Thursday, July 28, 2011

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN (Part 1)

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN (Part 1)



Firman Allah Ta’ala:
{ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُم الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لعلكم تتقون }
Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang yang hidup sebelum kamu agar kamu semua bertaqwa”.

Ayat ini hanya menyeru orang yang beriman tidak kepada semua umat Islam kerana hanya orang yang beriman sahaja akan menyahut seruan Allah ini. Mereka diwajibkan berpuasa seperti mana umat dahulu berpuasa. Ini bermakna umat dahulu juga diwajibkan berpuasa seperti kita.

Ulamak menjelaskan bahawa Bani Israil juga pernah diwajibkan berpuasa selama 30 hari pada bulan Ramadhan. Namun seperti tabiat kebiasaan mereka yang suka mengingkari dan mengubahsuai perintah Allah telah menambah bilangan hari. Rahibnya yang jatuh sakit telah bernazar jikalau beliau sembuh dari penyakitnya, beliau akan menambahkan kewajipan puasa terhadap dirinya dan orang ramai menjadi 40 hari. Kemudian dinasihati oleh rahib-rahib yang lain agar digenapkan 50 hari puasa. Selepas itu mereka tidak mampu melaksanakannya kerana terlalu berat. Lalu mereka terus mengubah kewajipan itu mengikut hawa nafsu mereka hinggalah zaman sekarang. Kewajipan berpuasa bagi mereka sekarang diubahsuai menjadi sangat mudah. Mereka berpuasa dengan mengurangkan pemakanan mereka seharian. Seandainya kebiasaan mereka makan 2 pinggan nasi, maka mereka berpuasa dengan memakan 1 pinggan nasi sahaja.

Jadi kita sebagai umat Islam, hendaklah berpuasa mengikut syariat yang diajar oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم . Puasa kita adalah ibadat bukan adat. Jadi perlulah kita lihat bagaimana Rasulullahصلى الله عليه وسلم berpuasa supaya ibadat kita bertepatan dengan syariat. Kita perlulah membuat persediaan sebelum masuk ke dalam bulan Ramadhan. Persediaan kita bukanlah dengan kelengkapan makanan untuk berbuka puasa semata-mata tetapi ilmu pengetahuan tentang selok-belok berpuasa dari aspek rohani dan jasmani perlu diketahui. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan bukan bulan yang biasa dan tidak bernilai. Pada bulan ini diampunkan dosa-dosa kita seandainya kita menghayatinya dengan sempurna. Pintu syurga juga dibuka untuk kita dengan seluas-luanya. Syaitan pula diikat dan dirantai. Mereka tidak dapat menggoda kita untuk melakukan kemaksiatan dan yang tinggal hanyalah musuh di dalam selimut iaitu hawa nafsu kita. Didiklah nafsu kita agar menjadi jinak dengan Allah pada bulan yang mulia ini.

Bagindaصلى الله عليه وسلم pernah bersabda : “Barang sesiapa yang berpuasa dalam keadaan dia beriman bahawa Allah akan membalas ibadahnya itu dan menjaga diri daripada melakukan kemaksiatan nescaya dia akan diampunkan semua dosa-dosanya.”

Bayangkan seandainya seorang itu diampunkan semua dosanya, nescaya dia tidak ubah seperti sehelai kain putih yang bersih dan cantik , dan seperti bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan bersih daripada dosa. Berebutlah untuk mendapat keampunan Allah di dalam bulan ini. Jauhilah diri daripada mengeluarkan kata-kata yang haram, kesat, maki dan sebagainya. Ajarkanlah lidah kita juga berpuasa seperti mana mulut dan perut kita berpuasa kerana perkara-perkara itulah yang akan menghilangkan pahala puasa kita. Basahlah lidah dengan membaca Al-Quran dan zikrullah sebagai pendinding kita daripada mengucapkan kata-kata yang tidak berfaedah. Seandainya ada orang yang mengeji, memaki dan ingin bermusuhan dengan kita pada bulan ini, ucapkanlah kepadanya “sesungguhnya aku berpuasa “ kerana itulah yang diajar oleh Bagindaصلى الله عليه وسلم .

Ketahuilah bahawa bau mulut orang yang berpuasa terlebih wangi daripada haruman kasturi seperi mana yang difirmankan oleh Allah di dalam Hadis Qudsi. Janganlah kita cemarkan mulut kita yang suci ini dengan dosa. Sesungguhnya para malaikat memang gemar kepada bauan mulut orang yang berpuasa. Namun mereka akan cepat lari dan beredar daripada orang yang menghilangkan bauan itu dengan mengumpat dan meluahkan kata-kata maksiat.


Puasa juga mengajar kita untuk mengamalkan sabda Bagindaصلى الله عليه وسلم iaitu :


" Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri".


Seseorang yang mengasihi saudaranya pasti akan memahami apa yang dirasai saudaranya. Pernahkah kita merasai kesusahan yang dirasai saudara-saudara kita di Palestin, Kemboja,dan negara-negara Islam yang lain. Mereka selalu berlapar dan dahaga kerana kekurangan makanan. Mereka mungkin hanya makan sekali sehari dengan makanan ala kadar. Ada di kalangan mereka yang hanya menjamah daging setahun sekali sahaja dan ada di kalangan mereka yang mengutip sisa-sisa makan untuk dimakan. Persoalannya, adakah kita pernah merasai keadaan seperti itu?? Adakah kita pernah memikirkan kesusahan mereka??? Atau kita asyik memikirkan menu apakah yang sesuai untuk dimakan pada hari ini, esok, lusa, minggu hadapan, akhir bulan dan hari raya??? MasyaAllah.... Bagaimana iman kita akan sempurna?? Jadi dengan sedikit kelaparan di bulan puasa ini diharap muncul perasan kasih sayang terhadap saudara kita yang hidup susah di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya.


Perkara yang paling penting sekali adalah memori kita terhadap Baginda Nabiصلى الله عليه وسلم yang berlapar kerana ingin mempertahankan agama Islam. Bagindaصلى الله عليه وسلم pernah tidak makan selama 3 hari dan mengikat perutnya dengan 2 ketul batu kerana menahan lapar. Subahanallah... Sayangnya Bagindaصلى الله عليه وسلم terhadap kita. Tanpa pengorbanan Baginda tidaklah kita merasa nikmat Iman dan Islam pada masa sekarang. Jadi, mudah-mudahan kelaparan kita dapat menampahkan kecintaan kita terhadap Rasulullahصلى الله عليه وسلم .



Ibnu Harun - 30 Julai 2011 - 1.16 pagi

(diamabil dari blog guru saya untuk perkongsian ilmiah)

Kabus Cinta

Cerpen: Kabus Cinta.



Dia berbaring memandang siling putih. Kosong. Tidak seperti di Malaysia yang punya kipas pada siling kebiasaannya. Di Jordan, kebanyakan rumah sewa tidak mempunyai kipas dinding. Pelajar-pelajar yang menyewa akan membeli kipas sendiri yang boleh dialihkan, sebagaimana yang sedang berpusing memberikan angin damai dari penjuru bilik kepada dirinya kini.

Berbantalkan dua belah tangan, dia terus mengenangkan seseorang.

Irfan Hakimi. Sahabat akrab yang sudah seperti keluarganya sendiri. Tambahan, mereka memang tinggal bersama semenjak bapa sahabatnya itu meninggal dunia. Sudah hampir setahun sahabatnya meninggalkannya di sini, selepas tamat graduasi.

