Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

Lebih berharga daripada kek Apollo

Kelibat seorang lelaki melalui lorong gelap itu.

Berseorangan.

Tanpa diketahui, satu susuk tubuh sedang menunggu di balik bangunan.

Menunggu untuk bertindak.

"Berhenti!" suara garau memberhentikan lelaki yang sedang berjalan tadi

. Satu lembaga meletakkan objek tajam di tengkuknya.

Berdebar.

"Nyawa atau Kek Apollo?!"  sergah lembaga itu.

"Apa?"


**********


Tidak ku sangka, ada juga subjek keushawanan dalam bidang kami ini. Menarik, memang menarik.

Jadi, hari ini Tuan Pensyarah kami memberikan satu tugasan.

Menjual kek Apollo dengan harga paling mahal.

Masa diberi adalah 2 hari dan syaratnya tidak boleh dijual kepada ahli kelas.

Mudah.

Apa saya fikir?

Saya berfikir, paling mahal pun mungkin dua tiga ringgit. Bayangkan saja, kek Apollo kanak-kanak ribena yang kosnya hanya 30sen, siapa yang mahu beli mahal-mahal?

Itu fikirku waktu itu.

Tetapi, dunia ini sebenarnya sangat menarik.

Terlalu menarik.

Tiba Hari yang dijanjikan

Sempat saya mendengar khabar angin, nampaknya sangkaan saya salah. Amat salah.

Tiba masanya setiap seorang pelajar yang menjual membuat penyampaian ringkas bagaimana menjual dan berapakah harga.

Pelajar yang berjaya menjual dengan harga paling mahal, akan dinobatkan sebagai pemenang untuk sesi ini.

Pelajar pertama :
Saya jual dengan harga RM 5. Cara saya, saya ikat dengan riben dan letakkan nota kecil yang comel, dan membuat home dilivery.

Saya tersenyum, hebat!

Seterusnya

Saya menjual dengan harga RM1.50, dengan cara sekian-sekian.

biasa.

Seterusnya.

"Saya jual dengan harga RM10. dengan cara, bercakap kelate. Saya jual kepada kawan saya daripada Kelantan"

RM10!

Seterusnya.

"saya mampu jual dengan harga RM10. Caranya dengan membuat dua pilihan, satu yang diketahui dan satu lagi diletakkan dalam kotak hadiah, tetapi pembeli tak tahu apa di dalamnya. mereka boleh pilih, yang tahu dengan harga RM5 atau yang misteri itu dengan harga RM10. Mereka memilih yang misteri, padahal sama sahaja, cuma ada kotak hadiah"

Kagum!

Ini daripada salah seorang best student kelas kami.

Seterusnya.

"err, saya jual dengan harga RM50"

ha?!

"caranya dengan jualkan kepada lelaki yang nak keluar dengan saya. dia setuju"

Kembali duduk.

Saya hampir terjatuh kerusi, tak percaya.

haha

Ini eksploitasi.

Setakat ini, ini paling mahal. RM 50!

Sterusnya adalah lagi epic.

Kakak kelas kami yang dihormati bangun.

"saya jual kepada husband saya, dia kata, ambil saja banyak mana duit yang mahu daripada akaun bank dia, saya tak tahu nak ambil berapa" sambil tersenyum.

Satu kelas kecoh. Gemuruh dengan tepukan ahli kelas.

"Ambil RM50.10!! bagi menang!" ada yang melaung daripada belakang kelas. Ramai yang cuba memberi cadangan.

Pensyarah saya tersenyum sahaja.

"Oklah, saya ambil RM100"

Nah, inilah dia pemenang kita.

Satu Apollo yang dijual dengan harga RM100!!

Tak pernah saya fikir..

Pengajaran 

Mata saya benar terbuka, lain manusia lain cara.

Dan, tiada yang mustahil. Asalkan ada teknik dan usaha. (tak kiralah jual kat suami, hehe, barulah sweet)

Paling menarik, Apollo yang kecil itu boleh dilipat gandakan harga berkali-kali ganda,

Inikan pula manusia. Makhluk terbaik ciptaan Allah di muka bumi.

Apa yang membezakan 'harga' kita ialah bagaimana kita mengpersembahkan diri kita.

Dan ingatlah, yang paling mulia pada pandangan Allah adalah yang paling bertakwa.

Apa itu tawqa? Dr Danial menerangkan ;

"Ingat jangan lupa

Taat jangan maksiat

Syukur jangan kufur"


P/s: Satu lagi pelajaran, kahwin tetap paling manis (sweet) berbanding berpacaran

Senyum

Teringat zaman kanak-kanak




Thursday, June 13, 2013

Kita dan anjing

Situasi pertama

********

Seorang lelaki  menghalau anjing dengan kasar, padahal anjing itu tak mengganggu dia pun, sekadar tidur di kaki lima.

"Najis! Syuh! Syuh! " separuh menjerit.

*******
' I learned to give not because i have much , but because i know exactly how it feels to have NOTHING ... '' 

Anjing itu binatang, walaupun keseluruhan badannya adalah najis berat, yang hanya boleh dihilangkan dengan membasuh tempat terkena najis dengan sekali air tanah dan enam kali air mutlak.

Pun begitu, perlu diingat, ajaran Islam tak pernah menyuruh kita diskriminasi ( contoh, pukul, kasar dan apa yang sewaktu dengannya) terhadap anjing.

Buktinya, ingat lagi kisah Ashabul Kahfi, kisah pemuda-pemuda yang tidur di dalam gua selama beretus tahun. Seekor anjing terut diceritakan bersama mereka.

Ingat pula tentang kisah seorang yang memberi minum anjing yang dahaga di tengah padang pasir dengan menggunakan kasut? Lelaki mengembara itu sanggup memanjat turun ke dalam telaga, dan mengunakan kasutnya sebagai bekas (kole) untuk membawa air keluar untuk diberi mimum kepada seekor anjing yang kehausan di luar sana.

Anjing juga makhluk Allah.

Tidak boleh dizalimi.

Pun begitu, anjing juga mempunyai satu penyakit yang amat bahaya bagi manusia, Rabies . Penyakit anjing gila, jikalau virus telah merebak ke otak, tak dapat nak menolong (mati).

Take note~




Konklusi

Jangan zalim dengan apapun.

Jangan zalim dengan binatang, apatah lagi manusia.

P/S : kenapa tiba-tiba cerita pasal anjing? Sekadar terfikir.
       
          Pesanan khidmat masyarakat
        "binatang juga ada masalah!" 

hehe


Sunday, April 14, 2013

Teknik melawan hantu sebelum tidur

Melihat saja pada tajuk, saya sedar. Saya sedar tajuk itu melampau. Agak melampau (baca: over). Namun, itu adalah salah satu cara untuk menarik perhatian pembaca.

Saya tidak menipu, apa yang saya ingin kongsikan adalah benar-benar teknik yang praktikal dan mudah dan mampu untuk semua orang. Tidaklah perlu sebarang alatan, latihan dan juga pertapaan selama dua setengah purnama.

Hantu? Apa difinisi anda? Apa yang pasti ialah, Syaitan dan Jin wujud berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis.

Hantu= Jin dan Syaitan? itu masih boleh dipertikaikan.

Pernah terkenal satu masa dahulu



Cerita hantu.

Hari pertama saya hadir ke asrama universiti, setelah keletihan perjalanan, saya duduk berehat di ruang tamu. Sahabat serumah saya menyambut kedatangan saya. Setelah bertanya khabar dan berbasa basi, satu isu menarik timbul.

