Sunday, February 26, 2012

Oh Tudung Labuh~

Oh Tudung Labuh~
alt

Tudung. Tudung. Tudung.

Ya, bermacam-macam rupa yang boleh kita lihat sekarang kerana semuanya mahu mengikut peredaran fesyen semasa.

Ada yang belitnya dari kiri ke kanan, ke atas ke bawah, disilangnya ke sana, ke mari. Cantik! Namun kebanyakannya tidak mengikut syariat.

Saya dahulu salah seorang dari yang gemarkan fesyen-fesyen lilit-lilit pusing-pusing itu semua. Perempuan mana yang tak mahu kelihatan cantik menarik!

Tambah lagi apabila pengalaman hidup yang saya lalui, berhadapan dengan orang tudung labuh yang berperangai sama macam yang bertudung tak mengikut syariat. Ada yang lebih teruk! Jadi? Kesimpulan awal saya ialah "Ahhh sama je orang tudung biasa dengan tudung labuh. Baik pakai macam biasa, macam kebanyakan orang lain pakai. Nanti bertudung labuh, tak boleh nak gila-gila!"

Namun jauh di sudut hati, ada satu rasa yang bergetar – ada sesuatu yang menarik tentang tudung labuh.

Allah sayang saya. Amat sayang.

Hampir setiap hari dalam hidup, Allah temukan saya dengan artikel-artikel tentang erti sebenar tudung. Saya mula perlahan-lahan, dari tudung yang berbagai fesyen itu, saya tutupkan dada. Masih dengan tudung biasa! Dalam hati, "OK, cukup dah ni". Namun masih sentiasa bermohon pada Allah supaya dilimpahi hidayah-Nya.

Allah masing sayang saya, terlalu sayang.

Allah bukakan mata saya, untuk melihat betapa indahnya, betapa selamatnya bertudung labuh. Allah kenalkan saya dengan insan-insan bertudung labuh, yang masih lagi gila-gila, namun terbatas pergaulan mereka, yang terjaga tatasusila.

Saya seorang yang cerewet, tidak suka pada telekung-telekung di mall yang berbau, berdaki. Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lebih mudah, lebih selesa untuk saya solat, kerana aurat saya sudah terjaga! Tidak perlu lagi telekung-telekung berbau berdaki itu semua.

Saya seorang yang akan hilang rasa hormat pada lelaki-lelaki yang bersiul-siul pada perempuan di tepi-tepi jalan, yang lalu di hadapan mereka. Sangat tidak hormat! Tetapi Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lelaki-lelaki itu tidak berani buat begitu.

Saya nekad. Dengan hanya dua helai tudung berbidang 60" yang mampu saya beli, saya sarungkan. Terasa betapa Allah sayang saya. Saya rasa sangat selamat dalam dakapan tudung labuh, yang satu masa dulu saya pandang hanya sebelah mata.

Saya sekarang bertudung labuh, tetapi masih gila-gila! Bertudung labuh bukan bererti saya alim. Saya juga masih tercari-cari cahaya. Tetapi tudung labuh itu membantu saya, dalam gila-gila, saya ingat untuk menjaga batas-batas, tatasusila. Yang mendekatkan saya pada cahaya, bukan gelita. Saya malu untuk buat perkara sia-sia, malu jika saya dipandang manusia lain sepertimana saya memandang perempuan bertudung labuh yang "perangai tak serupa tudung" suatu masa dulu.

Tudung labuh itu bukan tanda seseorang itu alim, tetapi itu pelindungnya dari perkara-perkara yang tidak baik. Moga dari kerana tudung, hati saya juga terjaga, akhlak saya dipelihara, akidah saya makin teguh pada-Nya.

Moga saya istiqamah! Moga akhlak saya seindah tudung saya! Amin Ya Rabb!

- Artikel iluvislam.com


P/S: Saya akan mulakan satu trend (Label) yang baru dibawah nama Muslimah bidadari dunia ^^

khas untuk girls dan muslimat

Saturday, February 25, 2012

Rugi saja study hard & study smart


Nota-nota kuliah tersusun kemas di ujung meja. Menanti untuk dihadam sekali lagi. Buku-buku tebal di rak juga tak pernah duduk senyap. Setiasa saja melompat turun daripada rak. Sumber rujukan yang boleh dipercayai. Berat dan padat.

