Showing posts with label medic. Show all posts
Showing posts with label medic. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

Lebih berharga daripada kek Apollo

Kelibat seorang lelaki melalui lorong gelap itu.

Berseorangan.

Tanpa diketahui, satu susuk tubuh sedang menunggu di balik bangunan.

Menunggu untuk bertindak.

"Berhenti!" suara garau memberhentikan lelaki yang sedang berjalan tadi

. Satu lembaga meletakkan objek tajam di tengkuknya.

Berdebar.

"Nyawa atau Kek Apollo?!"  sergah lembaga itu.

"Apa?"


**********


Tidak ku sangka, ada juga subjek keushawanan dalam bidang kami ini. Menarik, memang menarik.

Jadi, hari ini Tuan Pensyarah kami memberikan satu tugasan.

Menjual kek Apollo dengan harga paling mahal.

Masa diberi adalah 2 hari dan syaratnya tidak boleh dijual kepada ahli kelas.

Mudah.

Apa saya fikir?

Saya berfikir, paling mahal pun mungkin dua tiga ringgit. Bayangkan saja, kek Apollo kanak-kanak ribena yang kosnya hanya 30sen, siapa yang mahu beli mahal-mahal?

Itu fikirku waktu itu.

Tetapi, dunia ini sebenarnya sangat menarik.

Terlalu menarik.

Tiba Hari yang dijanjikan

Sempat saya mendengar khabar angin, nampaknya sangkaan saya salah. Amat salah.

Tiba masanya setiap seorang pelajar yang menjual membuat penyampaian ringkas bagaimana menjual dan berapakah harga.

Pelajar yang berjaya menjual dengan harga paling mahal, akan dinobatkan sebagai pemenang untuk sesi ini.

Pelajar pertama :
Saya jual dengan harga RM 5. Cara saya, saya ikat dengan riben dan letakkan nota kecil yang comel, dan membuat home dilivery.

Saya tersenyum, hebat!

Seterusnya

Saya menjual dengan harga RM1.50, dengan cara sekian-sekian.

biasa.

Seterusnya.

"Saya jual dengan harga RM10. dengan cara, bercakap kelate. Saya jual kepada kawan saya daripada Kelantan"

RM10!

Seterusnya.

"saya mampu jual dengan harga RM10. Caranya dengan membuat dua pilihan, satu yang diketahui dan satu lagi diletakkan dalam kotak hadiah, tetapi pembeli tak tahu apa di dalamnya. mereka boleh pilih, yang tahu dengan harga RM5 atau yang misteri itu dengan harga RM10. Mereka memilih yang misteri, padahal sama sahaja, cuma ada kotak hadiah"

Kagum!

Ini daripada salah seorang best student kelas kami.

Seterusnya.

"err, saya jual dengan harga RM50"

ha?!

"caranya dengan jualkan kepada lelaki yang nak keluar dengan saya. dia setuju"

Kembali duduk.

Saya hampir terjatuh kerusi, tak percaya.

haha

Ini eksploitasi.

Setakat ini, ini paling mahal. RM 50!

Sterusnya adalah lagi epic.

Kakak kelas kami yang dihormati bangun.

"saya jual kepada husband saya, dia kata, ambil saja banyak mana duit yang mahu daripada akaun bank dia, saya tak tahu nak ambil berapa" sambil tersenyum.

Satu kelas kecoh. Gemuruh dengan tepukan ahli kelas.

"Ambil RM50.10!! bagi menang!" ada yang melaung daripada belakang kelas. Ramai yang cuba memberi cadangan.

Pensyarah saya tersenyum sahaja.

"Oklah, saya ambil RM100"

Nah, inilah dia pemenang kita.

Satu Apollo yang dijual dengan harga RM100!!

Tak pernah saya fikir..

Pengajaran 

Mata saya benar terbuka, lain manusia lain cara.

Dan, tiada yang mustahil. Asalkan ada teknik dan usaha. (tak kiralah jual kat suami, hehe, barulah sweet)

Paling menarik, Apollo yang kecil itu boleh dilipat gandakan harga berkali-kali ganda,

Inikan pula manusia. Makhluk terbaik ciptaan Allah di muka bumi.

Apa yang membezakan 'harga' kita ialah bagaimana kita mengpersembahkan diri kita.

Dan ingatlah, yang paling mulia pada pandangan Allah adalah yang paling bertakwa.

Apa itu tawqa? Dr Danial menerangkan ;

"Ingat jangan lupa

Taat jangan maksiat

Syukur jangan kufur"


P/s: Satu lagi pelajaran, kahwin tetap paling manis (sweet) berbanding berpacaran

Senyum

Teringat zaman kanak-kanak




Monday, June 10, 2013

Sekitar Program kebajikan Anak Yatim di Rumah Permata Kasih

Beberapa minggu lepas, kumpulan 3 (group PBL) kami dari AUCMS telah dengan jayanya menjalankan Program kebajikan Anak Yatim di Rumah Permata Kasih yang terletak di Permatang Pauh.
Sebenarnya, program ini adalah salah satu keperluan yang ditetapkan oleh Universiti dan juga KPT (yang dahulu) sebagai salah satu aktiviti wajib untuk subjek yang kami ambil untuk semesta 4 ini.

Jadi, inilah antara perkara yang agak menyibukkan kami buat sementara waktu (cari alasan tak update blog).  Bukan itu saja, kami juga ada aktiviti Home Visit, yang ini, entri seterusnya saya kongsikan.

Jadi, pendekkan cerita, kami mengumpul dana untuk sumbangan kepada anak-anak yatim tersebut. Kami buka gerai, menjual sandwich , cupcake, air minuman, dan segala yang boleh menjual, kutipan derma juga dan juga sumbangan daripada pihak luar.

Hasilnya, kami mampu memberikan sumbangan yang banyak kepada mereka. Daripada barangan dapur, kasut sekolah, baju sekolah, beg, permainan, tudung , ubat ubatan dan juga duit raya walaupun belum puasa lagi.

Rezeki mereka.

Tetapi, apa yang dapat saya perhatikan dan belajar ialah apabila kita mempunyai ahli kumpulan yang komited dan bermotivasi, aktiviti berkumpulan memnjadi sengat mudah.

Walaupan masalah wujud, tetapi akan dapat diselesaikan.

Ada ahli kumpulan kami, anak seorang doktor, maka dapatlah sumbangan ubat, ada pula anak tokey kedai tudung, jadi dapatlah tudung dan banyak diatara ibu bapa kami juga menyumbang.