Dia yang mengambil Pergigian di Jordan University of Technology, perlu mengharungi lima tahun pengajian, berbanding sahabatnya itu yang mengambil jurusan Usuluddin di University of Yarmouk, hanya perlu mengambil empat tahun pengajian.

Kini dia juga hampir dengan tarikh graduasi. Tinggal sebulan lagi untuk peperiksaan final. Namun bukan itu yang menggusarkan diri. Ada perkara lain yang mencuitnya kini.

Kehilangan sahabat karibnya yang sering memberikan nasihat, dorongan dan sokongan kepadanya itu amat terasa, apabila masalah-masalah di sisi menghambatnya kini.

“Irfan, kan bagus kalau kau ada sekarang.” Dia bersuara. Kemudian keluhan dilepaskan.

Walaupun dia pada hakikatnya mempunyai ramai sahabat karib di Jordan ini, baik dari kalangan yang sama jurusan dengannya atau jurusan perubatan yang sama universiti dengannya, juga dari kalangan yang belajar di Yarmouk mengambil jurusan agama, tetap tiada yang mampu menggantikan Irfan sebagai sahabat terbaik buat dirinya.

“Tak ada kau, longgar skrew-skrew kepala aku. Haih…” Mengeluh lagi.

“Weh, meracau apa seorang diri tu?” Satu suara menerobos dari luar pintu biliknya. Segera dia menggerakkan kepala, memandang ke arah pintu.

Kelihatan Dzulkarnain, teman serumahnya kini, dan juga merupakan sahabat karib sepengajiannya, sedang menyandarkan sebelah bahu pada bingkai pintu. Senyuman lebar terukir, diiringi gelengan kepala. Tidak lama kemudian, Dzulkarnain membuka langkah mendekati katil.

“Terfikir apa ni Asid?” Dilabuhkan punggungnya di atas katil. Asid kekal dengan posisi tadi. Tidak bangun.

“Teringat Irfan.”

“Oh. Apa khabar dia sekarang?”

“Usah ditanya. Bahagia memanjang.” Jawab Asid acuh tak acuh.

Dzulkarnain tertawa.

Asid mengerut dahi. Kemudian matanya digerakkan, memandang wajah Dzulkarnain. “Weh, apa yang lawaknya ni? Aku buat lawak ke?”

“Tak ada la, yang engkau tu jawab macam sedih sahaja apa fasal? Selalunya, bila Irfan bahagia, kau bahagia sama. Bila dia sedih, kau pun gaya macam dunia terbalik sahaja. Ini tak, kau cakap dia bahagia, tetapi nada macam kecewa. Itu yang lawak tu.” Dzulkarnain menggeleng dengan tawa yang masih tersisa.

Dzulkarnain kemudian memandang Asid.

“Kau ada masalah apa ni Asid? Masalah dengan Nasuha ya? Atau masalah dengan Isra’ sebenarnya ni?”

Akhirnya Asid tertawa kecil. Tak sangka Dzulkarnain perasan akan nadanya yang datar, hingga seakan-akan mampu menembusi hatinya, dan menjangka apa yang bermain-main di dalam jiwanya. Ditebar pandangannya ke arah siling kosong itu semula.

“Dua-dua.”

“Masalah apanya?”

“Aku ajak Nasuha kahwin tahun ini sebenarnya, lepas aku habis belajar. Nasuha berkeras nak kahwin tahun depan, lepas dia habis belajar. Tahun ini, dia nak bertunang sahaja.” Nasuha, atau nama penuhnya adalah Sara Nasuha, merupakan wanita yang dicintai oleh Asid, atau nama penuhnya, Rasyid Zakwan. Beberapa peristiwa telah menghubungkan mereka berdua pada tahun yang lalu.

“Oh. Gembiralah macam itu, dia nak kahwin dengan kau. Apa masalahnya?”

“Benda itu jadi masalah, sebab kau pun tahu yang Isra’ tak lepas-lepaskan aku.” Asid menekan suaranya. Isra’ adalah perempuan berbangsa arab, yang hidup dengan gaya hidup agak kebaratan, merupakan pelajar sekelas dengan Asid di sini. Isra’ memang jelas mencintai Asid, dan selama ini berusaha memenangi hatinya. Dan kini, masih lagi berusaha.

“Oh, itu masalahnya.”

“Kau pun tahu, aku dengan Nasuha bukannya rapat sangat. Kenal pun kenal-kenal gitu sahaja. Dengan Isra’ pula, dari tahun satu sekelas. Dia pula sering ambil berat pada aku, sering usaha dekati aku, sering bantu aku itu ini, sering kongsi cerita itu ini dengan aku, dalam kelas selalu usaha duduk dengan aku, masa praktikal pula kumpulan dengan aku.”

“Kau tergoda?”

Pecah tawa Asid spontan. “Jahat la kau ni Dzul. Apa fasal guna terma tergoda pula?”

“Isra’ tu lawa. Macam Nancy Ajram. Macam Emma Roberts. Mana la tahu kan, hati kau tercuit ke.” Dzulkarnain mencuit bahu Asid. Mereka berdua tertawa.

“Hati tercuit mungkin la. Tetapi tergoda tu, tak la. Tercuit sebab dia baik, tambah terfikir pula perempuan yang kita suka macam nak tak nak sahaja dengan kita. Tergoda tu tak la, tergoda tu lebih pada nafsu.”

Dzulkarnain pun mendiamkan diri selepas itu. Asid juga tidak menyambung bicara. Bilik itu hanya diisi dengan bunyi kipas, dan kicauan burung dari luar tingkap bilik.

“Aku takut.” Asid meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Memecah senggang sunyi antara mereka.

Dzulkarnain mengangguk-angguk. Tetapi apakah yang boleh dia bantu? Dzulkarnain juga tidak tahu. Isra’ itu sebenarnya tahu bahawa Asid mencintai Nasuha. Tetapi oleh kerana Asid dan Nasuha tidak mempunyai apa-apa hubungan yang sah, juga ikatan yang rasmi, menyebabkan Isra’ sentiasa rasa bahawa dia masih berpeluang. Sebenarnya, di belakang Asid, Dzulkarnain dan seorang lagi sahabat mereka berdua, Halim, telah pergi bertemu dengan Isra’ dan membincangkan hal ini. Isra’ tetap berkeras untuk mencuba nasibnya. Memperjuangkan cintanya kepada Asid.

Manakala Nasuha, itu mustahil untuk dibawa berbincang. Dzulkarnain dan Halim tidak kenal rapat dengan Nasuha. Tambah pula, kalau cakap suruh kahwin awal ini, macam dah masuk urusan kekeluargaan orang.

“Sabarlah Asid. Kami insyaAllah cuba membantu.”

Asid hanya tersenyum kelat. Memahami limitasi sahabat-sahabatnya di sini.

Sebab itu dia rindukan Irfan Hakimi, sahabat karibnya itu.

Yang kini sudah rasmi menjadi suami kepada Sara Afifa, kakak kembar kepada Sara Nasuha.

“Cinta memang payah, Dzul.”

Dan Dzulkarnain hanya mampu tersenyum.



******



“Asid!”