Cukup? Tak pernah cukup sebenarnya. Namun amat jarang untuk sampai ke tahap itu. Ingin tahu lebih daripada biasa.

Sebab itulah Encik Google sentiasa di sisi. Sehingga tangan terkena Carpal Tunnel Syndrome. Semuanya gara-gara menaip mencari maklumat.

Mungkin takut dengan kata-kata 'curiosity kill the cat', kita sekadar berasa cukup dengan yang sedia ada. Tak mahu lebih-lebih.

Padahal kita bukan 'cat', kita human. Manusia.

Minggu depan ujian. Seperti biasa. Nota lecture masih banyak perlu dicerna.

Setiap markah itu penting.

Setiap ujian itu penting.

STUDY

Mungkin itu situasi yang biasa bagi mereka yang masih dalam situasi student life. Tidak kira sekolah atau universiti, kita sentiasa belajar.

Pembelajaran sepanjang hayat. minal mahdi ilal lahdi.

Bayangkan berapa banyak masa kita habiskan untuk study kita? Daripada darjah 1 sehingga darjah 6, UPSR kemudian PMR, selepas itu SPM.

Dengan keputusan itu kita terus berusaha menyambung pelajaran , matrik, universiti, kolej,mesir, oversea dan merata lagi.

dan akhir sekali kita akan mati.

Mati.

Menninggal dunia.

Jadi apa guna kita belajar?

Rugi!!

Semua usaha kita akan menjadi sia-sia jika kita tidak jadikan study kita sebagai ibadah. Sebagai suatu bentuk kehambaan kita kepada Allah. Kita menurut perintah Allah.

Belajar.

Samada study hard atau study smart, belajarlah kerana Allah. Kerana hidup kita kerana Allah.

Niat itu adalah zarah yang membina satiap atom yang membentuk semua jisim perbuatan kita seharian. Dengan niat yang salah, semua yang terhasil adalah salah.

"sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niat" (HR Bukhari dan Muslim)

Belajar itu ibadah
Jika kita tidak menjadikan belajar itu ibadah, bayangkan betapa banyaknya masa yang kita RUGIKAN dan hilang begitu sahaja.

Rugi kerana ianya hanya sekadar untuk dunia, terhenti daripada selama-lamanya.

Kerana yang kelak selama-lamanya bersama kita hanyalah amal ibadah kita.

Orang yang bijak ialah orang yang bersedia menghadapi mati

Jangan rugikannya!

Jangan rugikan segala usaha penat lelah anda bagitu sahaja. Ikhlaskan kerana Allah.

Ikhlas itu dipupuk, bukan tiba-tiba muncul. Sama juga seperti kita mula-mula sembahyang dahulu sewaktu kecil, tidak mungkin sudah ikhlas bukan? ^^

Sekali lagi, saya menyeru diri saya (M.Muhsin Hairudin) dan kalian semua, betulkanlah niat kita dan JANGAN RUGIKAN STUDY ANDA BEGITU SAHAJA.

Jadikanya sebagai ladang ilmu.


p/s: Sangat suka melihat seorang senior yang bijak dan pandai (top student), menadah tangan berdoa setiap kali sebelum study. Barakallah.
Saya juga ingin seperti itu, dan lebih lagi ^^

p/s: selamat study :)

Saturday, February 18, 2012

Keajaiban di pagi hari + anak soleh


Usai solat subuh berjemaah di surau. Jemaah lain mula beransur pergi. Saya terus bergerak pulang. Kedinginan pagi mempercepatkan langkah saya.
Sahabat saya yang sering ke surau sudahpun mendahului, ingin cepat pulang ke bilik. Tetapi melalui jalan yang lain. Jalan yang jauh. 5 kali ganda jauh.

Hairan.