"Nasib baik hang(kamu) balik, selamat aku" ucap teman serumah sambil ketawa.

"Kenapa? Apa yang berlaku?" saya hairan.

"Hang tau tak, ada benda kacau aku"

"benda ataupun 'benda'" sambil membuat isyarat 'dalam kurungan'.

Dia angguk.

Saya senyum kecil sambil mengeleng.

Seram

Maka sesi bercerita pun bermula. Nama pencerita dirahsiakan. Itu etika.

*****

Dingin awal pagi mula terasa. Angin sepoi-sepoi masuk melalui tingkap yang terbuka. Langsir beromak mengikut irama. Suasana gelap hanya disuluhi dengan cahaya lampu daripada luar pintu. Pintu sedikit terbuka.

Sunyi.

Benar-benar sunyi.

Tiba-tiba, perasaan seram mula merangkak masuk. Terasa seperti ada seseorang, lebih tepat sesuatu di dalam bilik. Di satu sudut, kelibat hitam kelihatan .

Mata tiba-tiba terbuka. Naluri manusia ingin bertindak. Sama ada lari ataupun lawan. Pastinya di sini adalah lari.

Namun, amat pelik apabila tiada satu otot pun yang bergerak. Kaku.

Nafas terasa tersekat-sekat.

Dalam masa yang sama, benda itu semakin hampir.

Seperti asap hitam.

Dekat.

Dekat.

Badan masih kaku, suara jeritan ibarat tersekat di kerongkong. Tiada suara yang terhasil.

Tiba-tiba, terasa hujung kaki dicengkam kuat. Sangat kuat.

Kemudian berubah ke lutut, kemudia ke paha.

Begitu juga rasa tekanan di dada, ibarat ditindih sesuatu.

Perit.

Peluh mulai keluar.

Namun masih kaku, walaupun cuba untuk bergerak.

Dengan tiba-tiba, apabila keadaan ibarat tiada penghujungnya, semua itu hilang.

"hah!" nafas pertama berbunyi.

Pintu ditenung tajam. Terasa seram sejuk di belakang tengkok.

Peluh.

Benar-benar berpeluh.

Dan malam itu tak mampu lagi untuk melelapkan mata, apatah lagi tidur.

Semua itu, adalah....

Gangguan benda.

Bukan .

Gangguan 'benda'.


*********

Begitulah sedikit sebannyak cerita yang diceritakan dan diceritakan semula atas fahaman saya. Tiba-tiba saya  pula yang meremang, jam sekarang menunjukan pukul 11.45minit malam.

Saya yakin, 4 daripada 10 orang dewasa pernah merasa perkara itu. 

Orang utara kata kena tindih dan sebenarnya perkara ini berlaku di seluruh dunia dan direkodkan juga berlaku sejak zaman berzaman.

Jadi, inilah 'hantu' yang disebut di atas tadi.

"Wargh!! Makan budak!!"

Fakta

Sebelum saya menceritakan tentang teknik dan ubat untuk kes ini, saya terlebih dahulu ingin memperkenalkan dengan lebih dalam tentang hal ini.

Tak kenal maka tak benci.

eh!

Dipendekkan cerita, Allah temukan saya dengan ilmu ini, tak pasti daripada buku atau dokumentari terlebih dahulu. Tetapi yang pasti, saya sudah menjumpai alasan dan fakta untuk 'hantu' ini.

Terkenal sebagai sleep paralysis.

Pernah dengar?

Bagi yang rajin baca daripada segi perubatan rujuk sini dan sumber lain dalam bahasa 'orgputih' sini.

Rujuk di Dokumentari

Secara mudah

Penjelasan asal agak panjang lebar dan bosan.

Ada penjelasan tentang tahap tahap gelombang otak ketika tidur dan tahap-tahap tidur seperti REM( Rapid Eye Movement) (baca: Pergerakan mata yang cepat) dan yang satu lagi ialah NREM (Non-Rapid Eye Movement) (baca: Bukan-Pergerakan mata yang cepat).

Pertukaran ini berlaku setiap 90 minit. Itu berdasarkan fakta yang diberikan berdasarkan kajian.

(bosan!!)

Saya sudah cakap kan?

Jadi, saya mahu pendekkan.

Begini, bayangkan kita ada dua entiti.

1)otak
2)badan(otot yang boleh dikawal)

Ketika tidur yang normal (biasa), kedua-duanya yakni otak dan badan tidur. Jadi tidak ada masalah.

Dan ketika bangun tidur pula, kedua-duanya bangun (terjaga) secara serentak. Tiada masalah.

Masalah berlaku apabila atas sebab tertentu, otak tiba-tiba tersedar/terbangun dahulu daripada sistem badan.

Dalam kata yang lain, otak kita sudah sedar namun badan kita masih tidur.

Nampak?

Inilah sebabnya apabila otak menyuruh badan bangun, contohnya angkat kaki, gerakkan jari, keluarkan suara, dan apa saja arahan otak kepada badan tidak diendahkan. Masakan tidak , badan masih tidur!!!

Inilah yang menyebabkan kita lumpuh buat sementara. Hal ini juga ada menyebab bahagian badan terasa seperti ditekan padahal, semua itu hanyalah kesan badan terus tidur.

Lebih buruk, otak yang tersedar lebih awal daripada badan, akan menyebabkan seseorang itu terasa seperti terjaga padahal bermimpi. Mimpi yang sedar.

Lebih tepat, mimpi buruk yang sedar.

Jadi, apa saya yang muncul dalam fikiran akan muncul dalam penglihatan kita. Itulah segala 'benda' dan 'hantu' yang terlihat.

Kalau kita takut, dan pastinya kita terfikir yang bukan-bukan, maka yang bukan-bukanlah yang datang.

Dan sebaliknya, apabila kita sedar dan tahu apa yang berlaku, jadi fikirlah apa yang anda mahu dan itulah yang terhasil.

Faham?

(Nampakanya , tidak cukup pendek, masih lagi panjang)
 Geleng kepala.

Teknik melawan hantu

Tekniknya mudah, jika mahu tidur. Amalkanlah dua perkara penting (asas).

1) Ambil wuduk
2) Baca doa sebelum tidur dan 3 Qul (Surah Al Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nass)

*Boleh rujuk ''
ayat pengasih

Dan semua ini tak akan sedikit pun berkesan tanpa izin Allah, Tuhan Sekalian Alam. 
Bacalah dengan Tauhid, dengan Yakin. 

Tenang sebelum tidur adalah kuncinya. Dan ketenangan itu adalah anugerah Allah.

InsyaAllah.

Tambahan, bagi yang rasa 'sesuatu' ketika benar-benar sedar, bacalah Al-Fatihah dan Ayat Kursi.

Baca dengan Tajwid yang benar dan bacalah dengan yakin. 

Allah Akbar!

Namun setelah 3 kali dibaca masih belum 'hilang'/pergi, kamu!

Ya.

Kamu.

Ambillah kerusi terdekat dan hempuklah(baling/pukul) 'benda' itu. Kerana tak lain tak bukan ianya adalah bukan 'benda' itu.

Besar kemungkinan itu adalah sahabat kamu yang cuba menyakat, ajar sikit.

Penutup 

Perkara ini tidaklah semudah ini, kerana ilmunya sangat luas. Namun , lebih baik saya memudahkan kalian untuk faham.

InsyaAllah ada kebaikan untuk semua.