Jadi, "The More, The merrier"

Percayalah, untuk aktiviti kebajikan, pasti ada rezeki, hanya perlukan usaha.

Dan yang paling penting, PAHALA.

InsyaAllah. senyum besar-besar

Terima kasih semua!

Cc: Dr Amani, Dr Aina, Dr Fatin, Dr Dalila, Dr Nasuha, Dr Radzi, Dr Sabitah, Dr Nadi, Dr Nadia, Dr Fahmi, Dr Sana, Dr Malik

The best!



Wakil Dr Aina, dari kumpulan penyanyi Korea

Orang kuat Kumpulan 3, Dr Sabitah

Kakak-kakak Dr yang ceria


Sambut Hari lahir


Wakil kumpulan 3

Kenangan

Ini muka saya :) Atuff



Sunday, April 14, 2013

Teknik melawan hantu sebelum tidur

Melihat saja pada tajuk, saya sedar. Saya sedar tajuk itu melampau. Agak melampau (baca: over). Namun, itu adalah salah satu cara untuk menarik perhatian pembaca.

Saya tidak menipu, apa yang saya ingin kongsikan adalah benar-benar teknik yang praktikal dan mudah dan mampu untuk semua orang. Tidaklah perlu sebarang alatan, latihan dan juga pertapaan selama dua setengah purnama.

Hantu? Apa difinisi anda? Apa yang pasti ialah, Syaitan dan Jin wujud berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis.

Hantu= Jin dan Syaitan? itu masih boleh dipertikaikan.

Pernah terkenal satu masa dahulu



Cerita hantu.

Hari pertama saya hadir ke asrama universiti, setelah keletihan perjalanan, saya duduk berehat di ruang tamu. Sahabat serumah saya menyambut kedatangan saya. Setelah bertanya khabar dan berbasa basi, satu isu menarik timbul.

"Nasib baik hang(kamu) balik, selamat aku" ucap teman serumah sambil ketawa.

"Kenapa? Apa yang berlaku?" saya hairan.

"Hang tau tak, ada benda kacau aku"

"benda ataupun 'benda'" sambil membuat isyarat 'dalam kurungan'.

Dia angguk.

Saya senyum kecil sambil mengeleng.

Seram

Maka sesi bercerita pun bermula. Nama pencerita dirahsiakan. Itu etika.

*****

Dingin awal pagi mula terasa. Angin sepoi-sepoi masuk melalui tingkap yang terbuka. Langsir beromak mengikut irama. Suasana gelap hanya disuluhi dengan cahaya lampu daripada luar pintu. Pintu sedikit terbuka.

Sunyi.

Benar-benar sunyi.

Tiba-tiba, perasaan seram mula merangkak masuk. Terasa seperti ada seseorang, lebih tepat sesuatu di dalam bilik. Di satu sudut, kelibat hitam kelihatan .

Mata tiba-tiba terbuka. Naluri manusia ingin bertindak. Sama ada lari ataupun lawan. Pastinya di sini adalah lari.

Namun, amat pelik apabila tiada satu otot pun yang bergerak. Kaku.

Nafas terasa tersekat-sekat.

Dalam masa yang sama, benda itu semakin hampir.

Seperti asap hitam.

Dekat.

Dekat.

Badan masih kaku, suara jeritan ibarat tersekat di kerongkong. Tiada suara yang terhasil.

Tiba-tiba, terasa hujung kaki dicengkam kuat. Sangat kuat.

Kemudian berubah ke lutut, kemudia ke paha.

Begitu juga rasa tekanan di dada, ibarat ditindih sesuatu.

Perit.

Peluh mulai keluar.

Namun masih kaku, walaupun cuba untuk bergerak.

Dengan tiba-tiba, apabila keadaan ibarat tiada penghujungnya, semua itu hilang.

"hah!" nafas pertama berbunyi.

Pintu ditenung tajam. Terasa seram sejuk di belakang tengkok.

Peluh.

Benar-benar berpeluh.

Dan malam itu tak mampu lagi untuk melelapkan mata, apatah lagi tidur.

Semua itu, adalah....

Gangguan benda.

Bukan .

Gangguan 'benda'.


*********

Begitulah sedikit sebannyak cerita yang diceritakan dan diceritakan semula atas fahaman saya. Tiba-tiba saya  pula yang meremang, jam sekarang menunjukan pukul 11.45minit malam.

Saya yakin, 4 daripada 10 orang dewasa pernah merasa perkara itu. 

Orang utara kata kena tindih dan sebenarnya perkara ini berlaku di seluruh dunia dan direkodkan juga berlaku sejak zaman berzaman.

Jadi, inilah 'hantu' yang disebut di atas tadi.

"Wargh!! Makan budak!!"

Fakta

Sebelum saya menceritakan tentang teknik dan ubat untuk kes ini, saya terlebih dahulu ingin memperkenalkan dengan lebih dalam tentang hal ini.

Tak kenal maka tak benci.

eh!

Dipendekkan cerita, Allah temukan saya dengan ilmu ini, tak pasti daripada buku atau dokumentari terlebih dahulu. Tetapi yang pasti, saya sudah menjumpai alasan dan fakta untuk 'hantu' ini.

Terkenal sebagai sleep paralysis.

Pernah dengar?

Bagi yang rajin baca daripada segi perubatan rujuk sini dan sumber lain dalam bahasa 'orgputih' sini.

Rujuk di Dokumentari

Secara mudah

Penjelasan asal agak panjang lebar dan bosan.

Ada penjelasan tentang tahap tahap gelombang otak ketika tidur dan tahap-tahap tidur seperti REM( Rapid Eye Movement) (baca: Pergerakan mata yang cepat) dan yang satu lagi ialah NREM (Non-Rapid Eye Movement) (baca: Bukan-Pergerakan mata yang cepat).

Pertukaran ini berlaku setiap 90 minit. Itu berdasarkan fakta yang diberikan berdasarkan kajian.

(bosan!!)

Saya sudah cakap kan?

Jadi, saya mahu pendekkan.

Begini, bayangkan kita ada dua entiti.

1)otak
2)badan(otot yang boleh dikawal)

Ketika tidur yang normal (biasa), kedua-duanya yakni otak dan badan tidur. Jadi tidak ada masalah.

Dan ketika bangun tidur pula, kedua-duanya bangun (terjaga) secara serentak. Tiada masalah.

Masalah berlaku apabila atas sebab tertentu, otak tiba-tiba tersedar/terbangun dahulu daripada sistem badan.

Dalam kata yang lain, otak kita sudah sedar namun badan kita masih tidur.