Terundur Asid ke belakang, terkejut dengan Isra’ yang tiba-tiba muncul di hadapannya. Bau minyak wangi harum menusuk hidung. Isra’ tertawa sambil menutup mulut. Indah wajah perempuan itu, memang menyentuh kalbu. Tanpa segan silu, dia terus duduk di sebelah Asid, menyebabkan Asid terpaksa menjarakkan dirinya sedikit.

“Why do you look so tired?”

“Haha.” Asid tertawa paksa tanpa memandang Isra’. Penat la, dah hari-hari awak kejar saya. Mana Dzul dengan Halim ni? Masa ni la juga mereka berdua tu tak ada dalam dewan kuliah. “Well, final exams is just around the corner.” Dia menundukkan wajah memandang bawah meja. Apa fasal la Dr Farouq datang lambat hari ini? Hish.

“Don’t worry, if you have any problem, ask me. I’ll help you.” Isra’ memandang tepat pada Asid.

“Thanks Isra’. You are very kind to me.”

“Well, that doesn’t matter for me. You always knew that i’mactually in…” Isra’ mula memperlahankan suara. Hendak meluahkan sesuatu yang penting.

Asid tahu apa yang penting itu. Dia sudah beberapa kali mendengarnya. “Shhh…” Pantas dia memotong. Sempat dia melirik Isra’ yang mengangkat kepala memandangnya kini. Asid menggeleng.

“Don’t Isra’. Please don’t finish that sentence.” Suara Asid datar.

Isra’ diam. Kedengaran keluhan dilepaskan selepas beberapa saat.

“Well, I’ll try harder next time.” Isra’ bangun, dan bergerak meninggalkan tempat duduk Asid. Dia tahu Asid tidak berapa gemar dia berada berdekatan dengan diri lelaki itu.

“Isra’, when will you stop doing this?” Chasing me, loving me like this? Tetapi ayat seterusnya itu tidak melepasi kerongkong Asid. Asid yang melepaskan soalan itu dalam keadaan menunduk, perlahan-lahan mengangkat kepala.

Matanya dan mata Isra’ bertemu.

“Until I have lost all of my chances.” Kemudian Isra’ berpaling dan pergi.

Barulah Dr Farouq masuk. Pergh, dah berpakat dengan Isra’ ke doktor ni? Sumpah Asid di dalam hati. Menggeleng. Ketika ini jugalah baru Dzulkarnain dan Halim muncul, mengambil tempat di sisi Asid. Asid memandang kedua-dua sahabatnya itu. Apa fasal baru datang?

“Kenapa? Kami ada buat salah?” Halim angkat kening sebelah. Tidak memahami pandangan Asid. “Pandang macam raksasa nak tumpaskan ultraman.” Mulut celoteh Halim tidak berhenti dengan satu soalan.

Asid tersenyum kelat.

“Ya Allah, janganlah kau uji aku dengan apa yang aku tak mampu. Kuatkanlah jiwa aku. Kasihanlah dengan aku. Aku memang dambakan perempuan yang mencintaiku, tetapi aku juga dambakan yang benar-benar mencintaiMu ya Rabb.” Kedua-dua penumbuknya dikepal, saat bibir menggumam perlahan kalimah-kalimah tersebut.



*******



Suasana ruang tamu rumah sewa Bangunan Bukhari itu terus ceria. Selepas bacaan doa rabithah dibacakan sebagai penutup program usrah mingguan mereka, sesi membuka cerita-cerita tidak formal pula dimulakan. Dan cerita pertama, adalah cerita yang mengundang tawa ahli-ahli usrah itu.

“Kau biar betul ni Wafiq? Serius?” Asid tidak berkelip memandang adik usrahnya nan seorang itu. Yang sekarang memegang gelaran lelaki paling kacak di Irbid, bernama Wafiq Wasim. Juga terkenal di Malaysia sebagai penyanyi popular yang misteri. Blognya yang sering menjadi tempat dia menumpahkan lagu-lagu terbaru rekaannya sendiri kini antara blog yang paling popular di Malaysia. Kini syarikat-syarikat rakaman sudah mula mengutarakan permintaan agar dia menjadi anak rakaman mereka. Sudahlah kacak, bersuara merdu, popular, bakal berduit banyak, soleh pula. Nyata lelaki kegilaan ramai.

Wafiq Wasim sekadar mengangguk bersama senyuman manis.

“Tahniahlah bro.” Badruddin menumbuk lembut bahu Wafiq.

“Engkau pecah rekod batch kita di sini la nampaknya. Orang pertama kahwin.” Yusuf mencuit tubuh.

“Barakallahu lakuma.” Harith bersuara mendoakan.

Pap, pap, pap. Muiez bertepuk tangan satu persatu sambil menggeleng kepala. “Marvellous bro. Marvellous.”

Mereka berempat, dicampur Wafiq, terkenal sebagai Disaster Five tahun lalu. Kini, mereka digelar The Five Light. Dari pembawa porak peranda yang terkenal, menjadi lima remaja yang amat soleh dan dedikasi di atas jalan dakwah dan tarbiyah. Hasil usaha Irfan Hakimi, dan Asid. Kini, Asid memandu usrah mereka berlima.

Asid tersenyum. “Alhamdulillah. Bagus-bagus. Patutlah aku syak semacam sahaja bila engkau rajin tanya fasal baitul muslim dengan aku semenjak dua menjak ni.”

Wafiq membalas senyuman itu dengan senyuman yang lebih lebar. “Sembang banyak dengan Abang Asid la buat saya lebih yakin untuk teruskan perkara ini. InsyaAllah, kami sebenarnya rancang nak bertunang sekejap sahaja. Bulan 6 ini balik cuti bertunang, sebulan, kemudian bulan 7 kami akan langsungkan perkahwinan, sebelum saya dan bakal isteri datang semula ke sini untuk teruskan pengajian semester pendek di sini.” Wafiq adalah pelajar Jordan University of Technology, semester pendek adalah wajib, bukan pilihan seperti pelajar Yarmouk.

“Kiranya aku kena hadirlah ni? Aku sudah graduasi masa itu.” Asid tertawa.

“Mas’ul saya, kenalah hadir.” Wafiq berbicara ceria. Asid terangguk-angguk.

“Dari sekarang, simpanlah niat yang jelas. Kahwin itu hanya gerbang sahaja. Rumah tangga itu dunianya. Kita nak bina keluarga yang boleh beri manfaat kepada Islam. Sebab itu cinta kita cinta sampai syurga, bukan cinta nafsu semata.” Asid memberikan kalam nasihat.

“InsyaAllah Abang Asid. InsyaAllah.” Wafiq mengangguk, faham.

“Abang Asid, agak-agak bila Abang Asid pula nak kahwin ni? Dari segi fikrah rumah tangga muslim ni, Abang Asid yang selalu bagi nasihat. Tup-tup Wafiq kahwin dulu. Dengan Kak Nasuha macam mana?”

The Five Light ini mengetahui hubungan antara Asid dan Nasuha, kerana semasa mereka bergelar Disaster Five tahun lalu, mereka telah merancang penganiayaan kepada Sara Nasuha, yang menyangka perempuan itu adalah tunang kepada Irfan Hakimi. Akibat penganiayaan itu jugalah, Sara Nasuha dan Asid menjadi agak rapat, dan mengetahui bahawa masing-masing mempunyai rasa cinta sesama mereka.