Seperkara lagi, apabila saya menceritakan semua ini, tak sedikitpun bermakna saya tidak percaya kepada alam Ghaib. Saya percaya dan yakin atas dalil dan bukti daripada Sunnah dan Al-Quran.

Namun, ini adalah ilmu Allah juga. Tak salah menambah ilmu yang baik.

Segala silap dan salah mohon ditegur.

Senyum

Selamat malam.

Lailah




Thursday, April 4, 2013

Diari : Sekitar LIMA' 13


LIMA' 13 di Langkawi

Sebenarnya saya memang dari kecil minat dengan bidang ketenteraan dan juga bidang persenjataan. Saya masih ingat sewaktu saya tingkatan 5 di Maktab Mahmud saya menyimpan koleksi Majalah Prajurit dan Tempur. Berkilo-kilo beratnya. Memang banyak.

Namun setelah saya dapati majalah jenis ini makin susah didapatkan di kedai-kedai buku, saya berhenti seketika. Namun buku-buku lama masih dalam simpanan.

Atas dasar kesibukan belajar dan lain-lain, saya berhenti membeli buku-buku sebegini.

Tetapi, minat masih ada. Sebut sahaja game komputer Battlefield 2, Call of Duty, Sniper elite, Tom Clancy , dan segala game first person shooter , semua di'belasah'.

Jangan sebut game paling terkenal yang kini telah menjadi classic, CS (Counter Strike) . Pernah juga banyak kali kami mengadakan pertandingan CS secara berjemaah sampai lewat malam.

Best, biasalah orang muda. Janji solat dan tahu berhenti apabila perlu.

Berbalik kepada LIMA 2013, semua ini berlaku secara tiba-tiba.

Bermula dengan PM dengan sahabat baik saya di 'Fesbuk' sehari sebelum itu, kami bertekad mahu ke sana.

Cabaran

Abang saya merupakan salah seorang yang bekerja part time sebagai memandu pelancong di Langkawi, jadi dia memang sangat berpengalaman.

Taiko.

"hampa(kamu semua) kena beli tiket awal sehari, sebab memang nanti orang penuh" Nasihatnya ikhlas.

Namun atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan , kami semua tak mampu berbuat demikian.

Hasilnya, pada pagi hari jam 7.00 pagi kami tiba ke sana, orang ramai sudah berpusu-pusu. Bayangkan , tiket terawal yang kami dapat adalah pada pukul 10.30 pagi.

Jadi tiada pilihan selain menunggu.

Sempatlah menjamah sarapan pagi terbaik di dunia iaitu roti canai dan secawan tea tarik. Oh dunia!

Setelah berjalan-jalan dan membuang masa, jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, kami bergerak ke jeti.

Menunggu.

Menunggu.

Jumpa soket kosong, cas henset dulu . (gelak jahat)

Menunggu lagi.

Pengumuman, ..... Bukan feri kami

Tunggu

"kalau feri tak sampai lagi hingga pukul 12 tgh hari, aku balik terus! tengok wayang lagi baik!" sahabat baikku , Arif nekad.

Bayangkan kami menunggu sejak pukul 7.00 pagi hingga 11.30 pagi

Bapak lama! Mat Lutfi

Pendekkan cerita, jam 11.59 pagi kami bertolak.

Hampir-hampir (nafas lega)

Pulau

Setibanya di Pulau Langkawi, perjalanan cabaran kami baru sahaja bermula.

Saya berjalan cepat (bukan lari) mencari kaunter tiket untuk pulang.

Padahal baru sahaja tiba. Itupun sudah panjang barisan manusia menunggu. Kami berbuat begitu kerana tahu manusia hari itu memang ramai. Kami tidak bercadang untuk bermalam di sana. Tambahan pula kereta sahabat saya diparkir di tempat terbuka. Kereta baru, tak mungkin dibiarkan bermalam bersendirian .

Tiket balik jam 7 ptg. Selesai satu perkara.

Seterusnya kami melihat peta, mahu ke mana? Jet atau Bot atau dua-dua?

Pendekkan cerita, kami ke satu hotel yang berdasarkan maklumat daripada laman rasmi LIMA ,LIMA ada menyediakan shuttle bus setiap 15 min.

Peta yang berada dalam telifon pintar saya

Berjalan kaki ke sana.

Namun Allah menguji kami, hampa! bas terakhir telah bergerak pukul 11 pagi tadi. terlepas sudah.

Jadi kami berjalan kaki pulang ke arah jeti. Kali ini bertekad untuk dapatkan teksi.

Kebetulan setelah beberapa ketika berjalan ada sebuah teksi lalu dan itulah perjalanan kami (our ride)

Sampai ke Awana

Maka buat pertama kali wajah kami agak ceria.

"akhirnya!" hati bersuara.

Biar gambar berbicara








Pulang

Pulang juga bagi saya adalah epic dan puncak perjalanan kami ke Langkawi kali ini.

Akibat jalan jem (ingat KL sahaja yang jem? Langkawi pun sama ) kami mungkin lewat.

Lewat daripada jam 7 ptg.

Terlepas feri terakhir.

"pak cik rasa, kalau ikut jalan macam nih, hampa memang terlepas feri la" Pemandu teksi kami bersuara. Ikhlas bunyinya.

"kalau susah sangat pak cik, tinggalkan kami di tepi jalan dan kami akan berjalan kaki" saya memberi cadangan sebelum itu.

Semua senyap.

Sampai satu simpang yang jam, pemandu kami bersuara.

"pak cik rasa macam ini, pak cik tinggalkan hampa semua kat tepi sana, lepas tu hampa boleh jalan laju ikut tepi pantai tu, hujung sana jeti, kalau keadaan macam ini memang hampa tak sempat"

"ok pak cik, hantar kami ke sana" Nekad lagi

Run For Your Feri

Apabila kami bayar sahaja tambang teksi yang sudah dikurangkan atas jem dan separuh jalan. Kami mula melangkah.

Mula-mula berjalan laju.

Kemuadian berlari.

Berlari-berlari anak.

Peluh tak dikisahkan, letih hanya pada kaki bukan mentel, kaki sakit dibiuskan saja.

Asalkan sampai.

Tetapi Alhamdulillah pemandangan di pantai itu cantik, sempat snap beberapa gambar.


nampak tak muka letih? 
Dan akhirnya kami sampai.

Tepat.

Pulang

Pulang juga ada drama, feri sudah sampai awal di jeti, tetapi lambat pula dibenarkan turun. Sangat menguji kesabaran.

Waktu itu baru kami teringat yang makanan yang kami makan hanyalah roti canai pagi tadi dan beberapa nugget di Langkawi.

Maka setelah solat jamak Ta'khir kami pun bergegas mencari makan.

Pulangnya di rumah, buka FB, rupanya result exam baru sahaja diumumkan. Ramai yang mahu hubungi saya tetapi saya outstation. Kelakar!

Alhamdulillah cemerlang, boleh usaha lagi.

Moral of my Story

Sebelum balik, kami sempat berseloroh,

"ingat senang ka? ini semua tarbiah direct daripada Allah" Arif berkata.

"ya benar, Sabar. Allah bersama orang-orang yang sabar" Sambung saya

Si Azam hanya tersengih.

Terima kasih semua.

Until next time

Salam











Saturday, February 16, 2013

Mendengar Radio merencatkan proses pembelajaran?

Anda seorang pelajar?

1.Tadika?

2.Sekolah rendah?

3.Sekolah menengah?

4.Sekolah JUVANA?

5.Pelajar Kolej?