Nampak?

Inilah sebabnya apabila otak menyuruh badan bangun, contohnya angkat kaki, gerakkan jari, keluarkan suara, dan apa saja arahan otak kepada badan tidak diendahkan. Masakan tidak , badan masih tidur!!!

Inilah yang menyebabkan kita lumpuh buat sementara. Hal ini juga ada menyebab bahagian badan terasa seperti ditekan padahal, semua itu hanyalah kesan badan terus tidur.

Lebih buruk, otak yang tersedar lebih awal daripada badan, akan menyebabkan seseorang itu terasa seperti terjaga padahal bermimpi. Mimpi yang sedar.

Lebih tepat, mimpi buruk yang sedar.

Jadi, apa saya yang muncul dalam fikiran akan muncul dalam penglihatan kita. Itulah segala 'benda' dan 'hantu' yang terlihat.

Kalau kita takut, dan pastinya kita terfikir yang bukan-bukan, maka yang bukan-bukanlah yang datang.

Dan sebaliknya, apabila kita sedar dan tahu apa yang berlaku, jadi fikirlah apa yang anda mahu dan itulah yang terhasil.

Faham?

(Nampakanya , tidak cukup pendek, masih lagi panjang)
 Geleng kepala.

Teknik melawan hantu

Tekniknya mudah, jika mahu tidur. Amalkanlah dua perkara penting (asas).

1) Ambil wuduk
2) Baca doa sebelum tidur dan 3 Qul (Surah Al Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nass)

*Boleh rujuk ''
ayat pengasih

Dan semua ini tak akan sedikit pun berkesan tanpa izin Allah, Tuhan Sekalian Alam. 
Bacalah dengan Tauhid, dengan Yakin. 

Tenang sebelum tidur adalah kuncinya. Dan ketenangan itu adalah anugerah Allah.

InsyaAllah.

Tambahan, bagi yang rasa 'sesuatu' ketika benar-benar sedar, bacalah Al-Fatihah dan Ayat Kursi.

Baca dengan Tajwid yang benar dan bacalah dengan yakin. 

Allah Akbar!

Namun setelah 3 kali dibaca masih belum 'hilang'/pergi, kamu!

Ya.

Kamu.

Ambillah kerusi terdekat dan hempuklah(baling/pukul) 'benda' itu. Kerana tak lain tak bukan ianya adalah bukan 'benda' itu.

Besar kemungkinan itu adalah sahabat kamu yang cuba menyakat, ajar sikit.

Penutup 

Perkara ini tidaklah semudah ini, kerana ilmunya sangat luas. Namun , lebih baik saya memudahkan kalian untuk faham.

InsyaAllah ada kebaikan untuk semua.

Seperkara lagi, apabila saya menceritakan semua ini, tak sedikitpun bermakna saya tidak percaya kepada alam Ghaib. Saya percaya dan yakin atas dalil dan bukti daripada Sunnah dan Al-Quran.

Namun, ini adalah ilmu Allah juga. Tak salah menambah ilmu yang baik.

Segala silap dan salah mohon ditegur.

Senyum

Selamat malam.

Lailah




Diari: Langkah diteruskan

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam, perjalanan hidup saya diteruskan. Semoga Allah meredoi dan menerima setiap detik nafasku di dunia ini.

Selamat tinggal Semester lama.

Selamat datang Semester baharu.

Bak kata sahabat saya Abu Dzar, "Tajdid niat!!" 

Mohon doa kalian.

(Senyum)

Teman seperjuangan yang osem.

Sebelum Peperikaaan akhir, baca sebelum tawakkal. *Kredit toAG

Selepas tamat peperiksaan. Senyum skit. Alhamdulillah, bersama saudara Aiman dan Fidaus*Kredit AG



Monday, March 11, 2013

Cerita tentang ummi

Number One for Me

Cerita 1

Cuti sudah tamat, esoknya ada peperiksaan. Walaupun sekadar cuti beberapa hari, namun ianya tetap dihabiskan dengan berkualiti iaitu berehat di rumah dengan aman. Lari sebentar daripada kehidupan pelajar yang sibuk belajar. Sepatutnya begitulah.

Jadi, petang itu saya kalut-kalut (baca: tergesa-gesa) menyimpan barang untuk pulang. Maklumlah, perjalanan 2 jam dengan motosikal perlu ditempuh pula selepas ini. Lebih menarik, esoknya ada peperiksaan akhir modul. Jadi memang tak mungkinlah untuk ponteng dengan sengaja.

Setelah selesai bersalaman dan memohon doa dan restu ummi dan ayah, saya pun bergegas pulang. Merempit (baca : menunggang motosikal dengan kelajuan yang munasabah dan selamat)

Alhamdulillah selamat sampai.

Nak dijadikan cerita, malam itu saya buka beg untuk mencari noto-nota padat ciptaan saya sendiri. Alangkang terkejutnya, satu pun tak ada. Padahal esok ada peperiksaan.

Noto padat itu adalah semua pati, dan isi penting yang diperah daripada nota kuliah yang tebal 10cm menjadi 1cm sahaja. Jadi, memang membaca semula nota kuliah bukan jalan keluar yang terbaik.

Tetapi saya tidak panik, mengetahui kita hidup di alam siber yang maju gitu. Saya menghubungi ummi saya dan minta tolong beliau untuk mengimbas (scan) dan emailkan kepada saya.

Paling penting, cari dahulu nota itu. Rupa-rupanya jatuh di bawah meja. Maka wajarlah saya tertinggal. (alasan)

Fesbuk

"ish, nak tekan apa ni? Ummi tak tahu ni" nampak benar kali pertama mengunakan mesengger fesbuk.

Saya ketawa kecil.

"tak apa ummi, slow and steady. Ummi dah scan belum? tekan attach ja. ada kat bawah tu"

"dah, cuma ini sekarang nak tekan apa ni? amboi, macam-macam ada ni. banyak sangat. tak tahu nak tekan mana" walaupun ummi jelas, 'rabun' IT, namun suaranya jelas menunjukkan bahawa dia benar-benar bertekad.

Tekad untuk menghantar nota.

Tiba-tiba, nun di hujung corong telifon, saya terdengar adik saya baru pulang daripada sekolah

"mai nak tolong" adik saya prihatin.

"tak apa, tak apa, Ajar ummi macam mana nak buat, nanti sampai bila-bila tak reti" Balas ummiku.

Senyum.

Pengalaman kelakar mengajar ibuku berfesbuk tetapi menyentuh hati ini benar-benar memberi kesan dalam ingatan saya.