Asid terjeda sebentar dengan soalan itu. Hatinya tersentuh.

Garu kepala yang tidak gatal, Asid tersengih kelat.

Sukar hendak bersuara.

Sebenarnya, dia sendiri memarahi dirinya, yang mengetahui bahawa jauh di dalam jiwanya, dia tidak mampu bergembira sepenuhnya mendengar Wafiq hendak berumah tangga. Sebab dia rasa betapa dia yang lebih tua dan merupakan orang yang selama ini menjadi tempat rujuk Wafiq, sepatutnya telah berkahwin dahulu.

Akhirnya hanya helaan nafas dilepaskan.

Sara Nasuha…

Nama itu hanya bergema di dalam jiwa.



********



“Assalamu’alaikum Sahabat!” Wajah di skrin itu sedang tersenyum ceria memandangnya.

“Wa’alaikumussalam, Irfan!” Asid rasa seperti hendak melonjak dari kerusi, dan hendak terus masuk ke dalam skrin. Rindunya dia pada suara dan wajah itu.

“Apa khabar kau? Sihat? Macam makin kurus sahaja ni? Risau final exam ke?” Peperiksaan final akan menjelang pada minggu hadapan.

“Aku sihat-sihat sahajalah. Yang engkau ni Irfan, apa khabar?”

“Alhamdulillah. Sihat-sihat. Ni, aku ada berita seronok nak bagitahu ni.” Irfan Hakimi angkat kening dua kali gaya nakal.

Asid angkat sebelah kening. “Oh, itu sebab Skype dengan aku sekarang?”

“Hish, sejak bila kita Skype kena ada sebab? Bukan memang sebulan sekali aku skype dengan engkau ke? Dah kebetulan berita ni muncul masa-masa aku nak skype dengan engkau ni.” Irfan kekal menjaga keikhlasan persahabatan. Benar, dia tidak pernah menghubungi Asid bersebab. Kala-kala tiada masalah, tiada hal, tetap dihubungi Asid sebagai silaturrahim dan mengambil berat keadaan sahabat. Satu perkara yang amat menyentuh jiwa Asid.

“Apa beritanya? Macam teruja benar sahaja aku nampak.” Asid pun jadi teruja.

“Engkau… bakal… jadi… pakcik!!!” Dan Irfan tertawa senang selepas itu.

Mata Asid membesar.

“Afifah mengandung. Tiga minggu dah.” Irfan kelihatan memegang kamera dengan kedua-dua belah tangan, seakan-akan kamera itu adalah wajah Asid yang sebenar.

Tetapi tidak lama kemudian, Asid perlahan-lahan mengalirkan air mata. Dia tidak mampu mengawal perasaan yang bermain di dalam jiwanya. Semakin lama semakin deras lelehan air mata itu. Jiwanya terasa seperti ditusuk sembilu.

Minggu lepas, berita Wafiq. Minggu ini, berita kegembiraan Irfan pula. Dia rasa sedih, sebab sebenarnya dia ingin bergembira sepenuhnya dengan kegembiraan orang-orang yang disayangi. Dia sepatutnya, ketika ini, dia hendak bergembira sepenuhnya, segembira-gembiranya, dengan kegembiraan Irfan yang sudah seperti adik beradik kandungnya sendiri. Tetapi, apakah perasaan ini? Apakah perasaan yang terseksa yang sedang berada di dalam jiwanya kini?

Tangisannya semakin kuat. Bahunya terenjut-enjut atas cubaannya untuk menahan tangisan itu. Tetapi dia tidak mampu. Air mata terus deras mengalir.

Irfan di skrin tergamam.

“Asid?” Suara kedengaran dari corong pembesar suara.

“Kenapa ni?” Kerisauan.

“Irfan, aku minta maaf. Aku cuba untuk gembira dengan berita ini, tetapi nyata ada juzu’ di dalam hati aku, yang cemburu dengan kegembiraan engkau. Yang mengharapkan engkau tidak membawa berita ini. Ada sebahagian di dalam diri aku, yang rasa terseksa mendengar berita ini, yang rasa diri ini tidak diperlakukan dengan adil oleh Ilahi.”

“Astaghfirullah.” Irfan beristighfar terkejut.

“Apa masalah kau sebenarnya ni Asid? Cuba cerita. Aku kan ada ni.” Suara Irfan sayu, jelas terpancar belas kasihannya kepada Asid. “Kalau kau hajat aku untuk ada di sisi engkau, sekarang juga aku telefon universiti untuk minta cuti, dan esok juga aku ambil tiket kapal terbang pergi Jordan.”

Terharu Asid mendengar. Dia tahu, kalau dia kata: Ya, aku nak engkau ada di sini, Irfan akan benar-benar melakukannya. Dia kenal Irfan, dan bagaimana Irfan menghargai persahabatan mereka.

Asid menggeleng. Perlahan-lahan dia cuba bersuara.

“Aku cintakan Nasuha, Irfan. Tetapi dia, dia tak berapa mahu berbincang dengan aku. Tanpa dia nak dengar sebab musabab aku ajak kahwin tahun ini, dia berkeras dengan pendiriannya untuk kahwin selepas dia tamat pengajian. Aku ini tersekat sekarang Irfan. Kau kenal Isra’ kan?”

Irfan mengangguk. Semasa dia berada di Jordan lagi, dia tahu masalah Asid dengan perempuan keturunan arab berkehidupan barat yang bernama Isra’ itu.

“Dia semakin giat berusaha untuk mendapatkan aku. Aku tak pasti sekarang ini. Ada sesuatu di dalam diri aku, menyatakan aku patut terima sahaja Isra’. Aku patut tinggalkan sahaja Nasuha. Aku rasa terseksa Irfan. Kau tahu, Wafiq hendak berkahwin? Sedangkan aku mas’ul dia Irfan. Aku rasa, Nasuha itu terlalu memberatkan aku. Sedangkan aku rasa aku patut berkahwin untuk bantu aku, selamatkan diri aku.” Asid meluahkan segala-galanya.

“Aku rasa, cinta aku kepada dia itu tak ada maknanya. Aku rasa tak berguna sekarang. Aku rasa Allah tak menyebelahi aku. Aku sudah usaha dengan cara terhormat dengan Nasuha. Lalu mak ayah dia, nyatakan hajat yang sebetulnya. Bukan aku terus-terus dengan dia. Tetapi, apa yang aku dapat? Bila berbincang tidak mahu berbincang. Dia asyik minta aku memahami dia, dia pula tidak hendak memahami keadaan aku.”

Sayu suara Asid, ditambah esak tangisnya lagi, membuat Irfan juga berwajah durja.

“Aku tahu keadaan engkau ini. Nasuha ada beritahu aku.”

Asid perlahan-lahan mengangkat kepala. Ya, Nasuha kini secara rasminya adalah adik ipar kepada Irfan.

“Nasuha itu, mungkin kita payah nak ubah persepsi pemikiran dia Asid. Dia mungkin, tak berfikir dari sudut pandangan engkau. Aku tahu betapa engkau banyak berusaha berfikir dengan sudut pandangan dia. Tetapi, inilah dia Asid, cabarannya bila bercinta. Kita kadang-kadang, terpaksa mengorbankan sesuatu yang kita rasa baik, untuk sesuatu yang lebih baik.”

“Maksudnya?” Asid tidak memahami.