Cepat-cepat saya membuntutinya. Senyuman dilemparkan. Bahunya dicuit,
"kenapa ikut jalan jauh?" soalku sambil tersengih.
"Ayah aku kata sunat untuk guna jalan lain sewaktu balik" jawabnya selamba. Mukanya yang sedikit tembam itu menambah lagi gaya selambanya.
Aku angguk-angguk kecil. Ayah aku kata?

Kata-kata itu melekat di minda ku.
"patutlah dia yang paling awal hilang selepas subuh, jalan lain rupanya"monologku sendiri.

Ajaibnya waktu pagi

Udara pagi sememangnya dingin dan nyaman. Sangat enak untuk dihirup. Ibarat menyejukkan tiap-tiap sell di dalam paru-paru kita. Segar!.
Walaupun sedikit sejuk, tetapi suasana pagi mempunyai satu ketenangan yang amat ajaib. Ibarat bumi baru mula bernafas. Bersedia untuk mengharungi hari yang baru yang pastinya semakin mencabar hari demi hari.

Namun, walaupun kita tahu semua ini, kadang dek kerana nafsu dan kemalasan, kita lebih rela terperuk di katil, dengan selimut yang tebal membaluti tubuh dan mata terasa semakin berat. Lena.

Padahal semua itu tak terbanding dengan keindahan pagi. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mempu menghargai nikmat pagi kurniaan Allah ini.
Kami meneruskan langkah sambil berbual mengenai nikmat pagi.

Assalamalaikum

Tangannya menekat punat-punat di telifon bimbatnya. Mendail. Aku hanya memandang.
"Pagi-pagi buta ini nak telefon siapa?"Persoalan yang tak diungkapkan. Hanya di minda.

"Assalamalaikum"

.....

"Dah, baru saja tadi"
......

"Oh, "

...........

"Pagi ini ada test, doakan ya"
........

"Yang lain tengah buat apa?
.........

"ok"

..........

"Assalamalaikum"

Telifon bimbitnya dimatikan. Mukanya sedikit bersinar. Sinar gembira.

"Siapa? "soalku pendek.

"mak"
Buat kali kedua, jawapannya membuatkan tersentap. Terfikir tentang ummiku di rumah. walaupun memang aku sudah menjangka jawapan itu, tetapi memdengarnya dari mulut anak soleh memang sangat berlainan.

Nada jawapanya membawa bersama satu perasan cinta.

Cintakan ibu bapa.


Apa yang ajaib?

Mungkin ada yang kata, apa yang peliknya? Anak telifon emak?

Dia tetap ingatkan ibu bapanya. Biarpn jauh di mata.Walaupun di waktu pagi-pagi buta. Di waktu kebanyakan manusia masih lagi tidur. Yang mana pagi itu ada peperiksaan yang besar. Patutnya sibuk mengulang kaji pelajaran.

Dan semua ini berlaku hampir setiap hari.

Jika yang membaca ini adalah seorang ayah atau ibu, apa perasaan kalian?
Pastinya, kalian yang membaca ini merupakan seorang anak.
Bilakah kali terakhir kalian menelefon mereka?

Takkanlah kalian mahu mereka (ibu ayah kalian) yang menghubungi kalian semua?
Siapa anak sebenarnya?

Kamu atau ibubapa kamu?


Anak Soleh

Benarlah, anak soleh itu sangat berharga.
Berharga di dunia.
Sangat-sangat berharga di akhirat kelak.

Aku bangga mempunyai sahabat seperti engkau ^^
Dan aku juga ingin jadi lebih baik daripada engkau.

Wednesday, February 15, 2012

Bangla beriman

Siapa yang kenal abang bangla ni? ^^

Pertama kali bersalaman dengannya selepas solat, saya sedikit terkejut.
'kasarnya' detik hati saya.

Bukan cara bersalam dia yang kasar, tetapi tapak tangannya terasa sangat kasar. Maklumlah, buruh kasar. Semacam permukaan di tapak kaki. (lapisan kulit yang mempunyai Stratum Lucydum)

Dari situ saya terfikir, 'boleh buat enrty blog ni, sangat menarik'

Menarik?