6.Pelajar Universiti?

7.Pelajar Pondok?

9.Pelajar Tahfiz?

10.Pelajar master?

11.Pelajar PhD?

12.Ataupun tak mahu belajar?

13.Mungkin juga tidak 'mampu' belajar?


Kenali diri anda daripada kelompok mana dahulu. Penting. Kerana apa guna bercakap panjang jika anda sendiri tidak mengenal diri anda.

Siapapun anda, pastinya anda pernah mendengar radio.


                                                                            kredit

Isu biasa.

Barangkali, ini adalah kali ke147 anda mendengar hal ini. Mendengar radio semasa belajar mengganggu fokus belajar.

Menurut pakar motivasi....

Menurut Sains...

Menurut....

Jadi pak turut.....

eh?!

Ya, saya di sini bukan untuk membincangkan adakah mendengar radio mengganggu fokus anda. Jawapan paling tepat adalah

"Bergantung kepada anda!"

Ada pelajar yang mampu, silakan.

Ada pelajar yang tidak mampu, maka jangan buat.

Ada juga pelajar yang mengampu, maka hentikan.

eh?!
lagi

Manusia itu tidak sama, ada cara masing-masing.

(asalkan tidak melanggar hukum Allah , silakan)

Lebih penting

Ini adalah isu utama tulisan saya kali ini.

Sebenar saya ini jenis yang perlu/boleh dengar radio semasa belajar. Ubat hilangkan mengantuk.

Sebentar tadi saya study (baca: mengaji; mengulang kaji pelajaran) dan saya mendengar radio.

Radio yang baru saya dengar, bukan radio yang biasa. Ubah angin katanya.

5 minit...

10 minit...

30 minit...

45 minit...

Saya geleng kepala.

45 minit berlalu dan telinga saya dirugikan fungsinya.

Sepanjang 45 minit itu, lagu-lagu yang dimainkan di corong radio stesen itu semuanya sedikit pun tidak memberi manfaat dan tidak ada mata ganjaran (baca : PAHALA). Tidak CEMERLANG

Mungkin ada dua atau tiga lagu yang ada masej yang baik.

Bayangkan jika saya study berjam-jam (kononnya), dan selama berjam-jam itulah telinga saya dirugikan.

Semua lagu yang dimainkan adalah hiburan semata-mata. Tidak ada nilai-nilai murni dan mata ganjaran.

Selalunya saya mendengar ikim.fm ( Atas asuhan keluarga sejak kecil, terima kasih ummi ayah), namun, tak salah jika ubah angin dengan mendengar radio lain.

Kadang-kadang mengantuk juga (kalau asyik ceramah sahaja ) Jangan marah


Senyum.


Tetapi, kalau saya sepenuhnya mendengar stesen radio yang baru itu (bukan ikim.fm dalam kes ini) , maka saya tergolong dalam golongan yang rugi.

"rugi baq hang!" ayat orang kedah.

Konklusi. 

1) Tak salah mendengar lagu-lagu hiburan, tetapi jangan melampau dan 24jam hiburan sahaja. Rugi tiada nilai mata (baca :PAHALA) dan tidak meningkatkan kualiti minda masyarakat.

2) Sekali sekala (banyak kali lebih baik) dengarlah radio yang berunsur ilmu dan islam contoh ikim.fm dan juga stesen radio lain yang ada juga ilmu dan juga iklan-iklan yang baik moralnya . Hot.fm pun ada juga tip-tip yang berguna dan ada juga moral of the story.

3)  Jika anda suka mendengar radio, janganlah terlalu kuat hingga mengganggu orang sekeliling. Bacaan Al-Quran yang mulia juga tidak boleh terlalu kuat jika mengganggu orang lain. Inikan pula rodio. Mana mungkin kalam manusia sama dengan Kalam Allah Tuhan Sekalian Alam

4) Doa-doakanlah kejayaan para pelajar muslim di seluruh dunia agar berjaya dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan .


"man jadda, wa jada "

Ayat keramat

Senyum

sekian.

(kena sambung study, peperiksaan akhir sudah hampir)

nangis~

Tuesday, January 22, 2013

Ayat Pengasih sebenar

Beberapa hari lepas, sahabat saya ,si Muhammad ajak kami semua satu rumah tengok cerita Minyak Dagu, yang kononnya terhangat di pasaran ketika ini. Betulkan? Saya sangsi.

Jadi, tipikal kisah hantu Malaysia, cintan cintun, dengki, bomoh, orang jahat yang 'tak dijangka' dan 'ustaz' akan menjadi hero sebagai penghapus hantu (baca : ghost buster ) 


p/s : peranan Ustaz lebih lagi daripada sekadar Ghost Buster!

Moral daripada kisah itu? Jangan guna sihir. Syirik. Doa paling besar!

Ok, tetapi saya yakin kita (filem Malaysia) boleh lakukan lebih baik

We can do better than that!

                                                                             sumber gambar En. Google

AYAT SEBENAR

Berbalik kepada topik asal, ayat pengasih. 

Tengok kiri tengok kanan.

Jika kamu tahu ayat ini, kepada siapakah akan kamu tujukan? 

"Saya minta kepada DJ bertugas satu lagu bertajuk 'Terukir di Bintang' oleh Yuna, ditujukan khas untuk nenek saya di kampung" 

Seorang cucu kesayangan menelefon di radio terkenal Malaysia.

cotoh situasi 'ditujukan kepada'

Gelak sorang-sorang.


Kepada siapa?

Itu kamulah yang jawab. Si dia yang bernama.....

(mana ayatnya? berhenti membebel!)

Baik. 

Ayatnya ialah.

Jeng Jeng Jeng

1. Al-Fatihah


[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


(terlopong?)

Ya, ini adalah ayat yang terbaik (super duper osem! kata orang muda)

Surah pertama daripada Al-Quran yang mulia yang merupakan Kalam Allah. 

Barang siapa yang mahu ber'bicara' kepada Allah maka solatlah. Dan barang siapa yang mahu Allah ber'bicara' kembali kepadanya, bacalah dan hayatilah Al-Quran.

Tak percaya?

Anda tidak percaya. Al-Quran ini mukjizat. Ia juga Penyembuh (baca: syifa')

Ustaz Muhammad Al-Amin ada berkata, 

"kita selalu dengar dan amalkan, sedekah Al-Fatihah kepada orang mati. Tetapi kita jarang mendengar sedekah Al-Fatihah kepada orang yang hidup. Walhal yang boleh berubah itu ialah orang yang hidup bukannya mati"

Bukan tak boleh sedekah kepada orang yang mati, tetapi isunya mengapa kepada orang yang telah mati sahaja?

(maaf, saya bukan ustaz, saya hanya menyampaikan apa yang saya dengar ) 

Tambah Prof Dr Muhaya, jika kita marah dengan seseorang, ataupun merasa ada 'aura' / rasa tidak baik (PHD :baca ,Penyakit Hasad Dengki) dan yang sama waktu dengannya, sedekahlah Al-Fatihah kepada orang yang kita marah itu (kepada yang berkenaan).

InsyaAllah lembutlah hatinya dan insyaAllah keadaan akan bertambah baik.

Dari segi akalnya, apabila kita menghantar gelombang yang baik kepada seseorang, dia akan dapat merasakannya. Dan dia juga akan menghantar gelombang yang sama.

(resonance) 

Begitu juga jika kita menghantar aura yang negatif. Pastinya balasannya juga negatif. 