“Sesuatu yang baik, adalah kau kahwin awal dengan Nasuha. Kau terjaga. Terselamat. Tetapi, takut-takut bila engkau mati-matian dapatkan yang baik itu, sesuatu yang lebih baik pula terlepas. Iaitu penyatuan engkau dan Nasuha. Mungkin bila engkau terlalu usaha sangat mengubah persepsi dia, dia terus tinggalkan engkau, maka rugilah engkau terlepas perempuan sebaik dia.”

“Habis, apakah aku patut bersabar? Aku cintakan dia Asid. Dan sekarang,c inta ini rasanya tidak dibalas dengan adil.”

Irfan mengangguk perlahan. Memahami.

“Hidup ini adalah perjalanan. Dan di tengah perjalanan itu, kita akan melalui satu kawasan berkabus yang mempunyai selekoh tajam. Kabus itu bernama Cinta. Yang tidak menyusun langkahannya dengan baik, akan melanggar penghadang selekoh, dan jatuh ke dalam gaung yang mencelakakan. Engkau wahai Asid, engkau sedang melalaui Kabus Cinta itu. Kalau engkau tidak menjaga langkahan engkau, dan ingat kembali tujuan asal engkau bercinta, engkau akan terbabas di selekoh tajam itu, dan jauh ke gaung celaka.” Irfan menuturkan nasihat penuh hikmah itu perlahan-lahan. Satu persatu disebut dengan jelas.

Asid mengerutkan dahi.

“Cinta ini kabus Asid. Kabus tebal hingga kita tak nampak jalan. Melainkan engkau jelas apa yang engkau hendak capai. Kalau sampai kita rasa Allah tak adil, kita rasa kecewa yang melampau hingga hati kita terganggu, kita rasa tidak gembira, hingga ibadah pun terganggu, hingga hendak gembira dengan kegembiraan sahabat pun sukar, itu namanya kita sudah mula hendak melanggar selekoh penghadang itu Asid. Aku sebenarnya tidaklah peduli sangat, sama ada engkau memilih Isra’, mahupun memilih Nasuha. Tetapi yang aku peduli adalah, bagaimanakah engkau melalui Kabus Cinta ini, Asid. Bagaimana? Dan engkau juga perlu melihat, bagaimana Isra’ dan Nasuha, melalui pula Kabus Cinta mereka? Siapakah yang setakat ini, cintanya benar-benar terjaga dek batas-batas syara’?”

Dan kini, jiwa Asid seperti disimbah air ketenangan. Lapang. Tangisannya mula berkurangan. Kini air matanya sekadar mengalir perlahan.

Kabus Cinta. Dia sedang melaluinya. Isra’ sedang melaluinya. Nasuha sedang melaluinya.

Dia melihat Irfan tersenyum.

“Asid sahabat aku yang aku kasihi, bersabarlah. Kadang-kadang, untuk capai benda yang baik itu memang payah. Aku rasa, kalau engkau bersabar lebih sedikit daripada yang selama ini, engkau akan lihat satu contoh yang melanggar selekoh tajam yang aku nyatakan itu.”

Eh? Kening Asid terangkat.

“Ingat pesan aku sahabat. Engkau pun tahu sebenarnya, Nasuha cintakan engkau. Mungkin dia ada caranya tersendiri agar tidak jatuh pada gaung celaka itu, walaupun mungkin terlalu paranoid untuk aku katakan.” Irfan tertawa. “Tetapi Isra’, mengikut apa yang engkau cerita selama ini, engkau tahu dia cintakan engkau juga. Tetapi bagaimanakah cinta dia? Dan percayalah cakap aku Asid, cinta dia adalah yang akan menghentam selekoh tajam itu, dek kerana dikelabui matanya oleh Kabus Cinta.”

Dan pesanan Irfan itu seperti mengembalikannya ke alam nyata, dari alam mimpi yang selama ini menyelimutinya.

“Jangan jatuh ke gaung itu Asid. Percayalah. Bersabarlah. Dan sibukkanlah kehidupan engkau. Ketika mana engkau sering disibukkan aku dahulu.” Irfan tertawa menyempurnakan pesanannya itu.

“Seperti mana engkau sering disibukkan aku dahulu.”

Asid akhirnya tertawa sama.



*******



Asid mula menyusun kehidupannya kembali.

Hidupnya disibukkan dari seawal sebelum Subuh, hingga waktu tidurnya pukul 12.00 malam. Solat-solat yang digalakkan di sepertiga malam dilaksanakan dengan giat. Waktu pagi selepas Subuhnya diisi Al-Mathurat dan Bacaan Al-Quran bersama sahabat-sahabatnya yang lain. Sarapan pagi bersama Dzulkarnain dan Halim di rumah. Kemudian pergi ke perpustakaan untuk studi memandangkan minggu ini adalah minggu persediaan sebelum peperiksaan final menjengah beberapa hari lagi. Zuhur di perpustakaan, sebelum makan tengahari bersama Dzulkarnain dan Halim, kemudian diisi dengan studi bersama-sama mereka berdua pula selepas itu. Solat Asar dan Al-Mathurat, kemudian turun beriadhah hingga hampir Maghrib. Solat Maghrib dan membaca Al-Quran, kemudian makan malam bersama sahabat-sahabatnya, Solat Isya’ dan mengulang kaji nota-nota yang dibuat pada waktu siang. Pukul 11.30 malam membaca Al-Mulk, dan solat taubat dua rakaat bersama-sama solat hajat dua rakaat sebelum memejamkan mata pada pukul 12.00 malam.

Itulah yang dia lakukan, dan betul-betul dia mendisiplinkan dirinya.

Nama Nasuha tidak sekalipun keluar dari bibir. Isra’ juga berjaya disisihkan memandangkan kelas sudah lagi tiada. Dia benar-benar rasa lapang kini.

Bertahan, bertahan, bertahan. Itulah yang dia sering sebutkan untuk memujuk diri. Kembali mengajak diri dan bermuhasabah akan persoalan cinta. Dia tidak mahu tersesat di dalam kabus cinta, lantas menghadang penghadang yang akan membuatkan dia terhumban ke gaung celaka.

Dan apa yang dia lakukan ini, diteruskan hingga ke musim peperiksaan. Dua minggu peperiksaan final berjalan. Praktikal dan bertulis. Semuanya berjalan dengan lancar. Senyuman Dzulkarnain dan Halim setiap kali tamat peperiksaan nyata memberikannya ketenangan, selain doa dan pergantungannya kepada Allah SWT.

Tetapi ada sesuatu menyentuh benaknya pada penghujung peperiksaan. Dia perasan bagaimana Isra’ memandangnya. Dia perasan pandangan mata itu adalah pandangan ketakutan. Takut kehilangan sesuatu. Takut kehilangan diakah?

Menyedari bahawa hari-hari akhir semakin mendekati, dan nanti mereka memang tidak akan punya peluang bersama lagi, apakah Isra’ merasa risau? Persoalan itu muncul di benak Asid. Pandangan Isra’ merisaukan dirinya.

Tetapi dia berusaha untuk tidak menghiraukan.

Dan selepas dua minggu, peperiksaan final pun tamat.

Senyuman terukir di bibir.



