu :


" Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri".


Seseorang yang mengasihi saudaranya pasti akan memahami apa yang dirasai saudaranya. Pernahkah kita merasai kesusahan yang dirasai saudara-saudara kita di Palestin, Kemboja,dan negara-negara Islam yang lain. Mereka selalu berlapar dan dahaga kerana kekurangan makanan. Mereka mungkin hanya makan sekali sehari dengan makanan ala kadar. Ada di kalangan mereka yang hanya menjamah daging setahun sekali sahaja dan ada di kalangan mereka yang mengutip sisa-sisa makan untuk dimakan. Persoalannya, adakah kita pernah merasai keadaan seperti itu?? Adakah kita pernah memikirkan kesusahan mereka??? Atau kita asyik memikirkan menu apakah yang sesuai untuk dimakan pada hari ini, esok, lusa, minggu hadapan, akhir bulan dan hari raya??? MasyaAllah.... Bagaimana iman kita akan sempurna?? Jadi dengan sedikit kelaparan di bulan puasa ini diharap muncul perasan kasih sayang terhadap saudara kita yang hidup susah di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya.


Perkara yang paling penting sekali adalah memori kita terhadap Baginda Nabiصلى الله عليه وسلم yang berlapar kerana ingin mempertahankan agama Islam. Bagindaصلى الله عليه وسلم pernah tidak makan selama 3 hari dan mengikat perutnya dengan 2 ketul batu kerana menahan lapar. Subahanallah... Sayangnya Bagindaصلى الله عليه وسلم terhadap kita. Tanpa pengorbanan Baginda tidaklah kita merasa nikmat Iman dan Islam pada masa sekarang. Jadi, mudah-mudahan kelaparan kita dapat menampahkan kecintaan kita terhadap Rasulullahصلى الله عليه وسلم .



Ibnu Harun - 30 Julai 2011 - 1.16 pagi

(diamabil dari blog guru saya untuk perkongsian ilmiah)

0 17 ulasan:

 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.