Pernah rasa 'aura' negatif ini apabila ada orang mencaci anda dibelakang anda? Pernah?

Begitulah penangan aura.

Jangan ingat si Goku sahaja ada Aura! 

(senyum)

Inilah yang dipanggil berlapang dada, serendah-rendah ukhwah.

Kita juga sering berkata

"Apa yang datang daripada hati, akan sampai ke hati juga"


Nampak permainan dia?

Untuk si dia.

'Si dia' di sini adalah sesiapa sahaja manusia yang ada di keliling kita. Sebarkan bahagia, sebarkan aura baik ini. Cubalah untuk menyebarkan sifat positif dalam kehidupan seharian kita.

we need more positive people in this world, like you

(tuan yang bercakap sedang cuba mengeluarkan aura~)

Cinta tanpa syarat

Itu adalah antara ciri-ciri untuk mendapat kebahagiaan di dunia ini. Itu juga ciri-ciri muslim yang sejati. 


Percayalah

Jika masih berdegil tahap keras kepala paling tinggi, cuba praktikkan dan lihat hasilnya.

Pasti, jika betul ikhlas niatnya , anda akan berkata 

"tiru macam saya!" 

berkesan.

InsyaAllah

Penutup.

Saya sayang kamu semua.

Semua muslim.

Semua manusia yang baik.

Saya sedekahkan Al-fatihah kepada kamu

(ini semua poyo~ hehe)


Al-fatihah 

ini sangat comel!




Senyum lebar-lebar!!

P/s: sebenarnya, saya agak ragu-ragu (syaitan punya angkara)  untuk tulis bab ini. Tetapi saya yakin, ilmu itu perlu dikongsi. Jadi inilah dia perkongsian ilmu 

Saturday, January 12, 2013

Senyaplah




Masa kita semua banyak dicuri.
Dicuri oleh perkara-perkara yang tidak berguna.
Tiada faedah bahkan hanya menempah padah.
Bukan kita semua tidak tahu, kita cuma tidak sedar.
Mungkin ada yang sedar namun mungkin tidak mampu.
Lemah dan lelah menahan nafsu.
Padahal semua tahu.
Dunia itu bukan untuk membuang masa.


Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing

*********


Salah satu pencuri masa yang paling terkenal kini namanya En. PesBuk
Juga dikenali FB
Salahnya pada FB


*******

Hai kawan!! , En. PesBuk itu tidak salah!
Yang salah ialah klien En. PesBuk itu.
Sibuk bercerita tentang ntah apa-apa.
Tidak menambah pahala
Mungkinkah menambah dosa?

Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing

******

Jangan hairan kalau manusia tahu apa, siapa, di mana dan apa tentang engkau?
Buat-buat tak tahu dan terkejut
Yang paling kritikal ialah orang yang marah jika tahu
Padahal semua itu dia sendiri yang tunjuk pada dunia
Kemudian buat-buat tidak tahu pula


Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing

*******

Lebih parah yang bercerita buruk orang
Yang mengutuk orang
Yang memerli orang
Yang bermaksiat


Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing 


******

Kenapa ambil kisah dengan orang lain?
Biarlah mereka
Tidak kacau orang pun

Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing 

******

Catitan di sini tanda ambil berat
ambil berat maknanya sayang
Sayang dan tidak benci
Sayang walaupun seribu tahun (thousand years) erk?!

Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing

*******

Mulakan pada diri
jadilah penyelesai bukan masalah
be the solver not the problem
Mulakan dengan diri dan ajaklah dengan kasih sayang

Bercakap yang baik ,ataupun diam
Speak good, or speak nothing
*******

Sudah-sudahlah itu
Senyaplah

p/s: akan datang!

Cerpen: aku, kau dan pesbuk


(gelak)

Monday, January 7, 2013

Sekitar program Imam Muda Ashraf di Surau At-Taqwa

Apa khabar semua?

Sihat? Apa khabar iman? Semoga sihat-sihat belaka

Kali ini saya mahu berkongsi cerita mengenai Program IM Ashraf di Surau At-Taqwa, di Bertam Kepala Batas.

Alhamdulillah, ramai juga kawan-kawan saya yang datang.


Inilah dia!


Cerita tentang Nabi Muhammad S.A.W.

Sayang kepada Nabi bukan bermusim.

Kita tahu baginda kasihkan ummatnya. Sayang akan ummatnya. Namun, seberti biasa, sekadar tahu tidak berguna jika tidak merasainya sendiri.

Tahu kita ialah TAHU yang membawa kepada MAHU dan yang akan menghasilkan MAMPU.

Kerana , jika rantaian ketiga-tiga elemen ini tidak bersambung, maka kurang produktif/ kurang kesan dan hasil ( ayat orang muda : Tak da maknanya!)

Kongsi cerita

Selalu kita dengar, sharing is caring.

Jadi, saya sangat care (kasih) kamu semua , maka saya mahu berkongsi (share) dengan anda semua. Senyum!

Bayangkan ibu kita. Bayangkan dia yang menjaga kita daripada kecil. Dia amat sayang akan kita. Kalau musim pendaftaran pelajar baru ke sekolah, kita dapat lihat sekilas tentang sayangnya ibu kepada kita.

Ada yang sanggup tunggu sepanjang hari untuk menemani anaknya. Ada yang tunggu secara sembunyi-sembunyi, tak mahu anaknya tahu dia ada, namun masih risau kalau-kalau anaknya tidak dapat menyesuaikan diri. Mungkin tak tahu tandas, mungkin tak tahu membeli di kantin, mungkin kena buli (ada ka?) dan macam-macam lagi.

Semuanya atas dasar kasih kepada anak.

Dapat gambaran? Kasihnya ibu kepada kita?

Kena dapat gambaran sebelum boleh sambung membaca. PENTING!

Sekali lagi? dapat gambaran?

Kalau dapat, dengar (baca) pula ayat ini.

Sayang Nabi kepada kita umatnya LEBIH DARIPADA sayangnya ibu kepada anak~

Sayang Nabi kepada kita umatnya LEBIH DARIPADA sayangnya ayah kepada anak~

Sayang Nabi kepada kita umatnya LEBIH DARIPADA sayangnya Romeo kepada Juliet~ (boleh tara tu?)

Sayang Nabi kepada kita umatnya LEBIH DARIPADA sayangnya seorang suami kepada isteri terchenta~


Geng Qasidah yang best!





Nabi Muhammad S.A.W. sangat sayang akan kita.

Bahkan , Nabi tetap sayang walaupun kepada orang kafir, orang yang pernah membunuh sahabat-sahabat baginda, hampir-hampir baginda mensolatkan ketua Munafik kerana sayangnya Nabi kita kepada ummatnya.

Sayang tanpa bersyarat!

Sayang yang amat luar biasa!

AMAT LUAR BIASA!

(tarik nafas)

Adakah anda rasa baginda Nabi Muhammad sayangkan anda?

ya, kamu.

Tak payah tengok kiri kanan

Tak perlu fikir orang lain, cik abang kamu pun tak perlu fikir.

kamu!

Nabi Muhammad sangat sayang kepada mu~



Pengisian yang mantap! Terima kasih IM Ashraf



Balasan?

Persoalannya, adakah kita membalas sayang Baginda kepada kita? Tak ada manusia yang berhati perut yang sanggup menafikannya.

Selawat. Taat. Mujahadah. Ikut Islam. Amalkan sunnah. Mencari ilmu dan banyak lagi, semua itu tanda kita membalas kasih sayang baginda kepada kita.