*******



Hari ini merupakan hari ketujuh terakhir untuk dia berada di Jordan. Segala urusan selepas graduasinya dua minggu lepas telah selesai semuanya. Dan kini Asid sedang bersama-sama rakan seangkatannya di Universiti sebagai perkumpulan terakhir mereka. Baik melayu, baik arab, baik bangsa-bangsa lain, semua berkumpul di Dibben Forest, Jerash, Jordan.

Mereka sama-sama memanggang ayam, hot dog, dan berkongsi itu dan ini. Meriah. Ditambah pula dengan pelbagai bangsa berkumpul bersama, yang selepas ini masing-masing akan pulang ke negara masing-masing, kecuali rakyat Jordan yang akan kekal di sini. Ada juga sesi meluahkan perasaan selepas graduasi. Semuanya menarik, dan menyentuh hati.

Program berjalan lancar, dari pagi hinggalah ke tengahari. Program akan ditutup dengan sesi fotografi.

“Kita tangkap gambar di mana ni?” Asid mencekak pinggang. Keletihan selepas perut disumbat dengan makanan.

“Tayyib kata dekat kawasan lapang tu.” Dzulkarnain menunjuk.

“Kenapa? Dah tak larat jalan? Tu la, sumbat lagi banyak-banyak makanan dalam perut.” Halim berceloteh.

Asid tertawa. “Takkan la sampai tak larat jalan. Kau ni pun Halim, pada-pada la perli aku.”

Akhirnya Dzulkarnain dan Halim sama-sama tertawa.

“Dah-dah, jom jalan.” Halim bergerak pantas. Diikuti Dzulkarnain dan Asid.

“Asid,” Tiba-tiba satu suara menghentikan langkahan Asid. Dia kenal akan suara itu. Perlahan-lahan dia menoleh. Sebagaimana yang dijangka, Isra’ berdiri di belakangnya.

“Can you help me? I think i lost my watch in the forest when all of us do our activities there.” Isra’ mengangkat tangan, menunjukkan pergelangan yang kosong tanpa jam seperti kebiasaan. Wajah itu memohon belas.

Asid menggaru kepala. Dzulkarnain dan Halim memandangnya. Dia kemudiannya memandang semula kepada Isra’.

“Please?” Isra’ merayu. Asid memandang semula kepada dua orang sahabatnya.

“Pergilah. Bukan ada orang lagi nak tolong dia.” Halim separuh rela bersuara, sambil memandang sekeliling mereka yang telah lengang, kerana pelajar-pelajar lain sudah pergi berkumpul di kawasan lapang.

Asid melepaskan keluhan. “Let’s go.”

Mereka berdua memasuki hutan itu semula, ke tempat mereka tadi berkumpul melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama yang lain. Kelihatan masih jelas arang yang sudah lembab dibasahi air yang disiram tadi sebelum bersurai dari situ.

Isra’ terus menuju ke satu tempat, yakni kawasan yang mungkin diduduki dia tadi. Asid turut pergi ke tempat itu. Sama-sama mencari di bawah daun-daun kering yang menghampari kawasan itu menutup bumi.

Asid khusyuk. Bersungguh-sungguh berusaha untuk membantu, tanpa sedikit pun membuka bicara dengan Isra’. Isra’ seakan-akan tidak wujud. Fokusnya mencari jam itu secepat mungkin, agar dia boleh pergi meninggalkan Isra’ secepat mungkin. Selepas hari ini, Isra’ akan terkambus dalam sejarah hidupnya sahaja. Bukan lagi sebahagian dari hidupnya yang berjalan.

Tiba-tiba bau wangian Isra’ semakin menusuk hidung. Dan anehnya, bau itu semakin kuat dalam keadaan yang pantas. Belum sempat Asid bereaksi, tubuhnya telah terlentang ke bumi, dengan Isra’ mendakapknya seerat mungkin. Matanya membesar, terkejut tidak percaya.

“Astaghfirullah Isra’, what are you doing?” Asid meninggikan suara. Tubuh mereka bersentuhan dan wajah Isra’ kini melekat pada dadanya.

“I love you Asid. I really love you!” Isra’ bersuara, dengan tangisan yang telah bermula.

“But you know that i’m not in love with you Isra’!” Asid cuba memegang bahu Isra’ untuk melepaskan dakapan itu. Tetapi Isra’ betul-betul seperti mengunci kedua-dua belah tangannya. Degupan jantung Asid semakin kuat.

“What I must do to get your love Asid? What I must do so that we can be together?” Isra’ bertanya dalam esak tangisannya.

“You can’t do anything. Please Isra’, don’t this. You know this is haram. Please Isra’!” Asid dapat merasakan bajunya mula dibasahi tangisan Isra’.

“I don’t care. Even if i must go to The Hell, I’ll make sure you are mine!” Isra’ kini berteriak marah. Nekad nampaknya.

Asid sudah berpeluh kerisauan. Ya Allah, selamatkanlah aku!

“Isra’, leave him!” Tiba-tiba kedengaran satu suara ibarat halilintar menjengah hutan itu. Isra’ yang diseru segera menoleh. Asid turut menoleh ke arah yang sama.

Dzulkarnain dan Halim, dengan wajah yang merah padam berjalan pantas mendekati Asid dan Isra’. Perlahan-lahan Isra’ melepaskan rangkulannya pada tubuh Asid. Perlahan-lahan bangun. Asid segera menjarakkan diri, mengengsot menjauhi Isra’, sebelum turut sama berdiri. Ini mimpi ngeri.

“Dzul, Halim, kau jangan salah fa…”

“Kau diam Asid!” Halim bersuara. Matanya membesar tanda marah.

Asid terkejut dengan tingginya suara Halim. Apakah dia sudah terperangkap dengan perangkap Isra’? Dia akan dituduh berkhalwat dengan perempuan ini, dan mereka akan dipaksa kahwin bagi menutup aib.

“Actually, we love each other!” Isra’ pantas bersuara. Asid terkejut dengan apa yang disuarakan Isra’. Itu membuatkan apa yang berlaku tadi seakan-akan adalah di atas kerelaan.

“Dzul, Halim, dengar du…”

“Aku kata diam, Asid!” Halim meninggikan suara lagi. Kini, mata Halim dan Dzulkarnain tepat memandang Isra’.

“What have you done, Isra’?” Dzulkarnain bersuara serius. Wajahnya merah padam seperti gunung berapi yang hampir meletus.

“Eh?” Isra’ terkejut.

“We saw what you did. We saw how you rushed towards him!” Halim menunjuk kepada Asid.

Mata Isra’ terbuntang.

Mata Asid juga membulat. Jiwa tiba-tiba jadi lapang. Sangkanya, Halim dan Dzulkarnain sudah menyangka bahawa ini semua angkara dia.

“Dzul rasa tak sedap hati. Ajak aku untuk tengok kau dan Isra’. Kami terlupa, how madly she love you before.” Mata Halim seperti ingin menembusi tengkorak kepala Isra’.

Dzulkarnain menggeleng. “You are women Isra’. A muslimah, don’t you feel ashamed?”

Isra’ terus terjelepuk jatuh. Kemudian menangis teresak-esak. “I love him. I love him so much. I don’t want to lose him.”

Suasana jadi senyap sebentar.

Cinta.

“This is not love Isra’. Love supposed to lead us to heaven. Not bring us to hell.” Asid akhirnya menghela nafas. Bibirnya diketap kecewa. Tidak sangka Isra’ melangkah sejauh ini. Melanggar penghadang jalan, jatuh ke gaung kecelakaan. Tertipu di tengah Kabus Cinta.