Dipendekkan cerita, nota dapat dihantar dan alhmdulillah, syukur saya mampu menjawab peperiksaan keesokan harinya dengan jayanya.

Terima kasih kepada ummi saya.

Hero Win saya.

Cerita 2

Pagi tadi, sekitar   2 pagi, saya masih celik mata di hadapan komputer. Masih menaip untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Bagi kebanyakan orang muda belia seperti saya, pukul 12malam ke atas adalah waktu primer (paling power) untuk berfikir dan bekerja kerana sudah tidak gangguan. (gangguan makhluk halus tak pasti pula)

Batman dan Keluangman.

Tiba-tiba, saya terdengar pintu bilik tidur utama terbuka. Ummiku keluar sambil mengesat-ngesat matanya. Melihat saya masih segar,

"tak tidur lagi? buat apa itu?"

"ada kerja sikit ummi"

Ummi ku berlalu pergi ke dapur.

Saya hairan.

"ummi, nak masak apa pagi-pagi buta ini? " saya melaung sedikit. Dapur dan ruang tamu tempat saya bekerja agak jauh.

Senyap.

"Mungkin minum air suam kut" fikirku.

Saya meneruskan kerja saya. Tekun dengan earphone.

Sedar-sedar, sudah 3 pagi. Tugasan sudah siap.

Masa untuk tidur.

Keesokan paginya, saya memang bercadang untuk memasak karemel kegemaran saya. Setelah melihat semua bahan sudah ada, saya memulakan kerja. Sebelum itu, saya memeriksa oven.

Saya kagek. Terkejut.

Sudah ada satu kek karemel yang sudah siap.

Terus saya teringat yang saya ada beritahu ummi saya bahawa saya ingin memasak kek keremel kelmarin, iaitu hari sebelum itu.

Jadi, pagi tadi yang ummi saya bangun 2 pagi itu adalah untuk membuatkan kek keremel saya itu.

Oh, baru tahu.

Saya tersenyum sambil mengelengkan kepala.

Begitu sekali.

Saya meneruskan hajat saya, kek karemel disiapkan. resepi

Kemudian setelah ummi dan ayah pulang ke rumah daripada sekolah (mereke berdua cikgu) , saya persembahkan kedua-dua versi kek karemel yang ada. Satu buatan ummi, satu lagi buatan saya.

Ayah saya menjadi juri. Pemenangnya......

Saya sempat bertanya,

"ummi, malam tadi yang muhsin tanya itu kenapa tak bagitahu. bolehlah nak tolong"

"iya ka? tak perasan" selamba.

Senyum lagi.

Semanis mana karemel itu, manis lagi senyuman ummi.


Alhmadulillah


P/s: Cerita ini ditulis sebagai kenangan saya dan juga teladan kita semua. Tanpa ibu bapa kita, siapalah kita.

Cerita ini juga adalah untuk ingatan saya buat masa hadapan setelah saya berumah tangga kelak, buat anak-anak saya bahawa nenek hampa itu sangat beriman lagi pengasih orangnya.

Terima kasih ummi

Cium tangan, peluk sikit , minta doa. senyum-senyum

Kembali ke motosikal, merempit kembali ke universiti mencari ilmu.

Kembara diteruskan


Sunday, March 10, 2013

Pesanan kepada pelajar universiti



"Semoga apa yg dipelajari diberkati Allah"

pesan daripada sepupu saya yang baru di tingkatan 2 kepada saya yang tahun 2 medic. 

Tersentak, terharu dan tersenyum :)

amin

*exam mode

Saturday, February 16, 2013

Mendengar Radio merencatkan proses pembelajaran?

Anda seorang pelajar?

1.Tadika?

2.Sekolah rendah?

3.Sekolah menengah?

4.Sekolah JUVANA?

5.Pelajar Kolej?

6.Pelajar Universiti?

7.Pelajar Pondok?

9.Pelajar Tahfiz?

10.Pelajar master?

11.Pelajar PhD?

12.Ataupun tak mahu belajar?

13.Mungkin juga tidak 'mampu' belajar?


Kenali diri anda daripada kelompok mana dahulu. Penting. Kerana apa guna bercakap panjang jika anda sendiri tidak mengenal diri anda.

Siapapun anda, pastinya anda pernah mendengar radio.


                                                                            kredit

Isu biasa.

Barangkali, ini adalah kali ke147 anda mendengar hal ini. Mendengar radio semasa belajar mengganggu fokus belajar.

Menurut pakar motivasi....

Menurut Sains...

Menurut....

Jadi pak turut.....

eh?!

Ya, saya di sini bukan untuk membincangkan adakah mendengar radio mengganggu fokus anda. Jawapan paling tepat adalah

"Bergantung kepada anda!"

Ada pelajar yang mampu, silakan.

Ada pelajar yang tidak mampu, maka jangan buat.

Ada juga pelajar yang mengampu, maka hentikan.

eh?!
lagi

Manusia itu tidak sama, ada cara masing-masing.

(asalkan tidak melanggar hukum Allah , silakan)

Lebih penting

Ini adalah isu utama tulisan saya kali ini.

Sebenar saya ini jenis yang perlu/boleh dengar radio semasa belajar. Ubat hilangkan mengantuk.

Sebentar tadi saya study (baca: mengaji; mengulang kaji pelajaran) dan saya mendengar radio.

Radio yang baru saya dengar, bukan radio yang biasa. Ubah angin katanya.

5 minit...

10 minit...

30 minit...

45 minit...

Saya geleng kepala.

45 minit berlalu dan telinga saya dirugikan fungsinya.

Sepanjang 45 minit itu, lagu-lagu yang dimainkan di corong radio stesen itu semuanya sedikit pun tidak memberi manfaat dan tidak ada mata ganjaran (baca : PAHALA). Tidak CEMERLANG

Mungkin ada dua atau tiga lagu yang ada masej yang baik.

Bayangkan jika saya study berjam-jam (kononnya), dan selama berjam-jam itulah telinga saya dirugikan.

Semua lagu yang dimainkan adalah hiburan semata-mata. Tidak ada nilai-nilai murni dan mata ganjaran.

Selalunya saya mendengar ikim.fm ( Atas asuhan keluarga sejak kecil, terima kasih ummi ayah), namun, tak salah jika ubah angin dengan mendengar radio lain.

Kadang-kadang mengantuk juga (kalau asyik ceramah sahaja ) Jangan marah


Senyum.


Tetapi, kalau saya sepenuhnya mendengar stesen radio yang baru itu (bukan ikim.fm dalam kes ini) , maka saya tergolong dalam golongan yang rugi.

