Friday, May 14, 2010

SIAPA GURU ?

SIAPA GURU ?

Guru?
“ Jadi guru? Taknak lah. Baik saya jadi Doktor, peguam , jurutera atau bisnesman. Kerja-kerja itu lagi untung. Duit pun banyak. Jadi guru susah nak kaya tapi boleh hidup sederhana saja ”. Mungkin itulah kata-kata atau seumpamanya yang pernah kita dengar . Guru memang tidak kaya dengan harta tapi mereka kaya dengan pelajar. Kaya dengan ganjaran pahala. Kaya dengan nasihat. Kaya dengan kasih sayang. Kaya dengan pengorbanan. Kaya dengan jasa. Kaya dengan usaha. Kaya dengan duka dan lara. Kaya dengan pelajar yang kaya. Apa yang guru mahu? Apa saja dilakukannya asalkan pelajarnya menjadi seorang insan. Insan yang dimaksudkan di sini adalah insan yang kamil atau sempurna dari segala aspek.

Rasul adalah Guru
“ Tidak aku utuskan engkau wahai Muhammad kecuali engkau menjadi rahmat sekalian alam “. Rahmat bermaksud kasih sayang . Seandainya sifat ini ada di dalam hati para guru, pastinya mereka sanggup melakukan apa saja demi mendidik anak didiknya. Bagaimana perasan ini perlu dipupuk? Tiada lagi cara lain kecuali dengan meniru akhlak dan peribadi Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara. Langkah yang pertama untuk meniru Baginda صلى الله عليه وسلم i ialah dengan mengenali apa saja tentang diri Baginda صلى الله عليه وسلم samada melalui belajar, mendengar, membaca dan apa saja cara bagi mengenali identiti dan syaksiah Baginda kerana Baginda صلى الله عليه وسلم adalah guru yang paling cemerlang . Sebahagian ulama’ ada mengomentasi tentang Baginda dengan kata mereka : ”Kalaulah Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak mempunyai mukjizat lain kecuali ( hanya mengubah sikap) sahabatnya nescaya mereka sudah cukup menjadi bukti bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم adalah seorang Nabi.” Cuba kita lihat bagaimana keadaan mereka sebelum mendapat didikan Nabi صلى الله عليه وسلم . Siapakah lagi guru yang mampu mendidik dan melahirkan sebilangan besar pelajarnya ketika beliau hidup dan mati tanpa sempadan masa dan zaman ? Pada hari ini kita masih mendapat didikan Baginda صلى الله عليه وسلم walaupun Baginda صلى الله عليه وسلم telah wafat. Ilmu Baginda صلى الله عليه وسلم tetap dituntut tanpa putus-putus.



Ta'lim dan Ta'dib
Seorang guru yang baik adalah seorang yang mendidik muridnya dengan ahwalnya ( yakni akhlak peribadinya yang ditunjukkan berdasarkan ilmunya ). Seorang guru yang beramal dengan ilmunya mampu mengubah sikap seribu orang pelajarnya melalui satu patah perkataannya. Manakala seorang guru yang tidak mengamalkan ilmunya hanya mampu mengubah seorang pelajar sahaja dengan seribu patah perkataannya. Guru yang pertama dan terbaik di dunia adalah Baginda صلى الله عليه وسلم kita sendiri. Baginda صلى الله عليه وسلم tidak pernah membenci pelajarnya, memukulnya dan mengejinya. Baginda صلى الله عليه وسلم tidak pernah bertanya kepada pelajarnya mengapa engkau buat begini? Mengapa engkau tinggalkan begini? Ini menunjukkan bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم mendidik sahabatnya dengan ahwalnya dan ditambahkan dengan didikan melului lirikan mata Baginda صلى الله عليه وسلم yang mulia.

Guru
Sebagai seorang guru, mata sangat memainkan peranan besar bagi mendidik pelajar. Ulama.-ulama’ Tasawuf sering menggunakan cara didikan ini terhadap muridnya. Seandainya pelajarnya melanggar undang-undang agama , maka mata mereka akan melirik dan membayangkan kepada pelajar tadi betapa bersalahnya perbuatannya. Selain itu, gerak geri seorang guru menjadi teladan dan bimbingan kepada pelajar kerana pelajar yang mencintai gurunya akan melihat setiap pergerakkan gurunya. Guru menjadi idola pelajar.


Keikhlasan
Keikhlasan seorang guru di dalam mendidik sangat penting kerana keikhlasan datangnya dari hati dan menyebabkan didikan itu juga mudah diserap ke dalam hati pelajar. Inilah dinamakan dari hati ke hati. Seandainya nasihat seorang dari tekaknya saja, maka nasihat itu tidak mampu menembusi hati pelajar. Perkara ini akan terhasil apabila seorang guru itu mempunyai kebersihan dan kesihatan hati yang baik. Bagi seorang guru, pembersihan hati adalah perkara wajib agar tidak melarat kepada pembentukan sikapnya yang negatif. Kesanggupan mereka menanggung kesusahan dan kesukaran mendidik pelajar akan dijanjikan pahala daripada Allah. Kenapa tidak? Saidatina ’Aishah pernah berkata bahawa pahala itu dikurniakan kepada seseorang berdasarkan setiap kadar kesusahan yang menimpanya. Cubalah kita melihat Baginda صلى الله عليه وسلم kita sendiri bagaimana Baginda صلى الله عليه وسلم bersabar dengan kesukaran mendidik penduduk Arab Mekah yang terkenal dengan sifat kasar, ta’assub dan dalam kejahilan kerana sebelum itu belum muncul seorang guru pun. Menanggung kesusahan juga memberi makna memudahkan urusan pelajar . Baginda صلى الله عليه وسلم tidak pernah menyusahkan pelajarnya bahkan sentiasa memudahkan apa saja urusan pelajar . Pernah Baginda صلى الله عليه وسلم menyuruh pelajarnya mengambil apa saja keperluannya dari seorang Yahudi dengan Baginda صلى الله عليه وسلم meninggalkan pakaian perangnya sebagai taruhan. Baginda صلى الله عليه وسلم sanggup menyusahkan dirinya untuk pelajarnya . Seorang guru perlu merasakan kemuliaan dirinya disebabkan daripada kemuliaan pelajarnya. Seandainya tiada pelajar belajar dengannya , maka bagaimana dia mendapat gelaran sebagai guru.


Selamat Hari Guru
Akhirnya , sambutan Hari Guru yang sebenar adalah dengan menyambut guru kita yang pertama iaitu Saidina Muhammad صلى الله عليه وسلم . Kita hidup hari ini berpandukan ilmu dan ilmu yang Baginda صلى الله عليه وسلم salurkan melalui sahabat, tabi’en , tabi’ tabi’en sehingga sampai kepada kita. Sebagai tanda terima kasih kepada Baginda صلى الله عليه وسلم , marilah kita memperbanyakkan solawat kepadanya setiap masa, keadaan , susah, senang, sedih , gembira dan segala keadaan. Mudah-mudahan kita tergolong daripada orang yang berterima kasih kepada Allah dan RasulNYa. Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada Baginda صلى الله عليه وسلم, maka dia tidak berterima kasih kepada Allah.

(dipetik daripada http://al-judiah.blogspot.com/)

0 17 ulasan:

 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.