Mungkin hanya sekadar membaca di sini, tidak cukup 'rasa'. Kurang 'feel'. Oleh sebab itulah, kita perlu mendalami ilmu agama secara berhadapan dengan guru yang sohih.

Feel yang ajaib ini hanya dirasai bagi mereka yang hadir majlis ilmu dan mereka yang diberi nikmat oleh Allah.

Allah.

Nampaknya saya agak lari topik (kejar cepat!)

Sebagai penutup.

Marilah kita semua berselawat atas baginda Nabi Muhammad S.A.W

(nangis)


Sempat bergambar. Rambut sudah panjang. (sunnah?)


Wednesday, December 26, 2012

Doktor kain pelikat

Buat para pelajar, mendapat cuti adalah satu nikmat yang besar. Dapat melarikan diri merehatkan diri daripada kuliah yang panjang daripada pagi hingga ke petang, dapat membuang masa dengan berfaedah, dan yang paling penting, dapat pulang ke kampung.

Ada juga yang cuti mereka begitu panjang sehingga dapat bekerja sambilan dan ada juga yang meneruskan perjuangan ke program sana sini. Saya tabik anda!

Namun, bagi yang berada dalam bidang perubatan ini, cuti 3 minggu sudah cukup panjang. Setakat sekarang, tak pernah lagi mendapat cuti melebihi 3 minggu. Biasalah, cubaan.

Pendekkan cerita. Saya dan keluarga terchenta saya pulang ke kampung nenek saya. Dan sempatlah saya jumpa adik-adik sepupu saya yang masih kecil dan di tahap kanak-kanak ribena. Ok, yang ini best! kerana petang itu kami sempat bermain bola AKA futsal di halaman rumah tok saya yang ibarat tepi pantai, (berpasir, sebab di Balik Pulau)

Dan kami bermain dengan jayanya. Kalah budak-budak sekolah. Bukan selalu.

Tiba-tiba, Pak Lang saya menyapa daripada jauh,

"ish! kalau doktor masuk bilik bedah pakai kain pelikat, habis semua pakat-pakat lari la!" sambil tersenyum.

Ya, saya main bola sambil pakai kain pelikat!




Kisah Kain Pelikat

Sempat juga Mak Chaq saya menyakat, isu kain pelikat lagi.

jadi saya pun ceritalah. "kat U pun selalu pakai kain pi kedai. Ada kawan siap pergi tengok wayang pakai kain pelikat. rilek ja."

"Ye ka?" Hairan mungkin.

"apa nak malu, orang lain tak cukup kain rilek ja pakai macam tu, kita ni pakai kain siap tutup aurat tak kacau sapa pun" sambil tersengih.

Serta merta, riak wajah Mak Chaq saya berubah.

"Betul jugak! depa tak cukup kain. Kita cukup kain, siap boleh bagi sedekah lagi"

Ketawa besar.

Kain Pelikat lagi

Sebentar tadi, saya membuang masa dengan berfaedah (baca: spend time) membelek-belek facebook. Dan saya jumpa kisah menarik berkaitan kain pelikat. ini quote dan gambarnya.




Jumpa Melayu sejati di Scotland...

Sebaik sahaja masuk waktu subuh, saya bergegas ke masjid yang berdekatan dengan 'Youth Hostel' yang ditumpangi oleh kira-kira 160 mahasiswa Malaysia yang menyertai Jalinan Ukhuwah Musim Sejuk JUMS 2012.

Suhu subuh pagi ini mencecah 2'C dan sememangnya sejuk. Apatah lagi apabila diiringi dengan hujan renyai yang membasahi bumi Edinburgh ini.

Terkejut saya apabila melihat seorang anak muda yang ber'selipar' dan berkain pelikat sedang meredahi kesejukan pagi ke masjid untuk bersolat subuh secara berjamaah.

Apabila ditanya anak muda dari Sabah ini samada suhu pagi ini tidak terlalu sejuk untuk beliau ke masjid dengan kain pelikat, beliau menjawab bahawa subuh di Czech Republic lagi sejuk kerana suhu 'winter'nya mencecah antara -10 hingga -30'C.

(Beliau adalah pelajar Malaysia yang sedang belajar di bidang perubatan di Czech Republic)
Sememangnya beliau anak Melayu sejati dan darahnya telah dialiri dengan kehangatan iman dan dimuliakan dengan ketinggian Islam









Jadi, ini lebih menarik! teringin pula nak ke sana.

Lipat kain

Jadi sebagai penutup (lipat kain) tak ramai lelaki-lelaki muda kini yang pandai dan suka mengenakan trend ini yang tak lapuk dek hujan dan sesuai sepanjang zaman ini. Selalunya orang akan pakai kain pelikat untuk ke masjid.

Read between the line (baca di antara garis)
.
Anda rugi besar. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Itulah 'feel' orang yang pakai kain pelikat ini.

Oh ya, pemakai kain pelikat perlu pakar, kerana silap hari bulan, mungkin anda akan malu besar jika terlondeh.

p/s: Pemakaian kain pelikat tidak sesuai untuk datang ke kuliah (kecuali kuliah agama di masjid) dan juga majlis-majlis formal dan rasmi. Dan tolong jangan pakai ke dewan bedah. Saya pun lari.

p/s: kisah ini hanya sesuai untuk golongan yang menetap di nusantara dan yaman (kerana mereka mengenakan kain). dan ini bukan bermakna tak pandai pakai kain tak cukup iman. Sekadar perkongsian :)

Bersama jejaka-jejaka hensem ala-ala model tetapi tetap beriman . Satu perkataan , konfiden!!

(gelak sorang-sorang)


Friday, December 21, 2012

Sekitar Majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah S.A.W. 2


Kebetulan peperiksaan End Of Module saya berakhir pada hari Rabu, maka sempatlah juga saya melapangkan masa untuk ke majlis ini. Cuti pertengahan semester baru saja bermula.  Jadi, saya , Fahmi dan Amir pun berpakatlah untuk ke sana bersama-sama.

Buat mereka yang belum kenal dengan program ini, Lantunan Mahabbah (mahabbah maknanya kasih sayang)  ialah majils zikir khusus untuk mengingati kekasih hati kita , Utusan Allah Tuhan sekalian alam , baginda Nabi Muhammad S.A.W.

(nangis sebentar)

Kebelakangan ini, agak lama juga saya sempat ke majlis zkir sebegini. Maklumlah, sibuk buat buat sibuk. 

Rindu benar rasanya pada suasana sebegini. Bahagia dan melapangkan dada.
 Tiada yang lebih indah daripada mengingati Baginda Nabi. Senyum

Majlis ini diadakan di masjid Abdullah Fahim yang baru lagi tersergam indah. Ramai juga kawan kawan perempuan saya teringin sangat mahu akad nikah di sana. 
"Caaaaaaaantik sangat "katanya.

Dan mereka sememangnya benar. Mungkin satu hari nanti boleh akad nikah beramai-ramai di sana. Senyum lagi.
Lari tajuk






Semua itu gambar masjid. Cantik bukan?


 yang ni best! semuanya putih dan bersih . Sunnah


 kumpulan Fathul Mubin  
 Kebanyakan mereka junior-junior saya di Maktab Mahmud dahulu. Tahniah anda semua. Saya pun jeles

Jadi, marilah ramai-ramai like page mereka
Cuba cari di Youtube untuk persembahan mereka. terbaik!