"rugi baq hang!" ayat orang kedah.

Konklusi. 

1) Tak salah mendengar lagu-lagu hiburan, tetapi jangan melampau dan 24jam hiburan sahaja. Rugi tiada nilai mata (baca :PAHALA) dan tidak meningkatkan kualiti minda masyarakat.

2) Sekali sekala (banyak kali lebih baik) dengarlah radio yang berunsur ilmu dan islam contoh ikim.fm dan juga stesen radio lain yang ada juga ilmu dan juga iklan-iklan yang baik moralnya . Hot.fm pun ada juga tip-tip yang berguna dan ada juga moral of the story.

3)  Jika anda suka mendengar radio, janganlah terlalu kuat hingga mengganggu orang sekeliling. Bacaan Al-Quran yang mulia juga tidak boleh terlalu kuat jika mengganggu orang lain. Inikan pula rodio. Mana mungkin kalam manusia sama dengan Kalam Allah Tuhan Sekalian Alam

4) Doa-doakanlah kejayaan para pelajar muslim di seluruh dunia agar berjaya dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan .


"man jadda, wa jada "

Ayat keramat

Senyum

sekian.

(kena sambung study, peperiksaan akhir sudah hampir)

nangis~

Wednesday, December 26, 2012

Doktor kain pelikat

Buat para pelajar, mendapat cuti adalah satu nikmat yang besar. Dapat melarikan diri merehatkan diri daripada kuliah yang panjang daripada pagi hingga ke petang, dapat membuang masa dengan berfaedah, dan yang paling penting, dapat pulang ke kampung.

Ada juga yang cuti mereka begitu panjang sehingga dapat bekerja sambilan dan ada juga yang meneruskan perjuangan ke program sana sini. Saya tabik anda!

Namun, bagi yang berada dalam bidang perubatan ini, cuti 3 minggu sudah cukup panjang. Setakat sekarang, tak pernah lagi mendapat cuti melebihi 3 minggu. Biasalah, cubaan.

Pendekkan cerita. Saya dan keluarga terchenta saya pulang ke kampung nenek saya. Dan sempatlah saya jumpa adik-adik sepupu saya yang masih kecil dan di tahap kanak-kanak ribena. Ok, yang ini best! kerana petang itu kami sempat bermain bola AKA futsal di halaman rumah tok saya yang ibarat tepi pantai, (berpasir, sebab di Balik Pulau)

Dan kami bermain dengan jayanya. Kalah budak-budak sekolah. Bukan selalu.

Tiba-tiba, Pak Lang saya menyapa daripada jauh,

"ish! kalau doktor masuk bilik bedah pakai kain pelikat, habis semua pakat-pakat lari la!" sambil tersenyum.

Ya, saya main bola sambil pakai kain pelikat!




Kisah Kain Pelikat

Sempat juga Mak Chaq saya menyakat, isu kain pelikat lagi.

jadi saya pun ceritalah. "kat U pun selalu pakai kain pi kedai. Ada kawan siap pergi tengok wayang pakai kain pelikat. rilek ja."

"Ye ka?" Hairan mungkin.

"apa nak malu, orang lain tak cukup kain rilek ja pakai macam tu, kita ni pakai kain siap tutup aurat tak kacau sapa pun" sambil tersengih.

Serta merta, riak wajah Mak Chaq saya berubah.

"Betul jugak! depa tak cukup kain. Kita cukup kain, siap boleh bagi sedekah lagi"

Ketawa besar.

Kain Pelikat lagi

Sebentar tadi, saya membuang masa dengan berfaedah (baca: spend time) membelek-belek facebook. Dan saya jumpa kisah menarik berkaitan kain pelikat. ini quote dan gambarnya.




Jumpa Melayu sejati di Scotland...

Sebaik sahaja masuk waktu subuh, saya bergegas ke masjid yang berdekatan dengan 'Youth Hostel' yang ditumpangi oleh kira-kira 160 mahasiswa Malaysia yang menyertai Jalinan Ukhuwah Musim Sejuk JUMS 2012.

Suhu subuh pagi ini mencecah 2'C dan sememangnya sejuk. Apatah lagi apabila diiringi dengan hujan renyai yang membasahi bumi Edinburgh ini.

Terkejut saya apabila melihat seorang anak muda yang ber'selipar' dan berkain pelikat sedang meredahi kesejukan pagi ke masjid untuk bersolat subuh secara berjamaah.

Apabila ditanya anak muda dari Sabah ini samada suhu pagi ini tidak terlalu sejuk untuk beliau ke masjid dengan kain pelikat, beliau menjawab bahawa subuh di Czech Republic lagi sejuk kerana suhu 'winter'nya mencecah antara -10 hingga -30'C.

(Beliau adalah pelajar Malaysia yang sedang belajar di bidang perubatan di Czech Republic)
Sememangnya beliau anak Melayu sejati dan darahnya telah dialiri dengan kehangatan iman dan dimuliakan dengan ketinggian Islam









Jadi, ini lebih menarik! teringin pula nak ke sana.

Lipat kain

Jadi sebagai penutup (lipat kain) tak ramai lelaki-lelaki muda kini yang pandai dan suka mengenakan trend ini yang tak lapuk dek hujan dan sesuai sepanjang zaman ini. Selalunya orang akan pakai kain pelikat untuk ke masjid.

Read between the line (baca di antara garis)
.
Anda rugi besar. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Itulah 'feel' orang yang pakai kain pelikat ini.

Oh ya, pemakai kain pelikat perlu pakar, kerana silap hari bulan, mungkin anda akan malu besar jika terlondeh.

p/s: Pemakaian kain pelikat tidak sesuai untuk datang ke kuliah (kecuali kuliah agama di masjid) dan juga majlis-majlis formal dan rasmi. Dan tolong jangan pakai ke dewan bedah. Saya pun lari.

p/s: kisah ini hanya sesuai untuk golongan yang menetap di nusantara dan yaman (kerana mereka mengenakan kain). dan ini bukan bermakna tak pandai pakai kain tak cukup iman. Sekadar perkongsian :)

Bersama jejaka-jejaka hensem ala-ala model tetapi tetap beriman . Satu perkataan , konfiden!!

(gelak sorang-sorang)


Tuesday, October 30, 2012

Selangkah lagi

Gambar gembira setelah tamat final exam

Bermula hari ini, saya secara rasminya pelajar tahun dua perubata. Tamat sudah setahun. 4 tahun lagi insyaAllah.