Asid menggeleng. Terkilan dengan apa yang berlaku. Mujur iman senipis bawang di dalam dada menjaga dirinya. Kalaulah tidak ditarbiyah selama ini, dan tidak pula mengikuti nasihat Irfan dalam menguatkan diri, entah apa yang berlaku sebentar tadi apabila nafsu dicucuk sedemikian rupa.

“Please, kita rahsiakan benda ini. Kasihan dia.” Asid mendepangkan kedua-dua belah tangannya. Meredakan kemarahan Dzulkarnain dan Halim. Risau jika kedua-dua sahabatnya itu akan memanjangkan perkara ini kepada rakan-rakan yang lain.

“Isra’, this is what happened to Zulaikha. Blinded by love, she moved towards Yusuf like what you did to Asid just now.” Halim menggeleng kepala, marahnya masih membara, dan akhirnya dia ditarik oleh Asid untuk meninggalkan tempat itu.

Isra’ menangis sendirian. Perlahan-lahan tiga sahabat menjauhi perempuan itu.

Esak tangis Isra’ masih mencapai cuping telinga Asid. Pedih jiwanya.

Tertipu dengan cinta.

Hingga sanggup turun ke neraka.

Asid menggeleng.

Mujur dia adalah yang tidak dikelabui kabus cinta.

Ya Rabb, aku bersyukur dengan perlindunganMu kepadaku. Aku bersyukur dengan petunjukMu kepadaku. Sungguh cinta yang sebenar adalah cinta kepadaMu. Sungguh cinta kepada manusia yang bermakna adalah cinta berlandaskan cinta kepadaMu. Asid berbicara syukur di dalam hati.



*******



Perlahan-lahan waktu berjalan, dan kesabaran menunggu di dalam penantian, hari ini baru dirasai betapa manisnya tabah melalui ujian.

“Rasyid Zakwan.”

“Ya?” Senyumannya terukir.

“Hari ini, saya nak cakap sesuatu yang saya pendamkan pada awak selama ini.”

“Ya?” Angkat sebelah kening. Seakan menggesa, apa dia?

“Saya cintakan awak.”

Dan senyumannya melebar.

“Saya cintakan awak juga, Sara Nasuha.” Perlahan-lahan bibirnya mengucup dahi perempuan ibarat bidadari di hadapannya itu. Di dalam bilik itu, mereka bercerita akan hari-hari lalu dan meluahkan perasaan mereka. Sama-sama tertawa, sama-sama menangis.

Sungguh, dia merasa bahagia.

Setahun yang lalu andai Irfan tidak menariknya, mungkin dia akan sama seperti Isra’, terbabas ke gaung kecelakaan. Berpaling dari Tuhan semata-mata kerana dahagakan cinta manusia. Kini dia merasai kemanisannya, bila bersabar demi menghormati cintanya kepada Ilahi.

Bila jelas akan erti cinta yang sebenar, dan matlamat cinta yang terutama, dan bila diri disibukkan dengan Cinta Yang Sebenar-benarnya, maka akan terselamatlah diri dari Kabus Cinta yang mengelirukan.

Tetapi andai perasaan menjadi pemandu, maka di dalam Kabus Cinta yang tebal itu, tidak kelihatan selekoh yang tajam, dan keterujaan mendapatkan cinta manusia akan menyebabkan diri terlanggar penghadang jalan, lantas terhumban ke gaung kecelakaan.

© Langitilahi.com

(nota: sekadar perkongsian ^^ )

Monday, July 18, 2011

Antara Sebab mengapa saya sayangkan negeri Kedah









Program Pengajian Agama yang tak pernah surut.


Itu antara sebabnya saya amat sayang dan berat hati untuk meninggalkan Bumi Kedah ini.

Jadi, kepada sesiapa yang mempunyai masa kosong atau mampu mengosongkan masa untuk ke majlis-majlis ilmu A.K.A. Taman-taman syurga ini, dipersilakan hadir beramai-ramai bagi menambah ilmu di dada dan juga memeriahkan majlis.

^_^

Untuk maklumat lanjut tekan sini

(nota, semua post terbaru banyak berkisar dengan makluman dan berita, tak sempat berkongsi ilmu dan idea lagi, maaflah)

Allahyarhamah Dr Lo'Lo selamat dikebumikan

Allahyarhamah Dr Lo'Lo selamat dikebumikan

16 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Jenazah Allahyarhamah Dr Lo'Lo Mohd Ghazali selamat disemadikan kira-kira jam 11 pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebentar tadi memimpin solat jenazah bersama-sama 500 jemaah di Masjid al-Akram, Datuk Keramat.

Turut kelihatan hadir memberikan penghormatan terakhir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Jalil.

Jenazah dikebumikan di Lorong 9, Tanah Perkuburan Datuk Keramat.


Saturday, July 16, 2011

Nak Sambut Tak?



Tetamu agung kian mampir...

Bayangkan, jika seseorang yang habat mahu datang menziarahi kita, apa yang kita akan lakukan? sebagai contoh, Sultan Negeri kita (kalau saya, Sultan Kedah lah) ingin mencemar duli hadir ke rumah kita.

Pastinya akan kita cantikkan rumah kita secantiknya, rapikan serapi-rapinya dan bersedia dengan wajah yang ceria.

Itu baru tetamu hebat dari dunia..

Jika tetamu agung daripada Tuhan.....

bagaimana ya?

(15 hari sahaja lagi akan hadir, Ramadan)

Wednesday, July 13, 2011

Sekitar Lantunan Mahabbah


Lantunan Mahabbah : "Seseorang akan bersama dengan siapa ia kasihi"
Ayuh Bina Mahabbah dengan video ini. Ia sarat dengan maksud mahabbah dari Syeikh Zainul Asri. Saat kemuncak kerinduan di dalam hati tidak bisa ditahan lagi maka batin meronta kerinduan dengan hubbun nabi. Sollu 'alan nabi.

video

Laman Blog

Tausiyah yang dibawa oleh Syeikh Zainul Asri Haji Ramli mengenai hadith Nabi sollahu 'alaihi wasalam yang berbunyi " Seseorang akan bersama dengan siapa ia Kasihi atau cintai". Tausiyah yang padat dengan rasa mahabbah ini disulam dengan rasa penghayatan hubbun nabi yang di bawa oleh Syeikh Zainul Asri. Program Lantunan Mahabbah ini merupakan kesenimbungan dari program Ummah Berselawat anjuran PAKSI dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar .Program ini berjaya menghimpunkan 5 ribu lebih para pencinta Nabi sollahu 'alaihi wasalam di Stadium Suka Menanti, Alor Setar Kedah.

Monday, July 11, 2011

Konsert Ana for Gaza. Jom ke sana!




Ana Edar merupakan sebuah badan korporat yang mengedarkan makanan kesihatan, kosmetik, dan bahan kegunaan harian yang halal, selamat dan bermutu. Sebagai sebuah syarikat yang menawarkan alternatif kepada masyarakat Muslim, kami ingin mengwar-warkan aktiviti kami untuk Julai iaitu Karnival dan Konsert Ana for Gaza.