Bukan kerana tangannya itu, tetapi empunya tangan itu.

Sedikit perbandingan

Dia berada jauh daripada negaranya dan keluarganya, tetapi solatnya masih rapat bersamanya.

Kita di sini di tanah air kita, bersama keluarga kita, solat kita bagaimana?

Dia bekerja teruk, sangat meletihkan dan memenatkan, memerah keringat , solatnya masih mampu dikerjakan.

Kita bekerja di dalam keadaan yang biasa-biasa dan tidak perlu berjemur di tengah panas, solat kita bagaimana?

Dia bekerja teruk, gajinya tak seberapa berbanding kita. Tetapi bandingkan solatnya dengan kita.

Sekurang kurangnya dia tidak meninggalkannya.


"Sesungunya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling tinggi Taqwanya"

Kita?

Sekadar pergi belajar diluar negara, sudah lupa untuk solat. Lupa akan tiang agama kita. Tanpa tiang, robohlah agama.

Jangan kata ke luar negara, sekadar sudah keluar daripada pandangan ibubapa, solat juga sudah tiada.

Daripada kampung di Utara , menyambung pelajaran ke Kuala Lumpur. Sudah hilang tudungnya, solatnya dan sopannya. Risau kalau-kalau agamanya turut 'hilang'.

Risau.

Saya dengar

Ya, bukan semua sebegini.

Kacang lupakan kulit.
Ibarat meggi lupakan plastik meggi.
Ibarat pahat dan penukul.


Cumanya bagi yang berperangai sebegini, malulah kamu.

Malu dengan Allah dan RasulNya,
Malu kepada keluarga,
Malu kepada masyarakat,
Malu kepada alam,

Malu kepada diri sendiri,

dan

Malulah dengan abang bangla ini.

Bukan sebarang bangla,

BANGLA BERIMAN!

Garis Panduan Bedah Siasat Mayat Menurut Perspektif Islam




DAFTAR ISTILAH

a . Dharuriyyat - Suatu keadaan yang mana tiada cara atau jalan lain untuk menyelesaikan perkara tersebut melainkan terpaksa melakukan perkara tersebut .

b . Hajiyat - Keperluan bagi tujuan memudahkan
hal-hal daruryyt.

c . Rukhsah- (Kemudahan) - Rukhsah bermaksud
hukum-hukum yang telah disyariatkan oleh Allah S . W. T. berdasarkan kepada keuzuran seseorang hamba kerana menjaga hajat mereka serta berkekalan sebab yang mewajibkan hukum asal.

d. Etika - Etika bermaksud ilmu berkenaan prinsip-prinsip akhlak atau moral yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan .

e . Interpretasi - Tafsiran, penjelasan (tentang makna, tujuan, implikasi )

f . Subklavikular - bawah tulang selangka

GARIS PANDUAN BEDAH SIASAT MAYAT MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

1. TUJUAN
Garis panduan ini disediakan untuk dijadikan panduan kepada pengendali bedah siasat, pengamal undang-undang, polis dan mereka yang berkenaan dalam pengendalian bedah siasat mayat.

2. PENGENALAN
Sejarah perubatan telah mencatatkan bahawa bedah siasat atau post mortem ke atas mayat, atau dengan lain perkataan ilmu perubatan forensik mula diperkenalkan dari Negara Arab, kemudian berkembang ke Greek dan negara-negara barat seterusnya ke seluruh dunia. Perkembangan kemajuan sains perubatan dalam ilmu pembedahan adalah berasaskan kepada keilmuan yang dibawa oleh Ibnu Sina. Perkembangan dari semasa ke semasa melalui kajian dan pengajian ahli sains perubatan telah menghasilkan teknologi moden dalam ilmu bedah siasat mayat dengan cara lebih saintifik bagi mencari keadilan yang dikehendaki.