Saya akan berusaha yang terbaik, kerana takdir saya di hujung usaha saya.

Melangkah tanpa henti

Terima kasih semua

Paling penting, terima kasih Allah.

Alhamdulillah, segala puji hanyalah untuk Mu

^_^

Mohon doa sahabat-sahabat sekalian

Tuesday, October 16, 2012

CERPEN: Cinta jarak jauh

Ihsan En Google

Cerpen terbaru saya.
Sudah lama siap, namun baru sempat untuk disemak.

Tak mahu cakap banyak.
Selamat membaca ^_^





CINTA DUA ALAM


                Bumi masih lagi gelap. Cuma embun subuh yang mula muncul dicelah-celah dedaun pokok.Sunyi pada manusia, namun dipenuhi zikir cengkerik yang setia. Fajar bakal menyinsing tidak lama lagi. Ibarat nyawa buana, fajar yang datang menghidupkan segala nyawa. Hari yang baru muncul lagi.

                Bunyi jam loceng tiba-tiba memecah sepi di bilik kecil itu. Lambat-lambat satu tangan muncul di balik kain selimut yang tebal. Menggapai jam.

                5.30 pagi, berbanding Malaysia, suasana di Ireland berbeza. Malamnya bergantung kepada musim. Musim sejuk sebagini, malamnya lebih panjang. Kesejukan kerap kali menduga iman di dada untuk waktu subuh.

                Tiba-tiba paparan komputer riba di meja sebelah bertukar cerah. Seperti satu panggilan video.

                “Amir! Bangun subuh nak. Mama sudah lama bangun dengan ayah ni,” suara mesra wanita separuh usia. Kelihatan di sisinya si ayah yang sedang membaca Al-Matsurat. Kelihatannya seperti di meja makan.

                “Kami di sini sudah pukul 10 pagi, ayah kamu kerja lewat sikit. Syif doktor dia mula tengah hari. Abang, cakaplah dengan si Am ini.” Ibunya menghalakan kamera tepat ke arah si ayah.

                Dalam masa yang sama, Amir sudah bangun. Berkumur dan menggosok gigi. Namun telinganya masih lekat pada suara-suara daripada komputer ribanya.

                “Hmm, kamu dah baca Al-Quran pagi ini? Ingat, kalau sempat baca Al-Matsurat pun jadi. Emak kamu yang nak sangat skype dengan kamu ni.” Nampak jalur-jalur usia diwajah ayanhnya. Namun senyumnya setiasa ada.

                Amir di singki tersenyum sahaja. Setelah wuduk diambil, dia ke ruang tamu. Pintu bilik ditutup perlahan. Suara daripada komputer ribanya senyap dihalang pintu.

                Sejadah hijau muda kegemarannya dihamparkan. Kopiah putih dikenakan. Persalinan yang bersih menjadi pakaian.

                Masa untuk berjumpa Sang Pecipta.

                Pencipta Alam seluruhnya.

******************

“Malik, kau tak tengok EURO final malam tadi?”Amir yang berdiri memulakan perbincangan. Sekadar memenuhi masa.

Suasana di dalam tram itu sesak. Sesak dengan segala macam manusia dengan agenda masing-masing. Tram di sana lebih dikenali sebagai ‘Luas’. Bunyinya seperti bahasa Melayu, namun itulah yang mereka panggil disana. Kalau dibandingkan dengan Malaysia, ianya seperti LRT.

Hanya dia dan sahabatnya Malik yang bercakap bahasa Melayu.

Perantau di bumi orang.

“Manalah aku ada masa? Peperiksaan kan sudah dekat. Aku tidak kisah sangat  berita-berita yang tidak penting seperti ini,” matanya lepas keluar.

Benar-benar tidak berminat dengan bola sepak. Mungkin disebabkan tidak pandai bermain sukan itu, semua yang berkaitan dipandang enteng.

“Haha, engkau ini. Lawaklah. Walaupun aku juga tak minat sukan bola. Tapi ini semua isu samasa. Penting juga untuk kita. Bayangkan kalau kita nak mulakan sembang-sembang dengan orang lain. Kalau isu seperti ini pun tak kau tak tahu.Tak tahulah aku,” sambil ketawa kecil.

“Sudahlah Am, ibarat kata mak aku, bola itu bulat. Kita tak tahu ke mana ia akan bergolek. Jadi, kadang-kadang golek ke kanan, kadang ke kiri,” kali ini Malik mengeluarkan hikayat ibunya. Seperti berseloroh tapi wajahnya serius.

Ketawa Amir terhenti.

Air mukanya berubah. Teringatkan sesuatu.

“Betul kata engkau. Bola itu bulat.”

“Dunia ini juga bulat”

“Kadang di atas, kadang di bawah.”

Malik memandangnya dengan wajah pelik.

“Wah, bermadah pula. Datang dah ayat jiwang dia,” sambil satu tumbukan kecil dilepaskan kepapa bahu Amir. Mereka ketawa.

Manusia di sekeliling tidak kisah.

Di perantauan, sahabat ialah saudara.

Di perantauan kehidupan, setiap muslim adalah saudara.

Begitulah perjalanan mereka setiap kali menuju ke universiti.


*********

Kelas bermula seperti biasa. Jadual penuh dengan aktiviti. Daripada kuliah umum, kuliah khas, hinggalah ke bilik mayat. Kehidupan sebagai pelajar universiti memang banyak dugaannya.

Jika diikutkan malas dia hati, ramai sahaja yang tinggalkan kelas kerana kata mereka, nota kuliah masih lagi boleh dihadam nanti. Apa guna ke kelas sekadar untuk tidur?

Lebih baik tidur di rumah kata meraka.

Namun, apa saja alasan mereka, meraka perlu ingat, ilmu itu dicari bukan dinanti. Adab-adab mencari ilmu juga perlu dijaga. Kita bukanlah robot yang hanya untuk dimasukkan maklumat, kita adalah manusia yang mempunyai akal budi dan mempunyai iman sebagai GPS kehidupan.

Bukan robot.

Seorang doktor yang terkenal pernah berkata, pelajar yang malas ke kelas, di waktu kerja nanti juga berpotensi menjadi pekarja yang malas ke tampat kerja.

Manusia boleh berubah, namun bukan sekelip mata.

Usai kuilah pagi. Amir berkemas untuk ke kafeteria.

“Assalamalaikum,” satu suara menjengah telianga. Suara wanita.

“Waalaikumsalam. Ya Amirah, ada apa?” Amirkelihatan kekok. Barang-barangnya dikemas lebih cepat.