Dan sedikit perkongsian daripada Syeikh Usamah, pastikan ada amalan , paling kurang satu yang benar-benar kita konsisten dan istikamah dalam melakukannya. Agar di padang mahsyar nanti, baginda Nabi Muhammad S.A.W. kehasih hati kita akan dapat menngecam kita sebagai umat baginda. Umat terbaik.

Tak banyak pun, istikamah satu amalan pun sudah cukup baik (yang wajib sah-sah kena buat :D )

"Satu istikamah lebih baik daripada seribu karamah"

Untuk akhirnya, Selawat banyak-banyak .

Sampai jumpa lagi


Majlis tamat jam 12 mlm. Setelah menjamu selera. Saya musarif pulang. Perjalanan yang baik

Sunday, December 16, 2012

CERPEN: Kek cinta untuk siapa?


               



Cerpen
Kek Cinta Untuk Siapa?
oleh: M.Muhsin Hairudin

           Matanya melirik teliti ke arah muka surat itu. Resepi kek coklat kukus. Juga dikenali sebagai kek coklat moist. Kegemarannya. Dalam masa yang sama, tangannya mengapai-gapai apa yang diperlukan. Resepi itu dibaca sekali lagi.

                Bahan-bahan kek coklat ialah 250gm Butter,3/4 cawan gula,4 biji telur,2 cawan tepung gandum,3/4 cawan serbuk kok dan 1 cawan air atau susu cair.

                Siap!

Bahan-bahan coklat cair atau topping pula ialah 1 sudu marjerin,2-3 sudu susu pekat manis,2-3 sudu serbuk koko dan sedikit air.

Juga siap!

Tangannya perlahan-lahan menuang tepung gandum itu sedikit demi sedikit ke dalam bekas . Teliti dan cermat. Nampaknya sangat bersungguh-sungguh. Kadang-kadang lidahnya sedikit terkeluar. Hasil daripada tumpuan yang tinggi.

“Amboi! Rajin lebih nampaknya anak dara ummi hari ini? Buat apa itu?” suara si ibu tiba-tiba memecahkan tumpuan . mukanya manis dengan senyuman.

“ Afza memang rajinlah ummi” balas si anak sambil membetulkan cermin matanya. Matanya masih tertumpu kepada apa yang sedang dilakukanya.

“Sampai tidak tengok muka ummi. Sibuk sungguh. Muka itu pun sudah kena tepung” emaknya mengusik anak daranya itu. Tangannya mengusap-usap lembut wajah anaknya yang comot itu.

“Betulkah?”  Afza terkejut sambil mencari-cari cermin. Comot sangatkah?

Emaknya ketawa. “Masih cantik, jangan risaulah”.

Wajah Azfa terasa panas. Malu disakat ibunya.

“Bukan apa ummi. Esok kelas Afza akan mengadakan jamuan raya. Semua orang kena bawa makanan yang sedap-sedap. Jadi Afza cadang mahu bawa kek coklat special. Sambil-sambil itu, bolehlah Afza menunjukkan bakat memasak Afza yang terpendam. Kek ini dibuat dengan rasa cinta dan ukhwah” katanya sambil tersenyum. Manis.

“Mari ummi tolong” emaknya menghulurkan tangan. Senyum.

Hubungan mereka sememangnya akrab.

**************************
            
    “Muzakkir dapat universiti mana?” soal seorang lelaki kepada sahabat disebelahnya. Tangannya memegang sebuah buku. Pandangannya lepas kepada pemandangan sawah di luar tingkap.

                “Mula-mula, dia tidak dapat. Tapi, setelah membuat rayuan. Syukur, dia dapat asasi sains hayat. Kalau tidak salah, di Universiti Kebangsaan Malaysia” sahabatnya yang sedang memandu menjawab. Kereta berwarna hijau muda itu meluncur laju di lebuh raya itu. Mereka dalam perjalanan untuk menziarahi seorang sahabat.

                Meraka diam.

                “Kenapa tiba-tiba tanya Rafiq?”

                “Sekadar mahu mengambil tahu mengenai pelajar junior kita” balas Rafiq.

                “Itulah, saya pun tidak sangka boleh dapat. Jika prestasi  cemerlang pada peringkat asasi sains hayat, bolehlah dia melanjutkan dalam bidang perubatan. MBBS di UKM. Bukan calang-calang.”

                “Padahal, kelayakan kita dahulu pun lebih kurang sahaja dengan kelayakan dia. Tapi, begitulah tidak ada rezeki namanya” sahabat disebelah menggelang.

                “Kamu ini mengapa Hasif? Gayanya seprti sedih sahaja?” soal Rafiq dengan muka menyakat.

                Terkoyak ketawa di bibir mereka berdua.

                “Banyaklah engkau punya sedih. Aku pun baguslah dapat masuk matrikulasi. Cumanya tinggal sekarang, kena rajin sahajalah” Hasif menjawab. Sekali sekala, matanya melirik ke cermin pandang belakang dan tepi. Berhati-hati.

                Tiba-tiba sebuah motosikal memotong laju melalui lorong kiri. Stereng kereta dipusing sedikit. Kereta mereka mengelak perlahan. Bahaya.

                “Engkau tengok itu! Tungang motosikal laju. Memotong di sebelah kiri. Bahaya betul! Patutlah banyak kemalangan berlaku melibatkan penunggang motosikal” Hasif membebel kuat. Tidak puas hati.

                “Sabarlah Hasif. Kalau kita marah-marah atas kereta pun bahaya. Boleh kurang kewarasan” kata Rafiq sambil tergelak. Lucu melihat sahabatnya yang jarang marah itu berubah apabila memandu.

                Mata Hasif melirik tajam Rafiq. “Masalahnya bahaya. Dia dan kita ”

                Rafiq senyum kambing. “Tetapi, penunggang motosikal itu tidak dengar pun leteran engkau. Tatapi aku”

                “Yang engkau bela sangat dia itu kenapa? Adik beradik engkau?” kata Hasif kurang senang.

                Balas Rafiq “Aku pun penunggang motosikal juga”

                “Tidak adillah motosikal sahaja yang perlu berhemah. Tetapi semua yang berada di atas jalan raya perlu berhemah. Barulah semuanya selamat. Tak gitu?”  terang Rafiq dengan nada bergurau.

                Ada benarnya. Benak hati Hasif berkata.

                “Sudahlah, tengok GPS itu, awak perlu belok kanan sekarang” Rafiq mula menukar topik.

                “GPS aku ini memang hebat. Mahal tu!” riak muka Hasif berubah ceria sedikit.

“Engkau tahu apa maksud GPS? Bukan Global Positioning system. Tapi, Guna Pun Sesat”

Mereka ketawa terbahak-bahak. Memecah suasana.

 Hilang rasa marahnya. Dia ini bukannya jenis yang marah berpanjangan. Mengingatkan hadis yang menerangkan bahawa nabi berkata jangan marah sebanyak tiga kali.Perjalan mereka berdua penuh dengan sembang-sembang yang baik. Sembang-sembang tarbawi.

*************************

                “Apa? Afza tidak boleh ke sekolah hari ini? Tetapi…” suara Afza tersekat. Terkajut.

                “Ummi , ayah dan abang kamu akan keluar ke bandar. Ada hal mustahak. Urusan abang kamu yang akan ke mesir itulah” terang ibunya.

                “Afza kenalah duduk dirumah. Siapa yang mahu jaga adik-adik kecil kamu ini jika bukan kamu. Bukannya ayah suruh ponteng, tetapi tidak pergi sekolah atas sebab musabah. Itu bukan ponteng. Ayah tahu Afza seorang pelajar yang baik” ayahnya cuba memujuk.