Tarikh: 29-31 Julai 2011
Tempat: Stadium Kajang, Selangor
Konsert: 30 Julai (9:00mlm)
Aktiviti karnival: Jualan (sepanjang 3 hari), pertandingan, Forum Perdana (29 Julai, 9:00 mlm), senam pagi (30 Julai 7:30pg)
Anjuran bersama Rabbani

Kutipan derma untuk Gaza diadakan pada malam konsert.

Marilah bersama sebarkan poster dan informasi ini bagi membantu saudara-saurada kita yang berada di Gaza untuk menempuh Ramadhan yang lebih sempurna, disamping kita berhibur dengan persembahan di konsert nanti.

Saturday, July 9, 2011

Sekitar BERSIH 2.0

Thursday, July 7, 2011

Kamu Kenal apa itu FITNAH?


Fitnah

Fitnah itu barah
Yang melahap manisnya ukhwah
Yang menyentap naluri fitrah
Atas berita yang benar-benar salah

Fitnah itu

Perkara keji lagi mazmumah
Mempertonton aib yang betul entah
Memperkosa tingginya maruah
Dek kerna hati penuh amarah

Fitnah itu

Tiap waktu tiap masa makin parah
Jika dicanang manusia akalnya punah
Punah rosak dek dengkalnya tarbiah
Akal budi kekeringan ilmiyah

Fitnah itu

Lebih buruk berbanding membunuh
Kerna bunuh hanya satu jasad sudah
Fitnah itu pencetus musibah
Musibah besar merosak ummah

Fitnah

Bertaubatlah dengan perkara yang sudah
Jangan dicipta dicanang aib yang telah
Telah dilaku orang yang pernah
Kerana kita semua pernah salah

Sunday, July 3, 2011

I Believe Lyrics

I Believe Lyrics

featuring Maher Zain




IRFAN MAKKI


When you’re searching for the light
And you see no hope in sight
Be sure and have no doubt
He’s always close to you
He’s the one who knows you best
He knows what’s in your heart
You’ll find your peace at last
If you just have faith in Him
You’re always in our hearts and minds
Your name is mentioned every day
I’ll follow you no matter what
My biggest wish is to see you one day


Chorus:

coz I believe
I believe
I believe
Do you believe, oh do you believe?

MAHER ZAIN

Coz I believe
In a man who used to be
So full of love and harmony
He fought for peace and liberty
And never would he hurt anything
He was a mercy for mankind
A teacher till the end of time
No creature could be compared to him
So full of light and blessings
You’re always in our hearts and minds
Your name is mentioned every day
I’ll follow you no matter what
If God wills we’ll meet one day

Chorus

If you lose your way
Believe in a better day
Trials will come
But surely they will fade away
If you just believe
What is plain to see
Just open your heart
And let His love flow through
I believe I believe, I believe I believe
And now I feel my heart is at peace

Chorus

I believe I believe, I believe I believe


Lyrics: Maher Zain, Bara Kherigi & Irfan Makki

Melody: Irfan Makki & Maher Zain

Arrangement: Maher Zain

Friday, July 1, 2011

Masa lepas yang tidak dilepaskan

Masa lepas yang tidak dilepaskan

Sesungguhnya, dunia ini dan segala makhluk yang mendiami alam ini mempunyai kisah yang tersendiri. Tidak mungkin kita dapat mendengar dan memahami satu persatu setiap kisah mereka. Ada yang gembira, ada juga duka. Ada yang biasa dan ada juga yang luar biasa. Sedih, ceria, misteri, kebenaran dan rahsia. Semuanya ada di dalam berjuta cerita yang tak terungkap dek kata-kata. Lebih ramai manusia kita temuai , lebih banyak cerita yang diketahui, dan semakin banyak perkara yang tersembunyi.

Cerita lama

Setiap manusia mempunyai ‘cerita lama’ masing-masing. Kita tek pernah lepas daripada kesilapan dan khilaf. Mungkin seorang telah bergelar polis kini, suatu masa dahulu asalnya seorang pencuri. Ataupun seorang guru disiplin , asalnya pernah menjadi seorang pelajar ‘paling dikehendaki’ suatu masa dahlu. Mungkin juga sorang yang sangat pandai pada waktu ini, pernah menjadi pelajar yang paling lemah suatu masa dahulu. Semua ini sekadar contoh, jangan pula ada yang terasa jika terkena.

Cerita lama yang dibongkar kembali

Persoalannya, kadang-kadang manusia sengaja menceritakan semua kisah lama seseorang untuk menjatuhkannya ataupun sekadar untuk ‘menghangatkan’ suasana. Mungkin dia mengetahui dengan cara mencari maklumat ataupun terjumpa maklumat. Persoalanya,
wajarkah?



Cerita lama, usah dikenang

Sebagai contoh. Seorang yang kini menjadi datuk bandar di sesuatu bandar, contohnya Mertofulus, suatu masa dahulu pernah mencuri di kedai runcit di belakang rumahnya.Dan perkara ini digembar gemburkan. Secara tiba-tiba, keadaan menjadi kecoh dan semua orang bertanya, betulkah?

Sehinggakan datuk bandar itu yang asalnya dihormati, kini dikeji. Beliau akhirnya menjadi mangsa ‘cerita lama’ yang pernah berlaku.

Wajarkah?

Bayangkan, jika kesalahan itu telah dikesali dan dia telah bertaubat. Kita bersalah. Mungkin suatu waktu setalah dia mencuri, dia bertaubat dan meminta maaf daripada tuan punya kedai dan dihalalkan. Maka, dia tidak lagi bersalah. (berdasarkan contoh tadi)
Jadi menceritakan ‘cerita lama’ seseorang adalah sangat tidak wajar dan menjadi satu kesalahan.

Cerita lepas yang tidak dilepaskan

Berbeza pula dengan sesorang yang pernah melakukan kesalahan, dan kesalah itu masih dilakukan hingga ke saat ini. Ianya mesti dihentikan dengan cara yang berhikmah dan betul.

Sebagai contoh. Datuk bandar Metrofulus itu memang pernah mencuri di kedai runcit di belakang rumahnya, masih menuruskan ‘kariernya’ sebagai pencuri dengan mencuri harta dan wang rakyat Metrofulus pada hari ini. Hal ini wajar diberitahu kepada pihak berwajib dan dia mesti dihukum. Dihukum dengan kesalahan yang baru saja dilakukan dan bukan dengan kesalahan dahulu yang telah selesai.

Penutup

Tujuan utama artikel ini dituliis adalah untuk mengingatkan kita , sebagai manusia yang pernah melakukan kesalahan, tinggalkanlah. Biarkannya sekadar menjadi masa lepas dan menjadi peringatan buat masa hadapan. Tujuan kedua ialah, agar manusia-manusia lain yang terjumpa kesalahan-kesalahan lama sesorang,dan sudah diketahui dia telah bertaubat dan tidak lagi mengulangi kesalahan tersebut, diam-diamkanlah. Semoga dengan menutup aib saudara kita di dunia, Allah akan menutup aib kita di akhirat kelak. Kerana manusia yang bertaubat, ibarat tidak pernah melakukan dosa. Seterusnya, bagi manusia yang masih tidak mahu melepaskan kesalahan masa lepas, tingglakanlah, lepaskanlah dan bertaubatlah kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang.

Lepaskanlah dunia hitam yang lalu

Dan pilihlah cayaha di dunia baru


lihat juga link
 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.