“Saya mahu minta tolong saudara Am untuk bantu saya dalam mencari  maklumat. Saya ditugaskan untuk siapkan bahan-bahan artikel untuk persatuan di asrama saya. Boleh saudara bantu?” cakapnya lambat-lambat. Sahabatnya di sebelah hanya angguk-angguk kecil.

Amir mengangkat beg sambil berlalu, “InsyaAllah. Tajuk apa?”

Mereka berjalan bertiga menuju kafeteria. Pelajar-pelajar lain sibuk mundar-mandir. Keadaan universiti mereka memang sentiasa hidup.

“Betulkah? Terima kasih banyak. Saya tahu Amir memang seorang yang baik,” wajah Amirah kelihatan bercahaya. Senyum manisnya menghias wajah. Gembira yang mula berputik.

Amir tahu, jika kita mampu membantu, bantulah semampunya. Kerana, dia masih ingat pesan ibunya, jika kita mudahkan urusan manusia lain, InsyaAllah Allah akan memudahkan urusan kita ke syurga.

“InsyaAllah, sekadar termampu.”

“Terima kasih Am.”

*********

Subuh datang lagi. Suasana sepi mula terganggu.

Bunyi jam loceng Amir memecah kedinginan pagi. Dalam masa yang sama, komputer ribanya turut beroperasi.

“Amir, kamu tahu, ayah kamu pening memikirkan perangai kamu.Tolonglah, solat jangan tinggal. Buat baik dengan orang. Janganlah sakitkan hati siapa-siapa lagi. Ayah kamu pening kepala tahu,” wajah ibu Amir muncul di skrin. Kelihatan sepertinya di pejabat.

Amir yang sudah di dapur mendengar teliti.

Senyum sendiri.

“Mama tak mahu dengar lagi masalah disiplin kamu di sana. Kami di sini berkerja keras agar kamu dapat ke sana. Kamu ini aset kami. Am anak mama. Dengarlah.”

“Mama pernah baca dalam satu buku agama, jika kamu mudahkan urusan manusia lain, InsyaAllah Allah akan mudahkan urusan kita ke syurga. Mama harap, Allah akan mudahkan urusan kita semua ke syurga. Jadi, tolonglah orang lain dan paling penting tolonglah diri kamu sendiri.”

Wajah ibunya kelihatan risau.

Risau keadaan anak tunggalnya.

Amir senyap. Mag kegeramanya digenggam kemas, kopi masih lagi panas.

Butir-butir manik muncul daripada matanya.

Tulus daripada hati.


***********

Keadaan bilik mayat itu sejuk. Suhu demikian memang diperlukan untuk memelihara mayat daripada cepat rosak.

Kelas anatomi sedang berlangsung.

“Aku tahun ini malaslah nak balik Malaysia,” ngomel Malik sambil membedah mayat.

“Kenapa? Kau ada program?”Amir menjawab pendek.

“Bukanlah. Aku cuma malas nak balik. Kalau aku duduk sini, ayah aku bagi duit. Duduk di rumah, kalau bagi pun bukanlah banyak mana pun.”

“Sebab itu saja?”Amir berhenti memotong.

“Mungkin tak perlu balik setahun dua tiga kali, nanti orang kata aku anak manja,” katanya sambil buat muka.

Amir bergerak diri situ, topeng muka dan sarung tangan ditanggalkan. Menuju ke singki khas untuk membasuh tangan.

“Sementara ibu bapa masih ada, lebih baik engkau balik ziarah. Kau mampu, kau patut balik. Bukan semua orang ada peluang seperti engkau.”

Malik senyap.

“Kita ini, kalau nak buat perkara untuk puaskan hati orang lain. Tak mahu orang lain kata. Kita memang tidak akan ke mana-mana. Itu salah, ini salah. Yang penting, kau buat perkara yang kau fikir betul dan paling penting, perkara yang Allah dan Rasul kata betul,” Amir melangkah keluar daripada makmal.

“Jom la, aku nak belanja Doner Kebab!”Amir melaung dari jauh. Sejenis kebab kambing halal yang terkenal di sini.

Malik senyum.

“5 minit!”

Amirah di makmal sebelah memerhatikan gelagat mereka.

********

Perpustakaan adalah gedung ilmu. Namun, dengan kemajuan dunia kita, internet juga adalah gedung ilmu. Segala maklumat lama dan baru ada di dalam cariannya. Cuma perlu tahu bagaimana dan di mana untuk mencari.

Internet hanya alat, manusialah yang tentukan baik buruknya.

Amir duduk sendirian di meja tengah perpustakaan universitinya. Ulangkaji. Bukan semua yang boleh belajar dalam keadaan itu.

Komputer ribanya ditatap sungguh-sungguh.

“Mama dan ayah kamu nak pergi haji tahun ini, InsyaAllah satu minggu lagi kami berangkat ke tanah suci. Kalau sempat, lepas selesai semua urusan. Mama cadang mahu ajak ayah kamu ziarah kamu di sana.”wajah ibunya muncul di paparan computer riba.

“Sebelum mama nak berangkat, mama nak bagitahu, kami berdua sayangkan kamu. Dan kami dah maafkan dan halalkan semua makan minum kamu. Walaupun kadang-kadang buat perangai, kami faham. Walaupun dunia zaman kamu dan zaman mama berbeza, tetapi remaja tetap remaja.”

Senyum ibunya jelas di skrin.

“Mama teringat lagi, waktu ayah kamu datang ke rumah mama. Sangat berani. Dia berani datang sorang-sorang, jumpa dengan atuk dan nenek kamu. Semata-mata alasan mahu ziarah. Padahal mama waktu itu kawan biasa-biasa dengan ayah kamu. Itu sedikit sebanyak zaman muda-muda kami dahulu.”

Bahagia. Itulah pancaran wajah ibunya ketika itu.

Tuk..tuk..tukk

Tiba-tiba terasa mejanya diketuk perlahan.

Senyuman Amirah menjengah. Dia datang dengan beberapa sahabatnya.

Amir menanggalkan earphone. Skrin komputer ribanya ditutup.

Senyuman dilemparkan ke arah mereka.

“Ya? Amirah,boleh saya tolong apa-apa?” Amir memulakan bicara.

Mereka semua ketawa kecil.

“Am, tadi kami semua dah bagi salam. Tapi kamu yang khusyuk sangat dengan komputer riba kamu. Itu yang kami ketuk meja kamu itu,” Amirah mula bersuara.

Amir sengih, malu.