Pada abad ke 21 ini, bedah siasat mayat merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan dan bukan asing di kalangan umat Islam. Ini kerana ia adalah tindakan yang perlu diambil dan dilakukan untuk kepentingan masyarakat seperti untuk menyelesaikan kes-kes jenayah atau bukan kes jenayah serta kajian dalam bidang perubatan. Walau bagaimana pun dalam urusan bedah siasat mayat, Islam telah menetapkan beberapa garis panduan yang perlu diikuti supaya tidak timbul percanggahan antara tuntutan syarak dengan amalan yang dilakukan dalam bidang perubatan.

3. KEPUTUSAN FATWA
3.1 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

3.2 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;
“Hukum asal pembedahan mayat adalah haramtetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan . ”

4. AMALAN BEDAH SIASAT MAYAT
4.1 Definisi Bedah Siasat Mayat
Bedah siasat atau dalam istilah bahasa Inggeris disebut post-mortem bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Ianya melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenalpasti punca kematian dan ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain.

4.2 Objektif Bedah Siasat Mayat
Pembedahan yang dilakukan ke atas mayat mempunyai objektif-objektif tertentu di antaranya:

i. Untuk mengesahkan identiti si mati.
ii. Untuk mengenalpasti sebab kematian.
iii. Untuk mengetahui punca, cara dan masa kematian.
iv. Untuk menghilangkan keraguan mengenai sebab kematian.
v. Untuk menunjukkan penyakit dan kecacatan.
v i . Untuk mengesan, menggambar dan mendokumenkan penyakit dan kecederaan luar serta dalam.
viii. Mendapatkan sampel untuk dikaji seperti kajian kuman, tisu abnormal dan lain-lain.
viii. Untuk mengambil gambar dan rakaman video bagi tujuan bukti/barang kes.
ix. Untuk menyediakan laporan bertulis yang lengkap tentang penemuan dalam pemeriksaan mayat.
x. Untuk memberi perkhidmatan pakar tentang interpretasi penemuan semasa pemeriksaan mayat.
xi. Untuk memulih semula keadaan mayat yang cedera teruk sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada waris.
xii. Untuk pengajian akademik, menjalankan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.
Xiii .Untuk meningkatkan kepakaran.
xiv. Untuk membuat kajian rawatan sesuatu penyakit.
xv. Untuk keperluan undang-undang.

4.3 Jenis-jenis Bedah Siasat Mayat

i. Bedah siasat clinical
Bedah siasat mayat dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, kesan sesuatu penyakit atau kecederaan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Kes-kes kematian ini tidak berkait dengan kes Polis seperti kes penyakit mudah berjangkit atau kematian di wad. Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat keizinan dari waris sebelum membuat bedah siasat. Dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bedah siasat mayat dibolehkan tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.

ii. Bedah siasat medicolegal
Bedah siasat ke atas mayat yang dikaitkan dengan kes Polis
seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian yang disyaki/tidak pasti sebabnya. Majistret atau Polis akan mengeluarkan arahan (Borang Pol. 61) kepada Pegawai Perubatan Kerajaan untuk menjalankan bedah siasat mayat tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris

4.4 Keperluan Bedah Siasat Mayat

i. Bedah siasat mayat dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi si mati dan waris.

ii. Bedah siasat mayat dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini yang timbul di masa hadapan setelah mayat dikebumikan.

iii. Hasil bedah siasat mayat dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang

iv. Bedah siasat mayat dapat menambah ilmu dan ke-pakaran dalam m bidang perubatan.

v. Kajian daripada hasil bedah siasat mayat dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat.

4.5 Kematian yang perlu bedah siasat

Selain bedah siasat mayat yang dibenarkan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, terdapat juga kematian yang perlu kepada bedah siasat mengikut peruntukan undang-undang dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia yang selaras dengan kehendak syarak (dharuriyyat dan hajiyat) iaitu:

