Rejab : Pengertian, Peristiwa Penting & Amalan
www.iLuvislam.com
Penerbitan Semula
Pengertian
Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan
yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan
ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini
dengan mengharamkan berperang
di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan
pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita
memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang
berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.
Peristiwa Penting
1.Hijrah Pertama
Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)
Pihak
musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW
dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di
kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang
mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah
ke negeri Habsyah.
Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru
untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya.
Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan
istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang
termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.
2. Isra' dan Mi'raj
Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke
Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT
dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT.
Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama
mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17
RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama
mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada
tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.
Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj.
Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7
RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada
tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.
Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada
sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula
diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12
dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah
ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi
S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari
semuanya itu.
Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah
mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk
mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi
S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah
itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)
3. Perang Tabuk
Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu
tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom
telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan
kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.
4. Pembebasan Baitul-Muqaddis
Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di
zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di
zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah
melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya
dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh
pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis
hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal
Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul
Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan
pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul
Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama
Israel.
5. Lahirnya Imam Syafie RH.
Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir
di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan
Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar
dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara
peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi
rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.
Amalan
Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang
diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis
shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah
SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya
peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya
menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan
malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.
Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan
(bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun
begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat
tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab.
Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.
Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum
berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab
ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak.
Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus
al-Qur'an dan lain-lain lagi.
Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir
khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk
menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh
dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib
dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam.
Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat
kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).
Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular,
inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar
pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak
menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal.
Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang
kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya
bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.
Sumber
Disediakan oleh:
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Melaka
www.al-azim.com
Hello world!
1 year ago
0 17 ulasan:
Post a Comment