                “Tetapi ayah. Kek itu..”

                “Nampaknya bukan rezeki kawan-kawan kamu hari ini. Mungkin boleh kamu simpan dahulu dan bawa saja esok” ayahnya mengusap lembut kepala anaknya itu.

                “Minta maaflah sebab bagitahu lambat. Ummi pun tidak tahu. Tiba-tiba saja yayasan islam yang menguruskan abang kamu itu panggil. Ada urusan penting kata mereka” umminya cuba memujuk.

                Afza hanya diam.

                Bukan niat di hatinya untuk membantah. Cumanya dia sedikit terkejut. Setelah berpenat lelah menyiapkan kek coklat yang dijanjikan untuk jamuan kelasnya. Dia memang agak sedih jika hajatnya itu tidak kesampaian.

                “Kak Afza” satu suara kecil bersuara.

                Afza menoleh. Adiknya Nuha Izzatiyang baru berusia empat tahun berdiri ditepinya. Tangannya memegang tangan Afza. Halus.

                “Kakak temankan kami ya” katanya perlahan-lahan. Matanya memandang tepat ke arah mata Afza. Pipinya yang putih gebu itu menambah seri wajah tembamnya. Sangat comel.

                Afza mengangguk perlahan. Inilah yang dikatakan keluarga. Tanggungjawab yang sangat besar. Juga satu amanah. Sahabat-sahabat karib terpaksa mengalah sebentar. Keluarga lebih penting. Afza seorang anak yang solehah. Dia faham. Cumanya seketika tadi dia terbawa-bawa oleh emosi.

                “Afza anak solehan kan?” Umminya kembali memujuk.

                Afza senyum.

                “Nanti belikan kami buah tangan ya ummi” kata Afza tanda setuju.

                Umminya kembali tersenyum. Syukur kepada Allah.

****************


                Assalamalaikum Hasif, awak ada di rumah? Saya mahu datang ziarah.

                Rafiq menaip pesanan ringkas kepada Hasif. Dia bercadang untuk menziarahi sahabat karibnya itu petang ini. Menjalinkah ukhwah kerana Allah. Kebetulan petang itu dia agak lapang.

                Waalaikumsalam.InsyaAllah, boleh. Ahlan wasahlan. Lepas asar ya.

                Balas Hasif ringkas dan mesra.

                Petang itu, Rafiq pergi ke rumah sahabatnya menaiki mosikal miliknya. Jalan ke rumah Hasif agak berlopak dan berbatu. Maklumlah, laluan yang pernah menjadi laluan lori-lori besar. Motosikalnya dipandu berhati-hati. Khuatir  rim tayarnya rosak. Minggu lepas saja dia baru tukar rim, kata mekanik, banyak masuk lopak. Nampaknya RM50 itu rezeki si makanik itu.

                Oleh sebab itulah, dia menjadi lebih berhati-hati. Mencegah lebih baik daripada mengubat. Lebih baik daripada wang melayang. Ini sekadar untuk motosikal, sudah tinggi kosnya. Tidak tahulah jika kereta. Pasti lebih mahal. Fikiranya merewang-rewang dalam perjalanan.

                Ketibaanya disambut oleh seorang kanak-kanak comel. Nuha izzati namanya. Rafiq yang memang rapat dengan Hatif memang kenal keluarga sahabatnya itu. Mungkin tidak semua nama diingatnya, tetapi jika berjumpa di mana-mana, dia dapat mengenali mereka. Begitu juga sebaliknya. Nuha tersenyum dari jauh sambil memegang sebuah cawan. Mulutnya menghisap penyedud minuman yang ada. Sangat comel.

                “Abang  Rafiq masuklah dulu” katanya perlahan-perlahan sambil tangannya mengangkat tangan gaya memanggil. Keletahnya memang melucukan.

                Nuha menunjukkan Rafiq ke ruang tamu. Kemas dan teratur. Nuha kemudian duduk di situ sambil menemani Rafiq. Rafiq menggelengkan kepala melihat keletah Nuha.

                “Nuha makan apa ?” soal Rafiq ramah. Gaya kanak-kanak.

                “Ais krim” jawab Nuha sambil menyedut penyedut minuman.

                “Gigi mana?”usik Rafiq.

                “Amboi Rafiq, menyakat adik saya” suara Hasif tiba-tiba mencelah.

                Hasif kelihatan baru sahaja keluar daripada dapur. Tangannya memegang dulang yang terisi jar air, dua gelas cawan dan sedikit kuih muih. Dia memang bertanggung jawab. Tidak menyuruh adiknya Afza untuk menghidangkannya. Adik perempuanya itu dijaga sebaiknya.

                “Susah-susah saja Hasif. Niat mahu ziarah sahaja” kata Rafiq berbasa-basi.

                Sambil menghidangkan juadah, Rafiq menjawab “Bujang beriman”.

                “Sebentar. Ada satu lagi, kegemaran kamu” ujar Hasif sambil melangkah kembali ke dapur.

                Apa kegemaranku? Fikir Rafiq tertunggu-tunggu.

                Sebentar kemudian Hasif keluar daripada dapur membawa sesuatu.

                Kek coklat! Getus hati Rafiq.

                Terkoyank satu senyum besar di bibir Rafiq. Ya, ini memang kegamaranya.

                “Tetapi macam mana tiba-tiba boleh ada kek coklat?” soal Rafiq hairan. Seingatnya, hajatnya untuk datang menziarah hanya dikhabarkan setengah jam yang lalu.

                “Kebetulan adik saya si Afza tu buat kek, makanlah. Saya tahu awak suka” balas Hasif.

                “Dia buat untuk saya?”

                “Lebih kuranglah. Begini, sebenarnya pagi tadi sepatutnya adik saya ada jamuan di kelas. Jadi dia buatlah kek coklat ini khas untuk jamuan kelasnya. Dia buat malam kelmarin, waktu kita berdua keluar itu”

                “Habis tu? Bagaimana ada di sini pula?” Rafiq kurang faham.

                “Inilah namanya rezeki. Pagi tadi, saya dan ibubapa perlu ke pekan .Urusan penting. Jadi, Afza terpaksalah tidak pergi ke sekolah untuk menjaga adik-adiknya. Jadi memanglah kek ini rezaki kamu” terang Hasif sambil mengusap-usap kepala Nuha di sebelah.

                Kek khas untuk aku. Fikir Rafiq dalam hati.

                Tiba-tiba, Rafiq ketawa. Hasif hairan. Keningnya diangkat dua kali. Tidak faham.

                “Kali ini baru saya betul-betul merasa makna rezeki. Adik kamu penat-pent buat untuk orang lain. Tetapi akhirnya, saya yang dapat makan. Alhamdulilah, syukur. Sedap kek ini” katanya sembil mengambil sepotong kek.

                Sedap. Memang sedap.

                “Adik awak memang pandai masak. Beritahu dia, saya puji kek dia” kata Rafiq sambil menjamu selera.

                Di dapur. Seseorang sedang mendangar perbualan mereka. Afza tersenyum manis. Dipuji. Dalam 

masa yang sama bersyukur kerana dapat menghormati tetamu.







p/s: Cerpen ini telah siap daripada tahun lepas lagi, namun kita baru diterbitkan :)

Jika bermanfaat dipersilakan share.
Kalau ada kurang mohon nasihat ^_^
terima kasih
 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.