i. Kes kematian medicolegal
a. Semua kematian yang mendadak luar biasa, disyaki bukan kes- kes biasa, akibat perlakuan ganas seperti bunuh.
b. Kematian mendadak biasa tetapi tidak diketahui sebab kematian dari segi perubatan.
c. Kematian akibat kemalangan menggunakan kenderaan.
d. Kematian di tempat kerja; kemalangan, penyakit dan keracunan di tempat kerja.
e. Kematian akibat keracunan. (e.g. alcohol intoxication, coal gas, insecticides, barbiturates etc).
f. Kematian akibat bunuh diri.
g. Kematian akibat penggunaan gas-gas perubatan semasa pembedahan, prosedur penyiasatan perubatan, peralatan dan teknologi yang digunakan oleh hospital/klinik dan sebagainya.
h. Kematian akibat kemalangan di rumahhospital/ institusi/tempat umum.
i. Kematian akibat kecuaian pegawai dan kakitangan hospital/klinik seperti kecuaian menggunakan prosedur perubatan, peralatan,ubat, rawatan dan sebagainya.
j. Kematian tahanan polis, tahanan re m a n, banduan di kem-kem tahanan.
k. Kematian di Institusi Mental, rumah sakit jiwa dan lain-lain.
l. Kematian bayi baru lahir yang dijumpai.
m. Kematian kanak-kanak akibatan kelemasan (suffocation) nafas.
n. Kematian berkaitan anak-anak angkat.
o. Sebarang kematian akibat kebakaran dan letupan.
p. Mati lemas.
q. Sebarang kematian di luar kawasan kediaman seperti di tepi jalan, dalam sungai, perairan dan sebagainya, di mana kediaman si mati tidak diketahui.
r. Kematian akibat dari bahan-bahan kimia dan radiasi perindustrian seperti toksid, asid, radioaktif dan sebagainya.

ii. Kes Kematian Clinical
a. Kematian akibat penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), AiDS, Anthraks, Japanese Encephalitis (JE) dan seumpamanya.
b. Kematian di wad yang diketahui sebabnya tetapi memerlukan maklumat lebih lanjut mengenai sebab kematian.
c. Kematian ibu semasa mengandung (maternal death).

4.6 Prosedur Bedah Siasat Mayat

i. Kebenaran bagi menjalankan bedah siasat mayat
tertakluk kepada:
a. Arahan Majistret atau Polis bagi kes-kes
kematian medicolegal.
b. Arahan Ketua Pengarah Kesihatan bagi keskes
tertentu seperti penyakit berjangkit atas kepentingan umum.
c. Mendapatkan kebenaran dan keizinan bertulis dari waris bagi kes-kes bedah siasat clinical.
i. Bedah siasat ke atas mayat hanya boleh dijalankan di hospital-hospital Kerajaan atau
tempat lain yang sesuai (Seksyen 330 Kanun Acara Jenayah).
ii. Bedah siasat mayat hanya boleh dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan sahaja.

4.7 Proses Bedah Siasat Mayat

i. Pemeriksaan luaran Menjalankan pemeriksaan luaran untuk mendokumentasi kecederaan mayat. Pegawai Perubatan Kerajaan akan membuat pemeriksaan terperinci ke atas mayat antaranya pakaian simati, keadaan mayat secara keseluru h a n ,perubahan - p erubahan luaran yang berkaitan dengan kematian dan penyakit serta tanda-tanda kecederaan. Sekiranya sebab kematian dapat dikenalpasti, maka pembedahan mayat tidak lagi perlu dilaksanakan.

ii. Pemeriksaan dalaman Sekiranya pemeriksaan luaran masih tidak dapat mengenalpasti punca kematian, maka pemeriksaan dalaman perlu dijalankan.Ini termasuklah membuka tempurung kepala, rongga dada, abdomen, pelvis dan lain-lain bila mana perlu.


iii. Pengambilan spesimen iaitu mengambil cecair badan untuk analisi toksikologi dan lain-lain ujian seperti pemeriksaan radiologi, kaji kuman, kajian tisu dan fotografi Forensik.

5 . ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT MENURUT ISLAM

Kaedah melakukan bedah siasat mayat bukanlah sesuatu yang mutlak. Individu atau kumpulan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat perlu memenuhi etika yang digariskan oleh syarak antaranya;

5.1 Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia

Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup.Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

5.2 Menyegerakan urusan bedah siasat mayat

Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud:“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu”.(Riwayat Muslim)

5.3 Kebenaran Waris

i. Bagi kes-kes bedah siasat c l i n i c a l, Pegawai
Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran
daripada waris untuk melakukan bedah siasat.
ii. Bagi kes-kes bedah siasat medicolegal kebenaran
dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah sisat.