“Kami semua datang nak minta kamu tunjuk kami cara untuk buat poster menggunakan perisian photoshop. Saya bawa adik-adik tahun satu dan tahun dua untuk belajar sekali.”

“Boleh? Tak ganggu Am?”

                “InsyaAllah.”
            
                Dalam hati Amirah, dia tertanya-tanya. Siapakah wanita di skrin tadi.
            
    “Tadi itu siapa? Wajahnya tampak keibuan? Ibu Am?” Amirah berani bertanya. Sebagai seorang pelajar 
perubatan, dia memang diajar. Jangan meneka sahaja, tanya.

                Amir tersentak.

“Err, pandai.”

“Wah, teringin pula nak jumpa,” monolog Amirah terlepas keluar.

Semua di situ kaget.

“Ops!” wajah Amirah panas, malu.

“InsyaAllah, pulak ke tanah air nanti ada rezeki Amir ajak melawat meraka,” Amir perasan keadaan itu, pantas membantu Amirah.

Tak mahu dia dimalukan di hadapan pelajar-pelajar juniornya yang lain.

“Ok, siapa mahu belajar!” Amir memulakan kelas.

*********

Subuh pagi ini paling istimewa. Subuh terakhir di bumi orang. Tengah hari nanti Amir dan sahabat-sahabat sekelas bakal kembali ke tanah air.

Tahun ini tahun terakhir mereka sebagai pelajar perubatan. Pantas sungguh masa berlalu. 5 tahun selesai sudah.

Setelah berjaya dalam peperiksaan akhir. Mereka sudah bersedia untuk balik ke tanah air berkhidmat kepada negara semula.

Bunyi jam loceng Amir memecah lagi kedingan pagi. Komputer ribanya berfungsi lagi.

                “Amir! Bangun subuh nak. Mama sudah lama bangun dengan ayah ni,” suara mesra wanita separuh usia. Kelihatan di sisinya si ayah yang sedang membaca Al-Matsurat. Kelihatannya seperti di meja makan.

                “Kami di sini sudah pukul 10 pagi, ayah kamu kerja lewat sikit. Syif doktor dia mula tengah hari. Abang, cakaplah dengan si Am ini.” Ibunya menhalakan kamera tepat ke arah si ayah.

                “Hari ini ayah kamu sembang dengan mama, mungkin tahun depan kami akan buat haji. Jadi bolehlah melawat kamu.”

                Amir hari ini bangun lebih awal. Bersiap sedia.

                Banyak perkara besar bakal dihadapinya .

                Sambil-sambil  membuat kemasan akhir pada semua bagasinya, telinganya masih lekat kepada suara daripada komputer ribanya. Suara yang saban hari menjadi penemannya sejak 5 tahun dulu.

                Matanya menyapu seluruh penjuru rumahnya. Mungkin buat kali terakhir. Dia dan Malik menapak keluar. Mentari telah mulai bersinar.

                Menghangatkan jiwa manusia, agar bangun bekerja dengan semangat yang baru. Semangat daripada Tuhan Pemilik Matahari itu.

                Tujuan mereka hari ini. Lapangan terbang antarabangsa Ireland, Dublin Airport.

                Amirah dan kawan-kawannya juga dalam perjalanan yang sama. Setelah 5 tahun bersusah payah belajar di bumi orang, mengutip hikmah dan menguji iman, akhirnya mereka bakal pulang.

                Kapal terbang sedang menunggu.

                Kembalilah, wahai anak perantauan.

********

Amir bersila di situ.

Lama.

Rumput-rumput kecil menjadi permaidaninya. Mulutnya terkumat-kamit ayat-ayat Tuhan.

Ayat-ayat suci daripada Al-quran.

Buat kekasihnya baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Juga buat ibu bapanya yang tidak dapat menyambut kepulangannnya di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur siang hari tadi.

Di tangannya bingkisan Al-Matsurat kemas dipegang.

Bukan sekadar di tangan, tetapi juga di hati.

Batu nisan di hadapannya diusap lembut.

Amir bangun perlahan-lahan, bergerak pergi.

Amirah dan keluarganya menuggu di luar pagar.

“Kebetulan rumah Amirah dan kawasan ini dekat, bolehlah kita tumpang sekali,” ujar Amir sambil menghulur salam kepada ayah Amirah.

“Itulah, Amirah ada banyak cerita pasal Amir kepada kami. Tetapi, tak tahu pula yang Amir ini…” tidak sanggup ayah Amirah menghabiskan ayatnya.

“Tidak mengapa pak cik,” Amir terus senyum.

“Saya tahu Allah lebih sayangkan ibu bapa saya. Kerana itulah mereka dijemput pulang awal.”

“Pada tahun pertama saya, saya seorang yang agak nakal.”

Amir senyum kecil.

“Solat dan agama tak ambil endah, walaupun ibu ayah saya seorang yang baik.”

“Namun setelah kejadian di Tanah Suci yang mengorbankan mereka berdua, saya mula sedar dan berubah.”

“Semua video yang Amirah nampak tu hanyalah rakaman mereka sebelum mereka pergi. Saya selalu pasangkannya apabila terigatkan mereka. Ada yang saya setkan sama dengan alarm.”

Ayah Amirah di sebelah diam sahaja. Di hadapannya seorang anak muda yang benar-benar sudah berubah.

“Kumpulan Raihan ada melagukan, iman tak dapat diwarisi.”

“Dari seorang ayah yang bertaqwa.”

Sambil itu, tangannya mencuit lengan Amir. “Amirah suka sangat kumpulan Raihan.”

Amirah di belakang malu-malu. Emaknya di sebelah hanya tersenyum.

“Tapi, Allah juga tidak zalim, Dia sentiasa ada bagi mereka yang mencariNya,” ayat itu menghabiskan bicara mereka.

Kawasan perkuburan itu semakin hilang daripada pandangan. Mata Amir hanya mampu memandang.

“Mama, ayah, terima kasih kerana tidak putus asa terhadap Amir.”

“Walaupun mama dan abah nun di sana, namun ingatan dan doa tidak pernah hilang daripada hati Amir.”

“Dan satu lagi, Amir mungkin dapat keluarga baru. Mama dapat menantu,” senyum nakal

“Amir?”

Suara ayah Amirah menarik Amir keluar ke realiti kembali.

“Berangan apalah tu?”Amirah di belakang menambah.

Mereka semua ketawa.

Bahagia walaupun berbeza alam.


















Nota kaki :

Jika bermanfaat dipersilakan untuk kongsi .Jika ada kekurangan teguran amat dialu-alukan.

Terima kasih
 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.