Oleh : NOOR AZAM SHAIRI
WASHINGTON DC jadi tumpuan baru-baru ini apabila 47 ketua kerajaan, dan sesetengahnya hanya menghantar wakil, berhimpun untuk Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear. Sembilan daripada mereka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tumpuan media di serata dunia sepanjang sidang kemuncak itu – seperti mana yang dilihat – adalah kepada pemimpin negara masing-masing serta isu-isu serantau yang berkaitan. Satu isu yang barangkali terlepas daripada radar media minggu lalu ialah kenyataan tegas Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani mengenai Osama bin Laden.
“Osama tidak ada di bumi Pakistan,” katanya dalam satu wawancara dengan CNN, sehari menjelang sidang kemuncak itu. Tambah Yousuf, kalau sekalipun Osama berada di Pakistan, dia tidak akan terlepas daripada asakan tentera republik Islam itu di Lembah Swat dan Waziristan Selatan.
Tetapi Perdana Menteri Pakistan itu cepat menambah, dia sendiri pun tidak tahu sama ada orang buruan antara yang paling dikehendaki itu masih hidup atau mati. Namun soalnya, siapa yang tahu?
Hanya tidak sampai sebulan sebelum itu, pegawai kerajaan Amerika Syarikat sendiri pun berbalah pandangan mengenai Osama. Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$50 juta atau lebih kurang RM150 juta untuk maklumat yang membawa kepada tertangkapnya Osama hidup atau mati.
Soal hidup mati Osama ini sudah diperkatakan sejak akhir 2001 lagi, hanya dua bulan selepas dia didakwa mendalangi serangan 11 September. Sebuah akhbar di Pakistan memetik sumber dalaman Taliban mengatakan kononnya Osama meninggal dunia kerana masalah paru-paru dan dikebumikan di kubur tidak bertanda di Tora Bora, sebuah kawasan pergunungan di sempadan republik Islam itu dengan Afghanistan. Ada laporan menyebut dia dikebumikan pada 13 Disember, ada pula yang menyebut 15 haribulan.
Sejak itu, Osama seolah-olahnya mati dan hidup semula, mati lagi dan kemudian hidup kembali beberapa kali. Ada laporan kemudiannya menyebut dia mati kerana sakit buah pinggang pada 2004; ada pula yang melaporkan dia mati kerana demam kepialu pada 2006.
Banyak analisis dan makalah sudah ditulis mengenai hidup atau matinya anak hartawan Arab Saudi yang mengasaskan Al-Qaeda itu. Seorang pensyarah di Universiti Boston setahun yang lalu menulis dalam sebuah majalah – bukti menunjukkan Elvis Presley masih hidup jauh lebih meyakinkan berbanding hal yang sama tentang Osama.
Dia antara lain mendakwa ujian forensik ke atas hampir 30 rakaman audio Osama yang dikeluarkan oleh Al-Qaeda menunjukkan dua atau tiga suara yang berbeza. Agensi Risikan Pusat (CIA) bagaimana pun mempertahankan kesahihannya.
Seorang pengkaji lain mendakwa lenggok pemikiran Osama seperti dalam rakaman audio dan videonya sudah berubah condong jadi sekular – tidak cocok dengan sifatnya sebagai seorang Muslim Wahabi.
Sebuah buku terbit tahun lalu mengupas dengan panjang lebar persoalan yang sama dan merumuskan Osama sudah mati pada Disember 2001. Buku itu ditulis oleh David Ray Griffin, seorang pengamat agama dan teologi yang sejak serangan 11 September mengalihkan tumpuan lantang mengkritik dasar imperialisme Amerika. Dia antara pendokong sikap bahawa serangan itu ialah satu konspirasi.
Bukunya Osama bin Laden: Dead or Alive adalah satu daripada beberapa buku yang ditulisnya mengenai 11 September. Buku itu menghujahkan Osama sudah lama mati tetapi kematiannya sengaja tidak mahu diakui oleh Amerika kerana ia sekali gus akan meruntuhkan asas perangnya melawan keganasan.
Hidup atau matinya Osama memang satu subjek yang menarik – ketokohannya jadi mitos, kewujudannya pula jadi misteri. Ia mengundang pelbagai teori dan analisis. Malah usaha memburunya dalam masa lapan tahun yang lalu juga menghimpunkan banyak idea gila.
Misalnya, ada usaha membangunkan teknologi rentas jarak – seperti dalam Star Trek – yang boleh mengirimkan tentera dalam sekelip mata apabila pergerakan Osama dikesan. Pentagon juga dilaporkan menerima banyak cadangan tentang cara untuk menangkap Osama. Satu yang paling menarik, gunakan skuad beruang elit yang dilatih menggunakan GPS dan dilengkapi dengan kamera khas waktu malam. Itu tidak termasuk lagi usaha menggunakan pakar psikik – atau dalam latar budaya kita, bomoh – untuk menjejak Osama.
Osama sememangnya satu watak utama dalam perang melawan keganasan; protagonis sekali gus antagonis bergantung jalur pemikiran orang yang melihatnya. Tetapi hampir 10 tahun selepas serangan 11 September, hidup atau matinya Osama tidak lagi penting kerana terrorisme sudah ada pemimpin yang lain – Anwar Al-Awlaki, rakyat Amerika sendiri yang baru-baru ini dihalalkan bunuh oleh Presidennya sendiri.
• NOOR AZAM SHAIRI ialah Pengarang Berita di sebuah stesen televisyen.
Hello world!
1 year ago
0 17 ulasan:
Post a Comment