5.4 Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar)

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
Dari Aisyah r.a. Raslululllah s.a.w. bersabda; “Memecahkan/
mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya
/mematahkannya sewaktu hidupnya”. (Riwayat Abu Daud)

5.5 Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja

Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan
dan mengenalpasti sebab-sebab kematian.Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya’.

5.6 Menjaga aurat mayat

Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali k.m.j., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu nyatakan (perlihatkan) pahamu,dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati”.
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) Mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas dari jantina yang sama. Kaedah ini merujuk kepada keputusan Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami (IslamicFiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut;

a. Doktor perempuan muslim pakar
b. Doktor perempuan bukan muslim pakar
c. Doktor lelaki muslim pakar
d. Doktor lelaki bukan muslim pakar Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-syarat seperti
berikut;

a. Tidak bersendirian
b. Menahan pandangan mata
c. Menyentuh di tempat yang berkaitan
d. Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

5.7 Menjaga rahsia mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam bedah siasat mayat hendaklah menyimpan rahsia mayat, iaitu tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

5.8 Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat tidak boleh menghina,mencemuh atau memaki mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Dari Ibnu Umar telah berkata: Sabda Rasululllah s.a.w.: Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka”. (Riwayat at-Tirmizi)

5.9 Mengambil langkah-langkah keselamatan

Pegawai dan Petugas perubatan kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah mengambil kira langkah-langkah keselamatan terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko terutamanya bagi kes penyakit berjangkit.

5 .1 0 M e n g u r uskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya

i. Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas.

ii. Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurna dan dikebumikan.

iii. Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenalpasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah disempurna dan dikebumikan dahulu. Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah ditanam atau diserah kepada waris atau pihak bertanggungjawab.

iv. Kajian dan siasatan ke atas sampel yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.

5.11 Tidak mengambil tisu atau organ mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan tidak dibenarkan mengambil mana-mana tisu atau organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan dengan kebenaran undang-undang. (Akta Tisu Manusia 174 - Akta 130).

5.12 Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat

Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

6. PERANAN JABATAN / AGENSI

Jabatan / Agensi yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat hendaklah memastikan garis panduan ini dipatuhi. Agensi tersebut ialah Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan
Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kimia, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Agama. Bagi memastikan prosedur bedah siasat ini dilaksanakan dengan segera dan menepati kehendak syarak,
perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian:

i. Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat hendaklah memberi perhatian kepada peruntukan Seksyen 330 Kanun Acara Jenayah.

ii. Pihak Kementerian Kesihatan atau pihak pentadbir hospital mestilah memberi keutamaan dalam urusan bedah siasat mayat supaya urusan pengendalian jenazah tersebut dapat disempurnakan.

iii. Ketua-ketua Jabatan/Agensi yang terlibat dengan bedah siasat mayat hendaklah mengawasi pelaksanaan garis panduan ini supaya dipatuhi.

7. PENUTUP

Penyediaan garis panduan ini merangkumi semua mayat tanpa mengira bangsa, keturunan dan agama. Mematuhi tuntutan syarak terhadap perkara-perkara yang berbangkit dari bedah siasat adalah suatu
amanah yang wajib ditunaikan terutama bedah siasat yang melibatkan mayat orang Islam. Aspek perlaksanaan bedah siasat mayat yang lebih
d i p e n g a ruhi faktor perundangan melebihi aspek klinikal perlu diberi perhatian serius bukan sahaja oleh pengamal perubatan bahkan oleh penggubal polisi. Garis panduan ini memberi makna dan implikasi yang mendalam dan boleh membantu menyelesaikan banyak masalah dalam isu bedah siasat mayat pada masa ini dan akan datang.

Fatwa

Sumber

p/s: Jawapan utk nurusaurus

Maklumat untuk semua juga ^^

 
khaliFah1412h. Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul Tested by Blogger Templates.